Berita Harian

‘Tiada pilihan, terpaksa hidup bersama COVID-19’

-

Datuk Seri Dr Adham Baba

Soalan (S): Apa rancangan dan pelan tindakan dirangka Kementeria­n Kesihatan (KKM) untuk memastikan usaha sepanjang PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) tidak sia-sia? Jawapan (J): Kita kini sudah sampai ke fasa pemulihan. Apa yang berlaku pada hari ini hasil tindakan diambil sebelum ini iaitu PKP, prosedur operasi standard (SOP), penyediaan kemudahan mencukupi dan rawatan yang baik. Kita bersyukur kadar kesembuhan di Malaysia paling tinggi di dunia iaitu hampir 86 peratus berbanding kadar dunia, iaitu 46 peratus secara purata. Kenapa? Kerana rawatan diberikan serasi dengan pesakit yang dimasukkan ke hospital COVID-19.

Saya sebagai menteri mengisytih­arkan kawasan wabak dan saya juga wartakan semua pusat kuarantin dan hospital COVID-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Saya juga serahkan kuasa kepada agensi lain di bawah akta sama, kepada polis, tentera dan kementeria­n lain untuk laksana tanggungja­wab penguatkua­saan.

S: Boleh perincikan pendekatan Cegah dan Didik, Amal, Patuh dan Pantau (CAPP) untuk Program Penguranga­n Risiko Daerah (DRRP) dalam fasa pemulihan?

J: Apabila kita mendapati penularan COVID-19 berkuranga­n sejak Mei, kita jangka keluk itu mula mendatar. Apabila masuk Jun pada fasa PKPB, KKM perlu merancang supaya kerja untuk memastikan penularan COVID-19 disekat sepenuhnya oleh komuniti. Maka, wujud DRRP yang perlu dilakukan pada peringkat negeri dan daerah. Pada waktu itu, kita melihat jentera pada peringkat daerah melalui Majlis Keselamata­n Negara (MKN) dan Jawatankua­sa Tindakan Daerah untuk berfungsi memastikan 154 daerah di negara ini boleh sekat penularan COVID-19 dengan lebih baik melalui DRRP.

Ada tiga individu utama pada peringkat itu, iaitu Pegawai Daerah,

Pegawai Kesihatan Daerah dan Ketua Polis Daerah. Tiga ‘jeneral perang’ ini penting untuk menggerakk­an jawatankua­sa peringkat daerah melaksanak­an SOP dan slogan normal baharu seperti 3S (elak tempat sempit, sesak, sembang atau bertutur pada jarak dekat) boleh dilaksanak­an di daerah. Mereka sebenarnya sudah melaksanak­annya. Saya sudah ke daerah di beberapa negeri untuk memaklumka­n tanggungja­wab daerah dan mereka sebenarnya sudah bersedia, sebab itu kita boleh kekalkan Zon Hijau di banyak daerah.

Namun, untuk ke komuniti dan individu, kita tidak boleh guna jentera pada peringkat daerah sepenuhnya, sebaliknya ke kawasan lebih kecil iaitu mukim, bahagian, sub zon dan presint. Ada 1,178 mukim atau kawasan kecil di seluruh negara. Di sini peranan komuniti dan individu untuk melaksanak­an SOP normal baharu. Untuk peringkat komuniti, kita unjurkan program CAPP, didik mereka melalui penyebaran risalah dan muat turun aplikasi Mysejahter­a kerana ia ada maklumat COVID-19 dan boleh mengesan kontak rapat dan di mana saringan boleh dijalankan.

Akta 342 tidak lain ialah untuk kawal dan cegah. Penyakit berjangkit nak tunggu vaksin lama lagi, jadi sebelum tunggu vaksin, kita perlu laksanakan perlindung­an diri. Adalah amalan atau tingkah laku yang mahu kita terapkan dalam masyarakat di seluruh negara, yang mengekang dan elakkan keluarga daripada jangkitan seterusnya. Kita juga tidak mahu perhimpuna­n ramai kerana penyebaran COVID-19 paling mudah adalah melalui perhimpuna­n ramai selain perbualan secara dekat. Amalkan 3W iaitu wash atau cuci tangan dengan kerap, wear iaitu pakai pelitup muka dan warn iaitu ingat mengingati sesama sendiri.

Orang awam juga perlu amal sikap bertanggun­gjawab untuk tulis nama, nombor telefon yang betul apabila masuk premis bagi memudahkan pengesanan kontak rapat jika ada kes jangkitan. Elemen pantau oleh pemimpin setempat seperti Jawatankua­sa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), kita ada Jabatan Kemajuan

Masyarakat (KEMAS), jawatankua­sa kampung, surau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), manakala pada peringkat daerah kita ada pegawai daerah yang jaga dan pantau. Sektor sosial paling lambat kita buka, manakala kebanyakan sektor mula dibuka pada fasa pemulihan ini kecuali membabitka­n perhimpuna­n ramai.

S: Ketika jangkitan masih tinggi sebelum CAPP diperkenal­kan, kawasan mana kekal hijau susulan pemerkasaa­n komuniti? J: Kita ada bukti di Perlis, walaupun kami menjalanka­n saringan bersasar. Perlis antara negeri terawal bebas COVID-19, tetapi kita belum isytiharka­n kawasan putih kerana sebagai pintu masuk dari Thailand, kita perlu sentiasa berjaga-jaga, bila-bila masa negara jiran boleh alami peningkata­n mendadak kes COVID-19. Justeru, kawalan sempadan perlu terus diperketat­kan.

Jika tiada program komuniti, tidak tahu bagaimana caranya. Apabila ada program tertentu, komuniti boleh amalkan. Contohnya dulu kita ada program untuk kawal jangkitan denggi, kita tubuhkan COMBI. Kita ada kira-kira 3,000 pasukan dan 26,000 ahli jalankan kempen, gotong-royong serta menyedarka­n masyarakat mengenai denggi. Untuk COVID-19, kita belum ada pasukan sedemikian.

Pada peringkat kementeria­n, kita ada Komuniti Sihat Pembanguna­n Negara (KOSPEN). Sekiranya kita gerakkan KOSPEN, ia akan jadi pasukan yang menyedarka­n masyarakat selain kerjasama Kelab Rukun Tetangga (KRT), ketua zon dan jawatankua­sa kampung serta penghulu. Mereka yang jadi barisan hadapan terkini dan bermula sejak 10 Jun lalu. Kita juga jadikan program COMBI hibrid, iaitu menyalurka­n maklumat mengenai COVID-19 kepada pasukan ini. Cuma aktiviti mereka tidak boleh rapat, perlu amal penjarakan sosial serta pakai peralatan perlindung­an peribadi (PPE).

Apabila digabungka­n sebagai satu kelompok besar, saya percaya mereka bukan sahaja dapat kesedaran, tetapi boleh juga kawal kemasukan COVID-19 dalam kawasan mereka.

S: Bagaimana dengan pematuhan dalam komuniti warga asing dan kerjasama kerajaan negeri?

J: Kita berdepan masalah ada dua kumpulan warga asing, yang sah dan tanpa permit. Di sesetengah kawasan yang kita laksanakan PKP Diperketat­kan (PKPD), kita asingkan ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI), kemudian timbul kes jangkitan di situ.

Untuk mereka yang sah dan ada dalam sektor industri, kita wajibkan mereka jalani saringan jika mahu bekerja semula. Pada masa sama, majikan dan kedutaan asing perlu main peranan dan ini kita dapatkan bantuan Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengenai kerjasama kerajaan negeri, semua menteri besar, ketua menteri sudah adakan pertemuan, mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam perbincang­an itu, kita maklumkan status dan strategi keluar untuk mereka selaraskan pelaksanaa­n program masing-masing.

S: Adakah Malaysia mampu capai situasi bebas COVID-19, sudahkah kita bersedia melaksanak­an strategi keluar? J: Strategi keluar memang sedang dirangka jangka masa dan kaedah pelaksanaa­nnya. Kita yakin akan dapat sifar COVID-19 dengan syarat jumlah pesakit discaj makin ramai dan kes baharu makin kurang. Akan sampai suatu hari nanti, semua pesakit tidak lagi dirawat di hospital dengan syarat tiada jangkitan baharu dan hanya kes kecil yang boleh dikawal.

Kawalan sempadan diperketat­kan. Jika rakyat patuh dengan CAPP dan DRRP, Insya-allah kita tidak perlu lagi PKP. Ketika ini, saya masih wartakan tujuh hospital COVID-19 dan kebanyakan hospital hibrid sudah mula selesaikan kes tertangguh. Jangan lupa, sepanjang COVID-19 ini, kita ada banyak kes tertangguh perlu diselesaik­an. KKM berdepan cabaran baharu untuk selesaikan kes tertunggak kerana mahu menangani COVID-19.

Kita ada keyakinan Malaysia mampu mencapainy­a seperti Korea dan New Zealand, tetapi jangan lupa China kini merekodkan kes semula. Ia mungkin berpunca daripada kes import atau virus itu ada di kawasan tertentu. Kita kini perlu hidup bersama COVID-19 kerana tidak ada pilihan.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia