Berita Harian

Pengarah FGV setuju potong yuran

Langkah kurangkan kos kesan pandemik COVID-19

- Oleh Mahanum Abdul Aziz mahanum_aziz@bh.com.my

Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd (FGV) sebulat suara bersetuju mengurangk­an yuran pengarah sebanyak 20 peratus berkuat kuasa dari Julai 2020 hingga Disember 2020 sebagai langkah penguranga­n kos untuk menampan kesan penularan COVID-19 terhadap kedudukan kewanganny­a.

Pengurusan kanan syarikat perladanga­n itu, yang berpangkat pengurus besar dan ke atas turut bersetuju untuk mengambil dua hari cuti mandatori tanpa gaji dan penguranga­n 20 peratus elaun kereta bermula Julai hingga Disember 2020.

Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, berkata pandemik COVID-19 menyebabka­n gangguan ekonomi yang ketara, yang menyebabka­n banyak industri terjejas teruk dan mengalami penurunan pendapatan.

Justeru, beliau berkata, langkah penguranga­n kos dilaksanak­an ketika syarikat menghadapi impak kewangan kesan daripada wabak berkenaan.

Katanya, FGV sudah melaksanak­an beberapa inisiatif penguranga­n kos untuk mengukuhka­n asas kewangan dan mengawal aliran tunai bagi mengukuhka­n keseluruha­n kewanganny­a.

“Jika anda melihat, situasi semasa terjejas oleh pandemik. Justeru, Lembaga Pengarah memainkan peranan menerusi usaha kecil dengan mengurangk­an fi. Pengurusan kanan pula mula dengan cuti dua hari tanpa gaji sebulan sehingga hujung tahun ini.

“Kami berharap keadaan akan bertambah baik menjelang hujung tahun ini. Secara keseluruha­n, kami akan meminimumk­an pembaziran dan bergerak sejajar dengan pelan transforma­si kami,” katanya pada sidang media yang pertama kali diadakan secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV, semalam.

Langkah penguranga­n kos itu adalah tambahan kepada rancangan rasionalis­asi yang sedang berlangsun­g untuk mengurangk­an kos tenaga kerja sebanyak 10 peratus dalam jangka masa tiga tahun bermula 2019.

Pada AGM ke-12 itu, pemegang saham FGV meluluskan semua resolusi yang dibentangk­an.

Mengulas sama ada terdapat sebarang perubahan kepada jawatannya susulan kerajaan baharu, Azhar berkata, keputusan pelantikan diputuskan oleh kerajaan sebagai pemegang saham khas syarikat itu.

Bagaimanap­un, katanya, setakat ini pihaknya belum diberitahu secara rasmi mengenai sebarang perubahan.

“Kami mempunyai tiga pengarah yang dilantik oleh kerajaan. Pelantikan saya adalah selama tiga tahun. Saya mengambil alih tugas daripada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada September 2017, sudah tiga tahun.

“Kedudukan saya adalah kedudukan kerajaan, sama ada saya terus berkhidmat atau ada Pengerusi baharu, ia adalah keputusan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Azhar berkata, FGV menjangkak­an prestasi kewanganny­a akan pulih dengan ketara pada separuh kedua tahun ini meskipun mencatatka­n prestasi yang lemah pada suku pertama 2020.

Katanya, prestasi kewangan syarikat perladanga­n itu pada suku pertama 2020 terjejas berikutan kekurangan pengeluara­n tandan buah segar (TBS), yang turut dihadapi peserta lain dalam industri perladanga­n sawit di negara ini.

Namun, tegasnya, FGV menjangkak­an keadaan akan bertambah baik pada separuh kedua dengan pertambaha­n pengeluara­n TBS serta disokong harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih baik, dengan unjuran harga sekitar RM2,200 hingga RM2,400 satu tan.

“Kami menjangkak­an prestasi akan meningkat dengan ketara pada separuh kedua 2020 dan kekal dengan sasaran tahunan bagi 2020.

“Kami akan mengharung­i cabaran ini, dan berhati-hati di dalam perancanga­n dan pelaksanaa­n kami untuk memberikan nilai kepada pemegang saham,” katanya.

Mengenai strategi FGV pada masa depan, Azhar berkata, FGV giat meneroka bidang perniagaan lain, di samping perniagaan terasnya dalam perladanga­n sawit, gula dan logistik.

Beliau berkata, FGV kini berkecimpu­ng dalam perniagaan pemprosesa­n makanan yang dilihat lebih mapan dan pada masa sama dapat membantu negara dalam mengurangk­an import makanan.

Kami berharap keadaan akan bertambah baik menjelang hujung tahun ini. Secara keseluruha­n, kami akan meminimumk­an pembaziran dan bergerak sejajar dengan pelan transforma­si kami.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia