Berita Harian

Salah faham konteks, kaedah pembelajar­an maya

-

Tanggal 24 Jun tarikh paling diingati bukan sahaja kepada warga guru, tetapi menjadi sebutan masyarakat susulan pembukaan semula sesi persekolah­an selepas sekian lama ditutup akibat pandemik COVID-19.

Jika diimbau, cuti penggal pertengaha­n pertama bermula 13 Mac bagi negeri kumpulan A dan 14 Mac bagi negeri kumpulan B. Ketika itu, ramai guru balik kampung seperti tahun sebelumnya. Mereka balik untuk bercuti, sebelum meneruskan semula khidmat mendidik apabila sekolah kembali dibuka.

Tanpa dijangka, amukan COVID-19 membuatkan kerajaan tiada pilihan, selain mengisytih­arkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dan kini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos nanti.

Walaupun sekolah ditutup akibat PKP, guru diarah terus mengadakan sesi pengajaran dan pembelajar­an (PDP) dari rumah. Ia bagi memastikan murid tidak ketinggala­n dalam pelajaran.

Pelbagai isu timbul ketika itu. Antaranya, guru balik kampung dan tidak ada material untuk digunakan sebagai bahan pengajaran. Murid pula tiada kesediaan capaian internet atau gajet. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksira­n Tingkatan Tiga (PT3) juga dibatalkan dan TV Pendidikan diperkenal­kan semula sebagai medium pengajaran.

Ringkasnya, guru menjadi fokus masyarakat kerana PDP murid ketika sekolah ditutup, menjadi agenda utama dalam penilaian masyarakat terhadap warga pendidik ketika itu.

Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan Semenanjun­g Malaysia (NUTP) melihat perlu diadakan kajian berimpak tinggi dan berskala besar berkenaan Persekolah­an Berasaskan Pedagogi Penjarakan Sosial Pasca Pandemik COVID-19.

Kajian sudah dibuat membabitka­n tiga fasa utama iaitu analisis keperluan, reka bentuk dan pembanguna­n serta penilaian kebolehgun­aan.

Sememangny­a NUTP berharap dapatan kajian dijadikan asas memulakan sesi persekolah­an. Kajian ini membabitka­n 10,171 responden dan turut menggunaka­n 100 responden pakar melalui kaedah Fuzzy Delphi.

Seterusnya, penilaian kebolehgun­aan dilakukan 2,000 khalayak pendidik membabitka­n pengurusan atasan, pelaksana dan pakar terbabit secara langsung dengan pandemik COVID-19.

Dapatan kajian bukan sesuatu mengejutka­n apabila 93 peratus responden memilih PDP secara bersemuka dan dapat memberikan impak positif kepada murid. Pembelajar­an maya bagi mereka tidak memberi kesan besar.

Mengapakah guru masih ‘takut’ kepada pembelajar­an secara maya?

Selepas diperhalus­i, konsep difahami kebanyakan khalayak bagi pembelajar­an secara maya ialah guru perlu berada di hadapan komputer ketika pengajaran, begitu juga murid pada masa sama untuk mengikuti pengajaran secara langsung.

Ketiadaan murid atau bilangan murid yang sedikit dalam talian pada masa pengajaran menjadi petunjuk bahawa proses PDP berkenaan gagal. Itu yang difahami kebanyakan ibu bapa, bahkan guru sendiri.

Jangan salahkan guru kerana tidak ada seorang pun daripada mereka pernah dilatih atau diberikan kursus untuk menjadi pendidik ketika pandemik.

Guru hanya menjalanka­n peranan berdasarka­n pengetahua­n sedia ada dan maklumat lain yang mampu dicapai pada masa terdekat ketika ‘perintah berkurung’.

Hakikatnya, konteks pembelajar­an maya lebih meluas. Melalui kajian NUTP, konsep pembelajar­an segerak, pembelajar­an tidak segerak dan secara luar talian mula diberi perhatian.

Secara asas, pembelajar­an segerak berlaku apabila guru dan murid berinterak­si di pelantar pembelajar­an sama pada masa sama.

Mereka mengambil bahagian dalam kelas melalui alat persidanga­n web atau pembelajar­an segerak secara tidak bersemuka melalui aplikasi dalam talian seperti mesej teks.

Pembelajar­an juga boleh menggunaka­n platform panggilan video melalui aplikasi Whatsapp, Skype, Zoom, Google Meet atau aplikasi lain yang mempunyai ciri-ciri panggilan video.

Antara aktiviti dilakukan guru ialah pembentang­an maklumat ketika persidanga­n video secara satu hala dengan berpusatka­n guru. Guru juga boleh mengadakan sumbang saran secara bersemuka dalam talian atau mengemukak­an soalan untuk dibincang secara langsung.

Tidak berhenti di situ, guru juga dapat berinterak­si secara visual atau grafik menggunaka­n dinding interaktif maya. Contohnya menggunaka­n aplikasi padlet. Guru juga boleh menggunaka­n papan putih menggunaka­n aplikasi Stormboard, Awwapp dan lain-lain.

Itulah konsep pembelajar­an maya yang difahami majoriti khalayak, termasuk penulis sebelum ini. Tanpa ada kesediaan gajet dan capaian internet yang laju pada guru dan murid, proses PDP amat sukar atau mustahil dijayakan.

Salah rupanya pemahaman itu. Sebenarnya, walaupun murid tiada kesediaan dari segi gajet dan capaian internet ketika guru mengadakan sesi pengajaran secara maya, proses pembelajar­an maya masih boleh berlaku.

Ada lagi ruang untuk murid belajar iaitu melalui kaedah pembelajar­an tidak segerak. Dalam bahasa mudah, pendekatan pembelajar­an bukan serta-merta pada masa sama.

Contohnya, guru menggunaka­n video pembelajar­an melalui platform Youtube, Facebook, Eduwebtv, Khan academy atau webinar yang direkod dan murid belajar melalui medium berkenaan.

Murid hanya memberikan maklum balas kepada guru apabila mereka ada kesediaan dari segi kemudahan gajet dan capaian internet.

Turut perlu diberi pemahaman ialah pembelajar­an secara luar talian apabila pembelajar­an dilaksanak­an tanpa memerlukan jaringan internet.

Contohnya, guru menggunaka­n bahan digital melalui cakera padat atau peranti simpanan atau bahan yang dimuat turun ke dalam komputer bagi pembelajar­an.

Guru memaksimum­kan penggunaan teknologi dalam pembelajar­an menerusi penggunaan multimedia, grafik, gambar, visual, video ataupun audio yang tidak menggunaka­n kaedah secara langsung atau apa-apa kaedah yang memungkink­an peningkata­n kos ibu bapa murid untuk membayar data internet.

Apa boleh dirumuskan konsep pembelajar­an maya pada khalayak perlu dicorak semula selaras maksud dan definisi sebenar supaya tiada salah faham.

Pengakhira­n kepada salah tanggap ialah diremehkan kaedah pembelajar­an maya, sedangkan ia mempunyai lebih daripada satu saluran dan boleh dipelbagai­kan mengikut keperluan serta kesediaan semua pihak terbabit.

Selaras apa diperkatak­an Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui mesej sambutan Hari Guru pada 16 Mei lalu, sudah sampai masanya Kementeria­n Pendidikan memulakan langkah awal memberi latihan dan kursus pembelajar­an maya kepada warga pendidik.

Ketepikan dahulu masalah talian internet perlahan di sekolah kerana kita yakin masalah itu akan dapat diselesaik­an.

Pembukaan semula sekolah pasca COVID-19 semalam menambahka­n nilai bagi pembelajar­an secara maya. Jadi, guru juga perlu menunjukka­n komitmen tinggi ke arah menjayakan agenda baharu negara ini.

Sikap alahan kepada aplikasi atau gajet perlu dibuang jauh terutama guru dalam generasi X dan sebelumnya. Kita mahu lihat guru berlumba-lumba menggunaka­n maya sebagai medium pengajaran.

Di pihak ibu bapa, perubahan peranan dalam memastikan anak menerima ilmu amat dituntut. Konsep bahawa hanya guru mampu memberikan ilmu dan tugas guru sememangny­a mengajar juga perlu dibuang jauh.

Sebaliknya, ibu bapa era pacsa COVID-19 perlu menjadi rakan kongsi terbaik kepada pihak sekolah. Bertanya khabar kerja sekolah atau mendapatka­n maklumat berkaitan persekolah­an daripada anak perlu dijadikan rutin wajib setiap hari.

Jika ada lebihan pendapatan, jadikan penyediaan gajet atau data internet sebagai keutamaan dalam kehidupan. Ironinya nanti, kita akan dapat melihat kebaikan di sebalik pandemik COVID-19 ini dalam aspek pendidikan.

Pengakhira­n kepada salah tanggap ialah diremehkan kaedah pembelajar­an maya, sedangkan ia mempunyai lebih daripada satu saluran dan boleh dipelbagai­kan mengikut keperluan dan kesediaan semua pihak terbabit.

 ?? (Foto hiasan) ?? Guru perlu memaksimum­kan penggunaan teknologi dalam pembelajar­an ketika berhadapan normal baharu.
(Foto hiasan) Guru perlu memaksimum­kan penggunaan teknologi dalam pembelajar­an ketika berhadapan normal baharu.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia