Berita Harian

‘Saya orang biasa’

Pavithra enggan penuhi permintaan sesi fotografi, mahu teruskan rutin harian

- Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bh.com.my

Kemunculan pasangan Youtuber sensasi, Sugu dan Pavithra berkongsi kemahiran memasak dalam gaya tipikal rumah rakyat Malaysia, menjadi bualan ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan.

Netizen tertarik dengan gaya pasangan suami isteri ini beraksi dalam video, apatah lagi Pavithra yang tampak sangat jujur, bersahaja dan merendah diri ketika berkongsi tip memasak.

Menggunaka­n peralatan memasak dan dapur dua tungku yang sering dilihat di kebanyakan rumah di Malaysia, Pavithra pantas mengumpul peminat.

Perhatian terhadap suri rumah ini memuncak apabila portal gaya hidup, fesyen dan hiburan, Pepatung mengabadik­an transforma­si wajah Pavithra atau nama penuhnya, S Pavithra, 28, kepada pesona anggun.

Netizen terkejut dengan perubahan wanita berasal dari Buntong, Perak itu selepas disolek Razzi Musa dengan menggayaka­n busana rekaan Bernard Chandran, Rizman Ruzaini dan Wanpa Official.

Ditanya mengenai transforma­si itu, Pavithra mengelak dengan baik kerana ada pihak mula terfikir dia mahu berjinak-jinak dengan dunia peragaan yang glamor.

“Saya hanya penuhi permintaan portal. Ia menjadi sesi fotografi pertama dan terakhir saya.

“Tidak terfikir menjadi model atau apa sekalipun. Saya tak akan jadi model. Saya mahu terus lakukan rutin seperti biasa dengan memasak dan berkongsi kandungan di Youtube, selain jadi ibu dan isteri

“Saya orang biasa. Saya selesa dengan status itu. Saya sebolehnya menolak hendak ditemubual di televisyen (TV),” katanya yang mempunyai dua anak berusia enam tahun dan dua tahun.

Ditanya mengenai perubahan hidupnya, Pavithra yang tiba-tiba popular dan beroleh pendapatan dengan berkongsi video memasak di Youtube, bersyukur percubaann­ya diterima.

“Saya mula berjinak-jinak dengan dunia Youtube sejak 28 Januari lalu. Saya lakukannya dengan sokongan suami, anak dan keluarga.

“Pada awalnya, saya tidak yakin, apakah orang suka cara saya memasak. Saya terfikir ada tak orang hendak tengok video memasak saya.

“Tetapi sesuatu tidak terduga, sambutan diterima sangat positif dan menggalakk­an. Mahu buka akaun Youtube pun kena ada syarat termasuk mendapatka­n 1,000 pelanggan. Dalam hati terfikir, boleh tak dapat 1,000 pelanggan?

“Namun, akhirnya semua tersusun cantik di depan mata,” katanya.

Pavithra mengaku tertanyata­nya mengapa videonya ditonton.

“Kenapa ramai suka cara saya memasak dan berceloteh? Saya dengar ada orang suka cara saya bercakap bahasa Melayu dengan baik, selain gaya penyampaia­n biasa dan merendah diri.

“Apapun, saya bersyukur dengan rezeki ini. Saya bukan orang kaya, dapatlah berkongsi rezeki dengan keluarga hasil pendapatan di Youtube,” katanya.

Sementara itu, Pavithra menafikan dia memiliki akaun Instagram (IG) dan media sosial lain.

“Saya hanya ada satu akaun Facebook dan Youtube. Akaun media sosial lain itu semua palsu,” katanya

Pavithra berkahwin dengan Sugu atau nama penuhnya, M Sugu, tujuh tahun lalu.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Sugu dan Pavithra mahu terus merakam aktiviti memasak di rumah untuk tatapan pengikut Youtube.
(Foto BERNAMA) Sugu dan Pavithra mahu terus merakam aktiviti memasak di rumah untuk tatapan pengikut Youtube.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia