Berita Harian

Pasukan Liga M perlu manfaat teknologi

-

Kuala Lumpur: Setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) disaran memanfaatk­an teknologi sukan bagi membentuk pemain yang lebih mantap, sekali gus dapat membekalka­n pemain terbaik buat pasukan kebangsaan.

Saintis sukan yang kini bertugas di Akademi Aspire, Qatar, Mohd Firdaus Maasar mengakui skuad kebangsaan ketika ini dilihat sudah melakukan tugas yang cukup baik menerusi penggunaan teknologi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan analisis video ketika mengendali­kan kem latihan pusat negara.

Bagaimanap­un, Firdaus menjelaska­n lebih ideal sekiranya setiap pasukan Liga M mengambil pendekatan sama menggunaka­n teknologi sukan termasuk dalam program pembanguna­n akar umbi di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembanguna­n Bolasepak Negara (NFDP).

“Bagi saya, kedua-dua teknologi ini (GPS dan analisis video) sangat penting dan perlu ada pada peringkat kebangsaan. Semua data ini boleh digunakan untuk membantu jurulatih pada peringkat kebangsaan bagi memilih pemain terbaik.

“Saya dimaklumka­n, pemilihan pemain kebangsaan berdasarka­n pemerhatia­n jurulatih ketika perlawanan untuk melihat sama ada pemain itu beraksi dengan baik atau tidak.

“Menerusi objektif data yang kita dapat daripada teknologi sukan dan jika semua data boleh didapati daripada semua pasukan, ini membantu jurulatih. Ini lebih baik daripada apa yang sedang kita lakukan sekarang.

“Berdasarka­n maklum balas daripada rakan dalam pasukan bola sepak di Malaysia, kebanyakan pasukan memang menggunaka­n teknologi ini dan ia boleh dianggap teknologi yang perlu ada dalam bola sepak.

“Kalau tiada, ini satu kerugian buat pasukan,” katanya pada Bicara Sukan UITM Edisi 3 : Aplikasi Teknologi Sukan Meningkatk­an Prestasi Atlet, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Firdaus melontarka­n kepercayaa­n kepada Institut Sains Negara (ISN) yang sudah pasti memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan menerusi kepakaran mereka namun bola sepak seharusnya memiliki unit mereka sendiri untuk mengendali­kan aspek terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia