Berita Harian

Zahid bayar tunai lebih RM1.4J ubah suai banglo

Kontraktor dapat arahan lisan, tak keluarkan resit terima bayaran

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayar RM1,424,643.40 secara tunai kepada kontraktor untuk kos ubah suai sebuah banglo di Country Heights, Kajang yang dibeli adiknya.

Kontraktor, Marzuki Che Omar, 56, berkata semua bayaran diterima secara tunai di Surau An Nur, Country Height, Kajang sama ada selepas solat Subuh atau Zuhur.

“Saya akan pergi ke Surau An Nur apabila diberitahu Ahmad Zahid akan membuat pembayaran. Saya sahkan tiada kontrak bertulis dibuat untuk kerja ubah suai ini.

“Saya juga tidak keluarkan apa-apa resit terima bayaran. Saya dapat arahan daripada Ahmad Zahid

secara lisan sahaja. Urusan ini dibuat atas kepercayaa­n. Saya juga tidak pernah bertanya daripada mana datang wang itu, tetapi saya sahkan semua bayaran diterima secara tunai dan serahan tangan daripada Ahmad Zahid,” katanya.

Katanya, Ahmad Zahid ada memaklumka­n ubah suai banglo itu adalah untuk kegunaan Yayasan Al-falah bagi menempatka­n orang tua mempelajar­i agama.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaa­n utama Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi pada hari ke-23 perbicaraa­n kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitka­n Yayasan Akalbudi.

Kelmarin, saksi pendakwaan ke-66, Faisalludi­n Mohamat Yusuff memberitah­u mahkamah bahawa Ahmad Zahid menyumbang­kan RM5.9 juta kepada Yayasan Al-falah dengan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, bagi pembelian dua banglo di Country

Heights menerusi cek Tetuan Lewis & Co yang juga pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Ketika ditanya Ahmad Sazilee mengenai tarikh banglo itu siap, Marzuki berkata, pembinaan banglo Lot 403 itu bermula sekitar September 2018 dan siap sepenuhnya minggu kedua Februari 2019.

“Tarikh serah kunci pada 30 Mac 2019 dan keadaan banglo itu seperti banglo tinggal dan tidak terurus,” katanya apabila menjawab soalan Ahmad Sazilee mengenai tarikh serah kunci banglo dan keadaan sebelum diubah suai.

Menjawab soalan peguam, Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Ahmad Zahid, adakah saksi itu bersetuju dalam banglo itu ada ruangan besar untuk pengajian atau solat, beliau menjawab: “Setuju, siap ada permaidani dan saf solat”.

Pengarah Urusan Tekad Nusantara Sdn Bhd itu juga bersetuju dengan Haziq Dhiyauddin bahawa ada beberapa bilik untuk penghuni berehat dan susun atur di dalam banglo itu seperti madrasah.

Ahmad Zahid hadir

Dalam kertas pertuduhan ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunaka­n cek milik Tetuan Lewis & Co yang juga hasil aktiviti haram.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-71, Mohamed Husein Mohammad Annifah, 30, pekerja syarikat pengurup wang kepunyaan Omar Ali Abdullah, memberitah­u mahkamah bahawa majikannya (Omar Ali) ada mengarahka­nnya ke Hong Leong Bank di Jalan Imbi untuk menukar wang RM100,000 kepada dua keping bankers cheque.

“Saya diberikan wang tunai RM100,000 dalam sebuah beg oleh Omar Ali ketika di pejabat. Ketika di bank itu saya mengisi butiran nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit saya.

Di ruangan butir penerima, saya tulis Lewis & Co seperti arahan Omar Ali,” katanya.

Mengikut pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa mengarahka­n Omar Ali mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 membabitka­n 30 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang juga hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 membabitka­n pecah amanah dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 3 Julai ini. BERNAMA

 ?? (Foto Fathil Asri /BH) ?? di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Fathil Asri /BH) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia