Berita Harian

COVID-19 jejas institusi keluarga

- Muhammad Fadhil Abd Razak, Pengamal Undang-undang dan Perunding Keluarga Islam Afiq Fadhil & Associates

Ketika ini, Malaysia dilanda wabak COVID-19 sehingga menyebabka­n kerajaan mengambil keputusan untuk mengeluark­an arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Sepanjang tempoh itu, hampir semua operasi industri dihentikan sementara waktu bagi menangani wabak itu. Rakyat dinasihat kekal di rumah bagi memutuskan rangkaian wabak COVID-19 di Malaysia.

Namun, tidak ada sesiapa pernah menyangka tempoh PKP memberikan impak dan kesan sangat besar dalam institusi kekeluarga­an.

Pasangan suami isteri mula bertengkar dan timbul salah faham sepanjang di rumah, malah ada terbongkar rahsia disembunyi­kan daripada pasangan. Ini semua mengundang keretakan dan pergaduhan dalam rumah tangga.

Penulis didatangi beberapa individu yang mengadu mengenai masalah rumah tangga dihadapi sepanjang tempoh PKP. Sejurus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikeluarka­n, beberapa siri pertemuan antara individu dan penulis dilakukan.

Kebanyakan mereka mengadu mengenai sikap pasangan masing-masing dan membuat keputusan untuk berpisah. Namun, ada yang buntu dan memerlukan panduan bagaimana untuk menghadapi dan menyelesai­kan krisis rumah tangga bersama pasangan.

Penulis melihat pasangan ini sebenarnya memerlukan ruang dan peluang sesuai untuk berbincang dengan harmoni akibat salah faham yang berlaku disebabkan kurangnya kebijaksan­aan dalam berkomunik­asi.

Ada pasangan mengadu bergaduh hanya disebabkan perbezaan pandangan dalam mengemas rumah, terasa hati antara satu sama lain kerana melihat pasangan bersenang-lenang di rumah dan bertengkar disebabkan pengurusan kewangan terutama pasca COVID-19.

Salah faham sebegini mampu diharmonik­an jika ada ruang dan medium sesuai untuk pasangan ini berbincang dengan baik.

Kaunseling satu proses perbincang­an antara dua pihak dan dipantau kaunselor. Segala masalah serta isu berbangkit berlaku antara dua pihak kebiasaann­ya sukar dikawal dan dibawa berbincang.

Melalui kaunseling, pihak yang bertelagah mampu berbincang dengan baik dan emosi mereka lebih terkawal. Begitu juga dalam hal berkaitan rumah tangga.

Apabila berlaku konflik antara suami dan isteri, pergaduhan sering terjadi dan akhirnya membawa perceraian. Ini semua disebabkan kurangnya perbincang­an dan kesukaran dialami suami isteri untuk berbincang.

Proses kaunseling sangat diperlukan suami isteri untuk berbincang dengan lebih baik dan terkawal. Proses kaunseling sedikit sebanyak memberi panduan dan gambaran awal kepada suami isteri mengenai perjalanan hubungan rumah tangga mereka.

Menerusi kaunseling, suami isteri dapat melihat sama ada pasangan mereka berminat atau tidak untuk memperbaik­i keretakan dalam rumah tangga. Ini jelas dilihat apabila pertemuan untuk sesi kaunseling dibuat, pasangan masih bersikap tidak serius dan acuh tak acuh, malah tidak menghadirk­an diri ke sesi kaunseling.

Melalui kaunseling, suami isteri dapat melihat dan menilai kesungguha­n pasangan untuk memperbaik­i keretakan rumah tangga.

Jika kesungguha­n datang daripada sebelah pihak sahaja, usaha memperbaik­i sukar kerana pasangan seolah-olah tidak lagi berminat memperbaik­i keretakan.

Walaupun tidak semua berjaya didamaikan, setidaknya ada perdamaian dapat dicapai dan ada rumah tangga berjaya diselamatk­an.

Pilihan terletak pada pasangan masing-masing dalam membuat keputusan dengan baik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia