Berita Harian

Buat penyelidik­an jenis, trend filem jika mahu menang Oscar

- Mansor Puteh Pengarah dan pengkritik filem

Saya terpanggil untuk memberi pandangan terhadap kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mengenai hasrat kerajaan menggalakk­an pengarah filem kita untuk memenangi Oscar.

Jalan menuju Malam Anugerah Oscar ada yang lurus dan bengkok. Ramai pengarah filem Hollywood juga menghadapi rintangan mendapat pencalonan untuk Oscar dalam apa juga bidang, bukan hanya untuk Filem Terbaik.

Dekan saya, Milos Forman menang dua Oscar untuk pengarah filem terbaik melalui One Flew Over The Cuckoo’s Nest dan Amadeus. Ketika beliau memenangin­ya, saya masih belajar di Institut Teknologi MARA (ITM) sebelum melanjutka­n pendidikan ke peringkat sarjana dalam bidang pengarahan filem di Columbia University, New York. Anugerah kedua pula, dimenangin­ya sejurus saya pulang ke tanah air.

Saya pernah ke lokasi penggambar­an filem awalnya, Ragtime di Lower Manhattan pada musim panas 1980.

Rakan saya, Ron Nyswaner pernah mendapat pencalonan Oscar untuk lakon layar terbaik filem Philadelph­ia dengan pelakon utamanya Tom Hanks, turut menerima anugerah berprestij itu.

Pensyarah saya memenangi anugerah Emmy untuk penyunting­an dokumentar­i terbaik.

Namun di Amerika Syarikat (AS), mereka memenangi anugerah besar seperti itu jarang digembar-gemburkan. Contohnya, apabila pensyarah saya balik ke kelas keesokan hari selepas memenangi Oscar, tidak seorang pun mengucapka­n tahniah. Malah, sekolah filem saya juga tidak menganjurk­an sebarang acara untuk meraikan kemenangan­nya.

Malam Anugerah Oscar diadakan awal Mac atau April setiap tahun, cuma edisi ke-93 diadakan dua bulan lewat iaitu pada Jun 2021 akibat penularan COVID-19.

Sepatutnya Saifuddin lebih menggalakk­an pengarah filem tempatan menang anugerah Oscar dalam semua bidang, bukan khas untuk Filem Terbaik kerana itu mungkin sukar.

Tiga tahun lalu saya berdiri di luar Dolby Theatre melihat acara ‘karpet merah’ berlangsun­g. Sehari sebelum itu, saya ke Dolby Theatre dan dapat masuk hingga ke pintu depan dewan yang ditutup. Laluan menaiki tangga ke dewan dilitupi plastik putih untuk menutup ‘karpet merah’ yang sebenarnya bukan berwarna merah. Ia kelihatan merah di televisyen apabila dipancar cahaya, tetapi sebenarnya ungu pada mata.

Sekeliling Dolby Theatre ditutup dengan pagar tinggi untuk menghalang orang awam masuk.

Beberapa bulan sebelum itu, pada 2016 saya sempat masuk ke Dolby Theatre. Ada gambar pelakon dan pembuat filem yang menang anugerah Oscar pada tahun itu diletakkan atas kerusi di mana mereka duduk.

Untuk idamkan pengarah filem kita mencapai piala Oscar sebenarnya tidak sukar. Apa yang perlu pihak diadakan adalah sedikit penyelidik­an untuk mengkaji jenis filem dan trend yang diterima serta disukai pengundi Academy of Motion Pictures Arts and Sciences (AMPAS) yang memilih pemenang setiap tahun.

Kemenangan filem Korea Selatan, Parasite berlaku tanpa sengaja dan pasti pengarahny­a pun tidak tahu filem dapat pengiktira­fan di Pesta Filem Cannes sebelum diiktiraf pada malam Oscar.

Adalah salah kalau sesiapa menganggap untuk menang Oscar, sesebuah filem mesti mahal. Pembikinan filem Iran, A Separation dan The Salesman arahan Asghar Farhadi serta Parasite arahan Bong Joon-ho tidak kelihatan mahal.

Kebanyakan filem Iran membabitka­n dana AS$500,000 sahaja dan mengutip AS$16 juta. Kos untuk menerbit filem ini lebih rendah berbanding penerbitan beberapa filem Malaysia yang tidak ke mana dan ditayang di pawagam tempatan sahaja.

Masalahnya, filem Melayu khususnya tidak ada perspektif falsafah, berbanding filem Iran dan

Korea Selatan itu. Malah, kebanyakan filem Melayu tidak ada cerita asal dengan kebanyakan­nya lebih kepada cedukan filem Hollywood.

Kursus perfileman di universiti tempatan juga tidak menekankan keperluan untuk menonjolka­n cerita asal dengan falsafah tebal yang tidak pernah wujud dalam filem atau sinema dunia.

Daripada sinopsisny­a sahaja pihak AMPAS sudah tidak tertarik dengan filem Melayu. Akhirnya pilihan yang FINAS ada untuk menggalak pengarah filem tempatan menang Oscar adalah dengan memilih jalan yang lurus atau jalan yang bengkok?

Kita boleh bermula daripada gesaan dan hasrat menteri serta kementeria­n untuk melihat pengarah filem tempatan menang Oscar dan kita juga tidak perlu tunggu 20 atau 30 tahun untuk melihat sebuah piala Oscar dibawa ke Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia