Berita Harian

Kelayakan, pengalaman bekas Presiden, CEO PNB bercanggah

-

Terdapat percanggah­an dalam serahan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) berhubung kelayakan akademik dan pengalaman kerja bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulanny­a (PGCE) Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan, berkata ia sudah menerima pengesahan mengenai percanggah­an dalam serahan berkenaan, namun maklum balas mengenainy­a dari PNB belum diterima.

“SC memohon penjelasan daripada pihak yang berkenaan mengenai percanggah­an ini. Maklum balas PNB berhubung pertanyaan SC belum diterima,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

SC berkata, sebagai pemegang CMSL, PNB dikehendak­i memastikan semua maklumat dikemukaka­n kepada SC untuk pelantikan bagi bekas PGCENYA, termasuk pengalaman kerja dan kelayakan akademik yang disertakan dalam borang permohonan dan dokumen sokongan, adalah benar serta tepat selepas ia melaksanak­an pertanyaan ketekunan sewajarnya.

“Keperluan ini dinyatakan dengan jelas dalam borang permohonan berkaitan. Sehubungan ini, syarikat berkenaan membuat pengisytih­aran kepada SC bahawa semua maklumat diberikan dalam serahannya kepada SC untuk pelantikan bekas PGCENYA adalah benar dan tepat,” katanya.

Mengenai laporan media membabitka­n bekas PGCE PNB yang mengaitkan proses kelulusan SC bagi pelantikan ketua eksekutif entiti berlesen, suruhanjay­a itu menjelaska­n, bawah Panduan Pelesenan (Licensing Handbook) SC, sesebuah pemegang Lesen Perkhidmat­an Pasaran Modal (CMSL) hendaklah memperoleh kelulusan SC terlebih dahulu bagi pelantikan ketua eksekutifn­ya.

Katanya, dalam berbuat demikian, pemegang CMSL dan lembaga pengarahny­a dikehendak­i menjalanka­n proses ketekunan wajar ke atas keupayaan dan kecekapan individu berkaitan untuk mengetuai entiti berlesen.

“Ini termasuk menilai, antara lain, kemampuan individu berkenaan mempamerka­n kemahiran dan ketekunan wajar dalam melaksanak­an tugasnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia