Berita Harian

Potongan bil tiga bulan ringankan beban

-

Kuala Lumpur: Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan yang menawarkan potongan bil elektrik pengguna selama tiga bulan, akan meringanka­n beban pengguna susulan peningkata­n ketara penggunaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sebahagian besar pengguna boleh menarik nafas lega dengan pengumuman itu, khususnya mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh PKP.

“FOMCA menyedari sepanjang PKP, penggunaan elektrik meningkat kerana hampir semua orang terpaksa duduk di rumah tetapi pada masa sama ramai yang terjejas pendapatan dan diberhenti­kan kerja.

“Potongan bil ini akan membantu mereka yang terbeban dengan bil elektrik tinggi sepanjang tiga bulan sejak April lalu.

“Cukup atau tidak pemotongan bil itu bergantung kepada kadar penggunaan elektrik individu, namun yang penting ia membantu,” katanya kepada BH, semalam.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata langkah itu menggambar­kan kesungguha­n kerajaan dan pimpinan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam mendengar luahan pengguna.

Katanya, Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan adalah permulaan positif bagi TNB untuk memperbaik­i dan melicinkan perkhidmat­an, sekali gus berharap keterbukaa­n mendengar masalah pengguna itu akan berterusan.

“CASSA ada menghantar memorandum dan bertemu pimpinan tertinggi TNB termasuk Pengerusin­ya dan kami melihat pengumuman ini sebagai sesuatu yang positif,” katanya.

Ditanya sama ada jumlah potongan itu mencukupi atau tidak berikutan ramai pengguna mengadu kenaikan bil sehingga mencecah atau melebihi RM1,000 ketika PKP, Jacob berkata, ia bergantung kepada cara penggunaan elektrik sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita perlu melihat setiap kes. Adakah kenaikan berlaku kerana kesalahan pengiraan TNB atau kesan penggunaan elektrik secara tidak bertanggun­gjawab oleh pengguna sendiri,” katanya.

Pensyarah swasta, Mohd Afifi Yahaya, 31, menzahirka­n penghargaa­n kepada kerajaan atas potongan itu dan mengakui ia meringanka­n bebannya susulan peningkata­n bil elektrik kediamanny­a hampir 10 kali ganda.

“Sebelum PKP, bil elektrik rumah saya sekitar RM30 hingga RM40, namun saya terkejut apabila bil bagi Jun mencecah RM350.

“Saya akui bil akan naik kerana penggunaan elektrik bertambah sewaktu PKP, namun kenaikanny­a terlalu banyak. Sehubungan itu, potongan ini memang amat dinantikan,” katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Adnan

Mat, berkata penjawat awam berterima kasih atas usaha kerajaan membantu meringanka­n beban dihadapi rakyat.

“Sepanjang tempoh PKP dilaksanak­an, rakyat berada di rumah hampir 100 peratus berbanding hari biasa. Ia pastinya meningkatk­an penggunaan elektrik di rumah, termasuk perlu bekerja dari rumah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Adnan berkata, CUEPACS turut menzahirka­n penghargaa­n kepada TNB yang terbuka memberi insentif lebih baik kepada rakyat tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.

Walaupun menerima kritikan akibat kekeliruan maklumat, katanya, TNB profesiona­l dalam membantu rakyat memberi penjelasan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia