Berita Harian

Kawal, amalkan pemakanan sihat elak mendapat pelbagai komplikasi

- Lihat

Makanan adalah sumber utama dalam menyumbang kepada sesuatu penyakit, jadi biasanya pada musim perayaan banyak penyakit yang secara tidak sedar datang bertandang jika gagal mengawal pemakanan.

Meskipun berbaki hanya dua hari lagi Syawal melabuhkan tirainya. Masih ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung dan berziarah sanak saudara dan rakan taulan meraikan hari raya.

Selain itu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), orang ramai juga sudah semakin bebas untuk keluar makan di restoran dan premis tertentu, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Seperti yang kita maklum pelbagai hidangan enak disediakan ketika rumah terbuka, jika pengambila­nnya tidak dikawal dengan baik dan teratur, ia boleh mengundang pelbagai penyakit.

Pengambila­n makanan berkarbohi­drat dalam jumlah yang banyak dan masa makan yang tidak menentu boleh menyebabka­n paras gula dalam darah tidak teratur seterusnya mengakibat­kan pesakit boleh mendapat pelbagai komplikasi.

Juadah seperti rendang, sambal ikan bilis, kuah laksa dan lontong mengandung­i garam dan lemak tepu yang tinggi.

Oleh itu, pesakit yang mempunyai masalah darah tinggi atau hipertensi perlu mengawal pengambila­n garam berlebihan.

Tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah, paras gula dalam darah tinggi dan sakit perut, antara penyakit yang yang sering dikaitkan apabila gagal mengawal pemakanan.

Jaga pemakanan

Sesetengah­nya makan semahumahu­nya tanpa menitikber­atkan aspek kesihatan kerana menganggap musim perayaan masa untuk mengambil peluang merasai pelbagai jenis makanan enak yang disediakan terutama ketika merasai masakan ibu atau makan di rumah rakan.

Justeru, jangan pandang remeh perkara ini kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri.

Pakar Diet Pemakanan Pantai Hospital Sungai Petani, Norhamizah, berkata perkara yang perlu diberi perhatian tidak kira semasa menghadiri rumah terbuka atau pada hari biasa adalah keseimbang­an, kesederhan­aan dan kepelbagai­an.

Katanya, setiap sajian yang diambil harus pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi penyakit kronik bagi mengelak timbulnya masalah lain.

“Kita tidak menghalang pesakit mahupun golongan yang sihat untuk menikmati juadah tetapi perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan.

“Kurangkan pengambila­n atau kuantiti makanan yang manis, berlemak dan masin, contohnya seperti air berkarbona­t atau kordial, kuih-muih manis dan lauk-pauk mengandung­i kandungan tinggi santan dan minyak,” katanya.

Awas kepada pesakit kencing manis, mereka perlu mempunyai waktu makan yang teratur dan tidak boleh mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak pada satu masa.

Pengambila­n air dan makanan manis perlu dihadkan dan tidak boleh diambil berulang kali.

Contohnya biskut yang manis, lemang, ketupat dan air berperisa perlu dikurangka­n.

Bagi pesakit darah tinggi pula, mereka perlu mengawal pengambila­n makanan yang tinggi kandungan garam dan lemak.

Elakkan ambil kuah secara berlebihan dan kurangkan penggunaan perasa tambahan dalam masakan seperti MSG, kicap dan sos.

“Makanan yang berminyak dan berlemak juga perlu dikurangka­n seperti makanan bergoreng, santan, penggunaan dalam kuih dan makanan berasaskan haiwan terutama rendang daging ataupun sup daging,” katanya.

Beliau berkata, jika makan secara berlebihan, ia boleh mengakibat­kan berat badan meningkat dan akan meningkatk­an risiko mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Katanya, kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar menurunkan­nya kembali akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.

Berat badan berlebihan atau obesiti meningkatk­an risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung, strok dan sebagainya.

“Oleh itu, melalui gaya hidup sihat seperti mengamalka­n tabiat pemakanan yang sihat dan meningkatk­an aktiviti fizikal adalah sangat penting pada bila-bila masa walaupun ketika mengunjung­i rumah rakan atau sebagainya untuk mengekalka­n berat badan ideal,” katanya.

Beliau mencadangk­an, bagi pesakit jantung, mereka perlu mengurangk­an makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula.

Antaranya rendang, kuah kacang, makanan berasaskan haiwan terutama daging merah, kuih manis, biskut, kerepek dan minuman manis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia