Berita Harian

Tiga beranak maut kereta bertembung pikap di Kuala Kangsar

Wanita hamil antara tiga beranak maut kemalangan

- Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri bhnews@bh.com.my

Kuala Kangsar: “Raya tahun ini arwah kelihatan begitu beria-ia untuk bergambar sekeluarga bersama dalam sesi khas, namun tidak sangka ia petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Mohd Helmi Arifin, abang kepada Nurul Huda Arifin yang terkorban dalam kemalangan bersama suami dan anak bongsunya.

Nurul Huda, 31, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan membabitka­n Toyota Vios dinaikinya dengan Toyota Hilux di Kilometer 72, Jalan Ipoh-gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, di sini, kelmarin.

Turut maut dalam kemalangan itu adalah suami Nurul Huda, Abdul Hakim Hashim, 32, dan anak bongsu mereka, Adib Aidan, 2, yang kedua-duanya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK), manakala seorang lagi anak mereka yang berusia empat tahun cedera ringan.

Mohd Helmi, 45 berkata, dia ralat kerana arwah adik bongsunya itu mengandung lima bulan, selain abang sulung mereka juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika kecil.

“Mahu atau tidak terpaksa reda walaupun ralat. Perut (arwah) pun sudah nampak (kandungan) biarpun janin kandungann­ya kami masih belum tahu setakat ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKK, di sini, semalam.

Bagi adik kepada Abdul Hakim, Nazirah Hashim, 28, arwah abangnya yang juga anak sulung daripada 10 beradik disifatkan sangat bertanggun­gjawab, selain dianggap idola keluarga.

Dia turut terkilan kerana arwah kakak iparnya mengandung anak perempuan yang sangat dinanti pasangan itu yang mempunyai dua anak lelaki.

Katanya, sejak kebelakang­an ini arwah abangnya selalu mengatakan dia akan kerap pulang ke kampung mereka di Gerik khususnya selepas hampir tiga bulan dia dan keluarga terkandas di kampung mentuanya di Trolak, Perak.

“Kali terakhir saya bertemu arwah abang kira-kira lima hari selepas hari raya. Sehari sebelum raya arwah memang ada pulang balik hari ke Gerik dari Trolak selepas perjalanan rentas daerah dibenarkan susulan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

“Arwah sekeluarga kembali semula ke Gerik pada raya ketiga sebelum pulang semula ke

Manjung, dua hari kemudian. Emak mengakui perasan dengan perubahan abang khususnya apabila arwah sering bertanya jika ingin mengirim barang dari Manjung untuk dibawa pulang ke Gerik bersamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata siasatan awal membabitka­n Toyota Vios dinaiki empat beranak itu yang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menghala Gerik bertembung Toyota Hilux dari arah bertentang­an.

“Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentang­an menyebabka­n pertembung­an berlaku. Rempuhan menyebabka­n Toyota Vios berpusing sebelum memasuki longkang di bahu kiri jalan dan mengakibat­kan semua empat penumpang kenderaan itu tersepit.

“Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian, sementara mangsa lain termasuk pemandu Toyota Hilux dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Razali berkata, Abdul Hakim disahkan meninggal dunia di hospital pada jam 12.15 tengah malam, manakala Adib Aidan meninggal dunia lima minit kemudian.

Katanya, seorang lagi kanakkanak berusia empat tahun yang berada dalam Toyota Vios berkenaan hanya cedera ringan, manakala pemandu Toyota Hilux luka di lutut kanan.

Beliau berkata, ujian saringan narkotik terhadap pemandu Toyota Hilux yang dipercayai menjadi punca kemalangan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamin­e dan methamphet­amine.

Katanya, suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pembalak, direman selama empat hari bermula sehingga Selasa ini, selain semakan mendapati suspek turut mempunyai 27 saman lampau dan empat saman yang belum dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik terutamany­a memandu laju.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ??
 ?? (Foto ihsan pembaca) ?? Keadaan kereta mangsa dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Ipoh-gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, kelmarin.
(Foto ihsan pembaca) Keadaan kereta mangsa dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Ipoh-gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia