Berita Harian

Malaysia, Tajikistan diundi lagi dalam kumpulan sama

-

Kuala Lumpur: ‘Jodoh’ Malaysia dan Tajikistan begitu kuat selepas dua pasukan itu sekali lagi diundi dalam satu kumpulan pada Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Dua pasukan itu sebelum ini diundi dalam Kumpulan D pada edisi 2018 dan menariknya, mereka turut berada dalam kumpulan sama bagi edisi 2020 selepas majlis undian yang berlangsun­g di Bukit Jalil, semalam.

Selain Tajikistan, anak buah Brad Maloney itu bakal berdepan cabaran terbesar untuk mara ke suku akhir apabila diundi bertemu juara edisi 2014, Qatar sementara Yemen melengkapk­an saingan Kumpulan D.

Juara bertahan, Arab Saudi diundi dalam Kumpulan C bersama Australia serta dua negara ASEAN iaitu Vietnam dan Laos.

Pasukan paling banyak menghimpun kejuaraan yang juga naib juara edisi lalu, Korea Selatan pula diundi dalam Kumpulan B bersama juara edisi 2016, Jepun; juara lima kali, Iraq dan Bahrain.

Menyertai tuan rumah, Uzbekistan dalam Kumpulan A adalah Indonesia, Kemboja dan Iran.

Terdahulu, Malaysia layak ke pusingan akhir selepas mengunggul­i Kumpulan G dengan rekod menakjubka­n apabila memenangi semua empat perlawanan untuk menghimpun 12 mata maksimum.

Sebagai rekod, edisi 2018 di Indonesia menyaksika­n skuad negara menghuni tangga tercorot Kumpulan D selepas menghimpun satu mata daripada tiga perlawanan.

Mereka tewas 2-1 di tangan Arab Saudi sebelum terikat 2-2 menentang Tajikistan namun tewas 2-0 di tangan China pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia