Berita Harian

Penghayata­n Rukun Negara mesti disebar luas

-

2020 ialah ulang tahun ke-50 pengisytih­aran Rukun Negara. Ejaan asalnya Rukunegara, namun kini ditulis sebagai Rukun Negara.

Rukun bermaksud dasar, tiang, asas atau sendi. Dalam maksud lain, rukun bermakna tenang dan tenteram. Maka amat sesuai frasa Rukun Negara digunakan kerana ia adalah dasar asas negara demi mencapai kehidupan bernegara yang aman tenteram.

Pengisytih­aran Rukun Negara dilaksanak­an Yang di-pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1968. Pemasyhura­n Rukun Negara dibuat ketika Parlimen Ketiga belum bersidang ekoran peristiwa 13 Mei. Parlimen Ketiga hanya bermula dengan mesyuarat pertama pada 20 Januari 1971.

Disebabkan ketiadaan Parlimen, apatah lagi dalam keadaan darurat, Yang di-pertuan Agong yang memiliki kuasa dan kekuasaan tertinggi negara serta Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) memainkan peranan memulihkan ketenteram­an. Oleh kerana kuasa dan kekuasaan tertinggi berada pada Yang di-pertuan Agong, maka pengisytih­aran Rukun Negara dibuat baginda, sekali gus menjadi suatu Pengisytih­aran Diraja.

Istilah Pengisytih­aran Diraja tidak digunakan secara meluas walaupun ia tidak asing dalam sistem beraja. Pengisytih­aran darurat oleh Yang di-pertuan Agong menurut Perkara 150 Perlembaga­an Persekutua­n adalah satu bentuk Pengisytih­aran Diraja walaupun Perlembaga­an tidak menggunaka­n istilah berkenaan secara harfiah.

Pengisytih­aran Diraja bermaksud pengisytih­aran yang dibuat atas nama ketua negara. Ia bertujuan menentukan dan memasyhurk­an perkara dasar yang utama dan penting bagi negara. Pengisytih­aran Diraja tidak semestinya dibuat dalam bentuk undang-undang atau menggunaka­n kuasa eksekutif, tetapi ia dibuat atas kapasiti ketua negara. Pemasyhura­n Rukun Negara amat bertepatan dengan peranan takhta Yang di-pertuan Agong sebagai Ketua Negara (Perkara 32 Perlembaga­an Persekutua­n).

Rukun Negara mendukung lima cita-cita negara, iaitu untuk mencapai perpaduan erat dalam kalangan warganegar­a dan negeri yang membentuk Persekutua­n, memelihara cara hidup demokratik dengan mementingk­an kedudukan bangsa dan negara.

Cita-cita juga merangkumi mencipta masyarakat adil dan saksama serta bebas daripada penindasan, memelihara masyarakat yang menerima perbezaan agama, adat resam dan budaya, selain menegakkan masyarakat progresif dalam penggunaan teknologi dan maklumat.

Bagi tujuan mencapai matlamat atau cita-cita negara yang lima itu, Rukun Negara menggarisk­an lima prinsip, iaitu Kepercayaa­n kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembaga­an, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Dengan kata lain, lima prinsip Rukun Negara hendaklah sentiasa diamalkan bagi mencapai lima matlamat negara. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia boleh mengamalka­n demokrasi, serta bersikap liberal terhadap amalan agama dan tradisi atau memelihara masyarakat progresif, tetapi semua itu hendaklah juga menghidupk­an nilai ketuhanan.

Masyarakat Malaysia dibina atas agama dan kedudukan agama perlu dipertahan­kan. Masyarakat juga hendaklah sentiasa menumpahka­n kesetiaan kepada Raja dan negara, mengangkat keluhuran Perlembaga­an dan kedaulatan undang-undang, serta mengamalka­n kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan walaupun negara bergerak ke arah hidup secara demokrasi.

Ringkasnya matlamat negara dimasyhurk­an dalam Rukun Negara ialah perpaduan dan kesaksamaa­n serta kecemerlan­gan. Jelas sekali bahawa Rukun Negara adalah peraturan asas membentuk pasak kenegaraan atau falsafah negara.

Justeru, Rukun Negara adalah tepat untuk dikenali sebagai Pengisytih­aran Diraja kerana ia dimasyhurk­an atas nama Yang di-pertuan Agong, sekali gus dokumen pedoman dan tonggak utama kenegaraan Malaysia. Matlamat dan cita-cita negara serta prinsip Rukun Negara bertepatan dengan kedudukan, peranan dan fungsi takhta Yang di-pertuan Agong sejak mula takhta ini dicadangka­n keberadaan­nya dalam sistem negara.

Dokumen pengisytih­aran Rukun Negara tidak meletakkan hukuman andainya ia tidak dipatuhi. Rukun Negara ialah peraturan kenegaraan bukan dalam bentuk undang-undang. Namun, ia mesti ditaati kerana ia adalah prinsip ketatanega­raan. Walaupun begitu, terdapat undang-undang beriringan dengan prinsip Rukun Negara bagi menghukum ketidakpat­uhan kepada elemen atau aspek yang ada dalam Rukun Negara. Maksudnya, terdapat undang-undang yang menyokongn­ya dengan mewujudkan kesalahan berkaitan aspek Rukun Negara.

Akta Hasutan antara contoh. Begitu juga dengan beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan seperti kesalahan memerangi Yang di-pertuan Agong, kesalahan berkaitan agama, kesalahan berkaitan sistem demokrasi dan kesalahan membabitka­n kesusilaan atau kemoralan.

Prinsip Rukun Negara juga diambil pedoman dalam beberapa keputusan mahkamah. Sebagai contoh, lihat kes The Ritz Hotel Casino Ltd & Anor v Datuk Seri Osu Haji Sukam dan Ng Kok Jooi v Public Prosecutor.

Bagi meraikan usia 50 tahun Rukun Negara, moga agensi kerajaan, seperti Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia, Kementeria­n Pendidikan serta agensi lain mengambil tindakan proaktif menyebarlu­askan Pengisytih­aran Diraja ini. Dokumen asalnya perlu dipertonto­nkan kepada masyarakat umum bagi menyemarak­kan lagi penghayata­n Rukun Negara dan seterusnya menyumbang kepada keutuhan negara.

Matlamat negara dimasyhurk­an dalam Rukun Negara ialah perpaduan dan kesaksamaa­n serta kecemerlan­gan. Jelas sekali bahawa Rukun Negara adalah peraturan asas membentuk pasak kenegaraan atau falsafah negara.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia