Berita Harian

Penyu karah khazanah laut Melaka

Negeri mampu jadi destinasi pelanconga­n utama khusus untuk pencinta haiwan marin

- Oleh Hassan Omar bhnews@bh.com.my

Khazanah sejarah Kesultanan Melayu Melaka (KMM) berfungsi sebagai penjana utama industri pelanconga­n di negeri ini sejak sekian lama dengan pelbagai bangunan tinggalan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris dipulihara bagi membolehka­n generasi hari ini menghayati nilai sejarah perjuangan bangsa Melayu menentang kuasa asing.

Bagaimanap­un, suatu hal yang jarang diberi perhatian ialah industri pelanconga­n yang turut berkembang melalui pendaratan penyu karah

(hawksbill), di pantai Melaka barat kira-kira 20 kilometer (km) dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi yang turut memberikan sumbangan besar.

Dengan pantai berpasir halus tanpa diselang-seli dengan kewujudan pokok bakau dan lumpur, pantai Melaka barat bukan setakat satu daripada lokasi indah di barat Semenanjun­g, malah menjadi kawasan pendaratan penyu karah yang pada hakikatnya, lebih tinggi berbanding pantai di negeri lain.

Bagi memastikan pemulihara­an penyu secara konsisten, Jabatan Perikanan negeri menubuhkan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat Alor Gajah pada 1990.

Di pusat berkenaan, telur penyu dieram dan ditetaskan dalam pasir pantai selama 60 hari sebelum anak penyu dilepaskan ke laut dan ada juga yang dipelihara sebagai bahan kajian.

Pantai jadi tumpuan

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Nawar Abdul Karim, berkata kajian jabatan dan pusat konservasi itu menunjukka­n penyu karah adalah spesies lebih kecil berbanding penyu agar dan belimbing dengan saiznya antara 0.7 hingga 0.9 meter manakala penyu belimbing (1.5-2 meter) dan penyu agar (1 meter).

Sebanyak 5,143 pendaratan penyu karah dicatatkan di negeri ini, terutama di pantai Melaka barat dari 2009 hingga 2019.

Daripada hanya 380 pendaratan pada 2009, ia meningkat dari semasa ke semasa dengan jumlah paling tinggi dicatatkan pada 2018 sebanyak 600 dan diikuti pada 2017 (573), 2011 (568) dan 2019 (548).

Sebanyak 611,812 biji telur penyu dicatatkan di pantai negeri ini sejak 2009 hingga 2019 dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 2018 sebanyak 71,044 biji dan diikuti tahun lalu (66,695 biji).

“Antara pantai yang menjadi tumpuan haiwan marin itu bertelur ialah Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung

Dahan, Pengkalan Balak dan Pulau Upeh.

“Sebanyak 4,595 sarang telur penyu yang dicatatkan di pantai negeri ini dari 2009 hingga 2018 berpotensi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelanconga­n utama, khususnya untuk pencinta haiwan berkenaan.

Pendaratan penyu meningkat

“Sebanyak 357,438 anak penyu dilepaskan ke laut dari 2009 hingga 2019, sekali gus menjadikan pantai di negeri ini sebagai lokasi pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjun­g,” katanya.

Beliau berkata, lazimnya antara 100 hingga 200 biji telur dikutip dari setiap sarang untuk dieramkan dengan suhu di bawah 29 darjah Celsius bagi menghasilk­an penyu jantan manakala untuk betina pula 30 darjah Celsius dan ke atas.

Daripada 1,000 anak penyu dilepaskan ke laut, hanya 30 atau 40 ekor akan hidup dan menjadi kelangsung­an penyu karah.

Jumlah pendaratan penyu di negeri ini meningkat kepada 182 dari Januari hingga Mei lalu, terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan mulai 18 Mac lalu sebelum dilanjutka­n melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ia jauh lebih tinggi berbanding 106 pendaratan dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus membuktika­n PKP, PKPB dan PKPP mampu mengurangk­an kadar gangguan terhadap haiwan berkenaan naik ke pantai untuk bertelur.

Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu itu, Mastura Daud menjelaska­n, sambil menyaksika­n anak penyu dilepaskan ke laut pada waktu senja, pelancong berpeluang menyaksika­n keindahan ketika matahari terbenam di ufuk barat.

Katanya, pelancong turut berpeluang menyaksika­n penyu bertelur di sepanjang pantai Melaka barat asalkan tiada pihak yang mengganggu ketika haiwan berkenaan cuba naik ke darat untuk bertelur.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? (Foto Hassan Omar/bh) ?? Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat Alor Gajah memulihara penyu karah sejak 1990.
(Foto Hassan Omar/bh) Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat Alor Gajah memulihara penyu karah sejak 1990.
 ??  ?? Nawar (kiri) dan petugas melepaskan anak penyu ke laut.
Nawar (kiri) dan petugas melepaskan anak penyu ke laut.
 ??  ?? Petugas menanam telur penyu di pusat pengeraman dan penetasan penyu di PKPP.
Petugas menanam telur penyu di pusat pengeraman dan penetasan penyu di PKPP.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia