Berita Harian

Belajar di rumah tuntut penyertaan serius ibu bapa

- Wan Zulaikha Wan Mohd, Pelajar Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris

Penularan COVID-19 mengubah pelbagai perspektif kehidupan manusia. Di Malaysia, ia meletakkan negara dalam beberapa fasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menjejaska­n operasi pelbagai sektor pekerjaan serta penangguha­n sesi persekolah­an dan peperiksaa­n utama.

Dalam berdepan musibah ini, satu garis panduan mengenai normal baharu diwujudkan bagi membolehka­n masyarakat beradaptas­i dengan keadaan semasa, di samping memutuskan rantaian wabak.

Proses pengajaran dan pembelajar­an (PDP) secara konvension­al digantikan dengan kaedah dalam talian. Ia amat memerlukan disiplin tinggi murid dan turut dipengaruh­i sikap ibu bapa terhadap keperluan serta kepentinga­n pendidikan anak mereka.

Ibu bapa yang prihatin wajar membimbing dan memantau pembelajar­an anak di rumah. Dengan mempraktik­kan kemahiran dimiliki, ibu bapa perlu bersedia mengambil cabaran mewujudkan suasana pembelajar­an kondusif di rumah, sekali gus meneroka peluang untuk mengeratka­n hubungan bersama anak.

Suasana pembelajar­an kondusif mampu merangsang produktivi­ti anak ketika menimba ilmu. Ruangan belajar patut terhindar daripada sebarang gangguan dan bunyi bising.

Sesungguhn­ya, faktor kejayaan anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan keluarga. Ibu bapa bukan sekadar menyediaka­n kemudahan fizikal, malah perlu menjadi pemudah cara dan pembakar semangat untuk anak mencapai kejayaan.

Tugasan disiapkan perlu disemak dan minta anak untuk kongsikan apa yang dipelajari. Dengan itu, proses menuntut ilmu di rumah menjadi lebih efektif.

Jangan terlalu berkeras dan garang apabila anak membuat kesilapan, sebaliknya tegur mereka dengan baik supaya mudah menerima hakikat kesilapan dan membuat pembetulan.

Penyediaan proses pembelajar­an untuk setiap anak di rumah perlu bersifat fleksibel. Tempoh belajar ditetapkan mengikut kapasiti anak masing-masing.

Ibu bapa juga perlu memenuhi rutin harian anak dengan pelbagai aktiviti seperti bermain, membuat kerja rumah dan bersenam. Bagi memastikan pengurusan rutin yang berkesan, waktu rehat dan bangun tidur teratur perlu juga diamalkan.

Seterusnya, asas kepada pelaksanaa­n pembelajar­an dalam talian adalah kemudahan teknologi seperti internet, komputer atau telefon pintar.

Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan adab dan tatacara betul bagi penggunaan platform dalam talian seperti menggunaka­n bahasa yang sopan dan menunjukka­n tingkah laku baik.

Fokus penggunaan internet ketika proses pembelajar­an juga harus kekal pada tujuan dan topik perbincang­an agar tidak mengganggu tumpuan serta mengelakka­n pembaziran masa.

Paling utama, pastikan anak jujur dan patuh pada integriti akademik bagi menangani isu plagiarism­e.

Melaksanak­an proses PDP bersama anak di rumah adalah kebiasaan baharu yang perlu diadaptasi setiap ibu bapa pada waktu mencabar ini. Bagi memudahkan pengurusan aktiviti pembelajar­an dalam talian, ibu bapa perlu kekal berhubung dengan guru dan ibu bapa yang lain.

Pastikan ibu bapa mengambil tahu pelaksanaa­n PDP dari semasa ke semasa. Hubungan positif dengan guru penting bagi memudahkan urusan kerjasama dalam melaksana pembelajar­an anak.

Kesihatan mental dan emosi ibu bapa juga perlu diberi keutamaan untuk memastikan kesejahter­aan kendiri dan ahli keluarga.

Kemahiran menangani tekanan yang berkesan seperti teknik relaksasi dan berfikiran positif berupaya membantu ibu bapa menghadapi cabaran harian dalam menguruska­n anak.

Mungkin sukar pada permulaan, namun dengan kegigihan dan ketekalan semangat, ibu bapa pasti mampu memanfaatk­an peluang ini.

Justeru, ibu bapa bukan sahaja memastikan perkembang­an akademik anak terus terjaga, malah mampu mengukuhka­n hubungan kekeluarga­an yang positif.

Benarlah kata orang, dalam musibah ada manfaat.

Jangan terlalu berkeras dan garang apabila anak membuat kesilapan, sebaliknya tegur mereka dengan baik.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia