Berita Harian

FBM KLCI susut 21.41 mata

Aktiviti jualan besar-besaran oleh pelabur jejas pasaran

-

Bursa Malaysia ditutup rendah semalam, susulan aktiviti penjualan secara besar-besaran dan unjuran pertumbuha­n ekonomi yang rendah.

Urus niaga lembap itu juga adalah seiring dengan prestasi di kebanyakan pasaran serantau berikutan peningkata­n kes jangkitan COVID-19.

Bank Pembanguna­n Asia (ADB) berkata, pertumbuha­n keluaran dalam negara kasar Malaysia diunjurkan menguncup 4.0 peratus tahun ini dan berkembang 6.5 peratus pada tahun 2021.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 21.41 mata atau 1.40 peratus untuk mengakhiri urus niaga pada 1,504.91 daripada 1,526.32 kelmarin.

Indeks utama dibuka 1.81 mata lebih rendah pada 1,524.51 dan bergerak antara 1,503.35 dan 1,525.69 sepanjang sesi urus niaga.

Keseluruha­n suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi saham untung 685 berbalas 300, sementara 381 kaunter tidak berubah, 578 tidak diniagakan dan 38 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 5.12 bilion saham bernilai RM3.87 bilion daripada 7.55 bilion saham bernilai RM3.82 bilion pada Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axicorp, Stephen Innes, berkata FBM KLCI bergerak agak sukar untuk hampir sepanjang hari urus niaga dengan bursa serantau yang lain turut bergelut dengan kebimbanga­n kemunculan semula gelombang COVID-19, ketegangan di antara Korea Selatan dan Korea Utara, harga minyak yang masih goyah serta suasana politik domestik yang tidak menentu.

Minyak mentah Brent naik 1.11 peratus kepada AS$41.16 setong.

Sementara itu, di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.04 peratus kepada 2,670.59, Indeks Hang Seng Hong Kong lega 0.07 peratus kepada 24,464.94 dan Nikkei 225 Jepun susut 0.45 peratus kepada 22,355.46.

Saham berwajaran tinggi pula menyaksika­n IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM5.40, Maybank

turun enam sen kepada RM7.71, TNB merosot lapan sen kepada RM11.80, Public Bank rugi 16 sen kepada RM16.80, Petronas Chemicals dan Maxis, masing-masing jatuh 12 sen kepada RM6.38 dan RM5.33 sementara Top Glove lebih rendah RM1 kepada RM14.70.

Bagi saham paling cergas, Minetech Resources dan KNM menambah setengah sen kepada 31 sen, Connectcou­nty menokok 4.5 sen kepada 34.5 sen, Datasonic melonjak 12 sen kepada RM1.52, MY E.G lebih tinggi tiga sen kepada RM1.53, MQ Technology tidak berubah pada empat sen dan Mtouche lega setengah sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 142.5 mata kepada 10,581.87, Indeks FBMT 100 menyusut 144.18 mata kepada 10,436.53 dan FBM 70 pula lebih lemah 161.33 mata kepada 12,954.02.

Indeks FBM Emas Syariah turun 184.12 mata kepada 11,929.62 dan FBM ACE merosot 74.73 mata kepada 5,905.4.

Mengikut sektor, Produk dan Perkhidmat­an Perindustr­ian kerugian 1.41 mata kepada 134.72, Indeks Perladanga­n turun 61.64 mata kepada 6,713.4 dan Indeks Perkhidmat­an Kewangan jatuh 143.68 mata kepada 13,074.77. BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia