Berita Harian

Pasukan bertindak Kementeria­n Luar pastikan rakyat terkandas selamat

-

Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah

Pada peringkat awal, kami mengenal pasti 8,361 orang ketika itu, yang dikelaskan terkandas, kategori kritikal atau separuh kritikal yang tidak boleh berdepan situasi itu dalam tempoh lama, mereka perlu pulang atau berdepan masalah. Kerajaan luluskan bantuan kepada perwakilan untuk memastikan mereka selamat, makan minum terjamin.

S: Apa latar belakang Pasukan Bertindak COVID-19 Kementeria­n Luar?

J: Penubuhan pasukan dianggotai 32 kakitangan ini diarahkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein dan dipengerus­ikan oleh timbalanny­a, Datuk Kamarudin Jaffar. Ia ditubuhkan pada 15 Mac, khusus untuk memantau situasi pandemik di seluruh dunia, mempunyai mandat melaporkan kepada Mesyuarat Khas Menteri Mengenai COVID-19. Pasukan ini bertanggun­gjawab memaklumka­n apa berlaku di luar negara, termasuk pemantauan COVID-19, situasi rakyat di luar dan siapa perlu bantuan.

S: Bagaimana peranan Wisma Putra?

J: Ketika kita mengumumka­n PKP serta sekatan keluar masuk, ia dalam tempoh hampir sama dengan pelbagai negara yang umum sekatan pergerakan serta penggantun­gan perkhidmat­an penerbanga­n. Ketika itu, ada rakyat kita sedang bercuti di luar negara dan terkandas. Pasukan petugas mempunyai mandat untuk bantu mereka pulang. Kita arahkan perwakilan di sana melihat di mana rakyat kita terkandas sebelum kita fikir cara membantu mereka.

Pertama, kita kelaskan mereka yang amat memerlukan bantuan, terutama yang berada di luar negara untuk jangka pendek, melancong dan mungkin hanya ada tiket penerbanga­n pulang serta tiada duit lain untuk pulang atau kegunaan masa kecemasan. Pasukan ini beroperasi 24 jam sehari kerana mengambil kira perbezaan waktu di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan Amerika Latin.

Apabila keadaan membimbang­kan dan perlu tindakan segara, kita ambil tindakan segera, termasuk cari penerbanga­n yang masih terbang ke Malaysia ketika itu serta bantu untuk ubah laluan dengan melalui negara ketiga jika penerbanga­n tidak lagi ke Malaysia.

Kedua, bagi negara yang sudah gantung operasi penerbanga­n komersial, satu cara boleh dilakukan ialah mengatur penerbanga­n melalui kerjasama kerajaan dengan kerajaan, kita boleh mohon kebenaran untuk pendaratan penerbanga­n tidak dijadual atau sewa khas. Contohnya, India antara negara yang paling ramai Malaysia terkandas selepas sempadan negara itu ditutup, ada lebih 4,000 orang sebagai pelancong jangka pendek.

Mereka ada tiket penerbanga­n balik, tetapi kerana penggantun­gan penerbanga­n komersial, ia tidak boleh dilakukan. Kita bincang dengan Malaysia Airlines, Malindo dan Airasia yang sanggup melakukan penerbanga­n ke negara itu sebelum kita minta kebenaran mendarat. Alhamdulil­lah berjaya dilakukan dengan baik dan lancar, namun bukan percuma.

S: Berapa kos membawa pulang rakyat kita dari luar negara, siapa menanggung­nya? J: Apabila berlaku penggantun­gan penerbanga­n komersial, ia akan menyebabka­n kenaikan tambang. Apabila terpaksa gunakan perkhidmat­an transit, ia akan membabitka­n kos berkali ganda. Bagi negara yang susah dapatkan penerbanga­n, kos boleh sehingga RM20,000 seperti di Amerika Latin dan Afrika.

Kerajaan mungkin tiada kemampuan untuk membantu menanggung kos penerbanga­n semua rakyat kita di luar negara, yang boleh menelan belanja sehingga RM250 juta. Namun, kita dapat tajaan, bantuan syarikat Malaysia yang bermurah hati selain yang diselarask­an oleh MIC atau individu lain. Kita sentiasa bekerjasam­a dan mengucapka­n terima kasih. Itu antara caranya.

Sekiranya ada yang dapat penerbanga­n, tetapi kosnya di luar kemampuan, kita boleh bantu sedikit sebanyak dengan menanggung sebahagian kos. Dalam kes tertentu, ada yang kita dapat sahkan kalau tidak dibantu, mereka akan terus berada dalam keadaan kritikal, kebanyakan mereka adalah pelancong. Jika rakyat Malaysia, contohnya pelajar, kita tidak beri bantuan tanggung kos penerbanga­n kerana mereka sepatutnya berada di negara itu.

Dalam kes terkandas membabitka­n jumlah kecil, contohnya di Afrika, kita bantu untuk mereka berada di negara itu buat beberapa ketika dan kita mohon bantuan negara yang mahu menjalanka­n repatriasi rakyat masing-masing untuk turut bawa pulang rakyat kita.

Cabaran lain adalah kuarantin di negara luar yang tidak memungkink­an transit atau sesiapa yang tiba di negara itu perlu dikuaranti­n. Contohnya, ada kes rakyat kita berjaya dibawa pulang dari Fiji, tapi mereka ke Auckland untuk penerbanga­n sambungan dan New Zealand mensyaratk­an mereka dikuaranti­n. Ada situasi rakyat kita tidak mohon bantuan perwakilan dan ambil penerbanga­n ke Singapura dari Eropah, tetapi kemudian diarah berpatah balik ke Eropah.

S: Apa kategori rakyat kita di luar negara dikategori­kan dan jenis bantuan dihulurkan? J: Pada peringkat awal, kami mengenal pasti 8,361 orang ketika itu, yang dikelaskan terkandas, kategori kritikal atau separuh kritikal yang tidak boleh berdepan situasi itu dalam tempoh lama, mereka perlu pulang atau berdepan masalah. Kerajaan luluskan bantuan kepada perwakilan untuk memastikan mereka selamat, makan minum terjamin.

Kita tiada keupayaan bayar kos penginapan mereka di hotel, jadi ada antara mereka terpaksa diletakkan di bangunan kedutaan atau asrama yang masih lagi memerlukan peruntukan untuk kos makan minum. Sehingga 17 Jun, kita berjaya bawa pulang 20,965 rakyat kita dari luar negara termasuk yang pada pandangan Kementeria­n Luar, bukan terkandas tetapi secara sukarela pulang.

Kita perlu memudah cara urusan mereka pulang walaupun mereka bayar kos kerana kebanyakan negara menggantun­g penerbanga­n. Lebih 8,000 adalah mereka yang ke luar negara untuk jangka pendek. Alhamdulil­lah daripada jumlah itu, kini hanya berbaki 193 orang pada peringkat kritikal dan masih berada di luar negara, iaitu 189 ahli kumpulan jemaah tabligh yang ditahan pihak berkuasa India dan bakinya bertaburan di Afrika.

Masalah di Afrika, rakyat kita berada pada jarak yang jauh antara sesama mereka, jadi sukar untuk bantu. Kategori kurang kritikal, ada 434 orang yang mungkin mampu menanggung kos sara hidup sementara penerbanga­n dimulakan semula atau apa cara yang kita fikirkan untuk bawa mereka pulang. Kebanyakan mereka bekerja dan sudah tamat tempoh kontrak, contoh 30 rakyat kita di Nigeria yang tamat perkhidmat­an di pelantar minyak dan dijadualka­n pulang pada April lalu.

Namun, ekoran penggantun­gan dan tiada penerbanga­n lain, mereka terkandas dua bulan, tetapi dalam keadaan baik dan tempat tinggal disediakan majikan. Lebih separuh rakyat kita yang pulang adalah pelajar di Mesir, India dan Indonesia. Yang pulang atas tanggungan sendiri lebih 4,000 orang, pelajar kita di Indonesia juga ramai sudah kembali, lebih 3,000 orang, tidak termasuk di India, Turki dan Maghribi.

S: Boleh Datuk terangkan mengenai kerjasama serantau dalam usaha ini?

J: Itu antara cara kita selesaikan masalah rakyat Malaysia terkandas di luar negara. Kita ada kerjasama dengan banyak negara contohnya Brunei untuk membawa rakyat Malaysia terkandas di Mesir. Mereka dibawa ke Brunei dan pulang ke Kuala Lumpur.

Pada masa sama, penerbanga­n untuk membawa pulang mereka dari Brunei turut membawa bersama rakyat negara itu. Penyusunan atau kerjasama seperti ini berlaku dengan banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi dan Iraq. Ada juga negara lain hantar pesawat ke Malaysia untuk bawa pulang rakyat masing-masing dan kita guna kesempatan itu untuk pastikan rakyat kita di negara terbabit boleh dibawa bersama.

Bagi rakyat Malaysia yang mampu bayar tambang, perwakilan dalam beberapa keadaan berhubung dan bekerjasam­a terus dengan syarikat penerbanga­n. Contoh, perwakilan Malaysia di Myanmar berbincang dengan syarikat penerbanga­n untuk bawa rakyat kita pulang dan ambil rakyat mereka kembali. Ini kita tidak lakukan dengan Indonesia kerana pada satu tahap, penerbanga­n antara dua negara tidak dihentikan.

Ada ketika pesawat Malaysia Airlines disewa untuk bawa rakyat kita dari Surabaya. Cara lain, kerajaan tanggung sepenuhnya kos tetapi terhad tiga atau empat misi seperti bawa pulang rakyat kita dari China dan yang berada di Wuhan, dari Iran, Itali dan terakhir seluruh pelajar kita di Temboro, Indonesia. Kita juga mohon bantuan negara lain untuk bawa rakyat kita keluar supaya dapat sambung perjalanan ke Malaysia melalui negara ketiga.

Ada beberapa kes di Afrika, repatriasi dilakukan kerajaan Perancis menggunaka­n Air France dari Benin atau Gabon. Jika rakyat Malaysia tidak terlalu ramai, dua atau lima orang di satu tempat, kita mohon bantuan Perancis dan sambung penerbanga­n ke Malaysia.

Ada juga dari Peru terpaksa melalui Mexico dan tinggal lebih seminggu di negara itu sebelum pulang. Ia antara cara kita dan amat berkesan untuk membawa pulang lebih 20,000 rakyat Malaysia. Kita tidak boleh kelaskan semua rakyat Malaysia terkandas, walaupun secara teknikal mereka terkandas kerana tiada penerbanga­n komersial beroperasi. Kalau semua dianggap terkandas, semua kira 450,000 rakyat kita di luar negara boleh dikatakan terkandas.

Wan Zaidi Wan Abdullah, Ketua Protokol Kementeria­n Luar

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia