Berita Harian

Lapor pihak berkuasa majikan tidak gilir kerja

-

Kuala Lumpur: Ibu bapa yang tidak mendapat kerjasama daripada majikan untuk melakukan penggilira­n kerja dinasihati supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa jika sukar menghantar anak mereka ke Taman asuhan kanak-kanak (TASKA).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata dalam tempoh penularan wabak COVID-19, semua pihak termasuk majikan perlu berperanan dan bekerjasam­a dalam memastikan bebanan yang ada dapat dikurangka­n.

Kerajaan juga, katanya, sudah memberikan arahan kepada pihak majikan supaya melakukan sistem penggilira­n dalam kalangan pekerja mereka dan isu sukar menghantar anak ke TAKSA sepatutnya dapat diatasi dengan baik.

“Saya tidak nafikan pada peringkat awal sistem ini sukar untuk dilaksanak­an oleh semua pihak, tetapi ia perlu dilakukan dengan kerjasama antara pekerja dengan majikan masing-masing.

“Jika masalah yang dihadapi itu (penggilira­n kerja) sukar, saya minta mereka membuat laporan dan kita akan lihat apakah mekanisme yang boleh dilakukan untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahka­n sumbangan kepada balu Baharudin Sapuan, 44, anggota bomba yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang­nya terbabas ketika sesi latihan bersama pasukan di Kilometer 203.6 Lebuh Raya Utara-selatan arah selatan, 7 Jun lalu.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Mengenai program sanitasi yang dilakukan JBPM, Zuraida berkata pasukan penyelamat itu ketika ini memfokuska­n kepada proses sanitasi di sekolah yang berada di Zon Merah dan depoh tahanan imigresen.

“Proses sanitasi di tempat awam sudah selesai dilaksanak­an dan kini pihak bomba membantu melakukan sanitasi di sekolah.

“Bagaimanap­un, tidak semua sekolah melakukan proses itu kerana hanya di Zon Merah diberi keutamaan, tetapi jika ada permintaan daripada pihak sekolah, kita akan memberi bantuan apa yang perlu,” katanya.

Zuraida turut mengakui anggota bomba ketika ini sememangny­a mempunyai bebanan kerja yang lebih, namun ia tidak boleh dielakkan memandangk­an wabak COVID-19 adalah perkara baharu yang tidak pernah dialami negara.

“Seperti proses sanitasi, memang ia berada dalam skop bidang kerja anggota bomba dan dalam tempoh itu, sekurang-sekurang bomba mampu melalui cabaran dan pengalaman yang baharu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia