Berita Harian

Proses penamaan calon berjalan lancar

Dua calon Bebas jadikan pertanding­an tiga penjuru

- Oleh Abdul Razak Raaff raaffar@bh.com.my

Pekan: Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zain, 41, yang dipertaruh­kan Barisan Nasional (BN) bagi mempertaha­nkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, akan berdepan dua calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 4 Julai ini.

Lawannya adalah Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang bertanding selaku calon Bebas menggunaka­n simbol rumah dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dengan simbol kunci.

Difahamkan, Tengku Zainul Hisham bertanding sebagai calon Bebas susulan keputusan partinya tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon BN mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pencalonan Mohd Sharim, Tengku Zainul Hisham dan Mohd Shukri disahkan selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Paloh Hinai, di sini, ditutup pada jam 10 pagi semalam.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11).

Pada PRU-14, Allahyarha­m menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain yang memperoleh 1,065 undi.

Proses penamaan calon semalam berlangsun­g dalam suasana tenang dan berjalan lancar berikutan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksika­n antara lain pemeriksaa­n suhu badan calon, pencadang dan penyokong dibuat di pintu masuk.

Jumlah kehadiran ke dalam kawasan pusat penamaan calon juga dihadkan dengan mereka yang dibenarkan masuk diwajibkan memakai pelitup muka dan diminta mematuhi aspek penjarakan sosial, manakala cecair pembasmi kuman disediakan di khemah sekitar dewan utama.

Penyokong calon atau parti bertanding juga dilarang mengiringi calon dan hanya dibenarkan berada 1.5 kilometer dari dewan.

Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRK DUN Chini pada 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai membabitka­n 20,990 pemilih.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia