Berita Harian

Menafsir ‘matahari terbenam’ Malim Ghozali PK

-

Menanti Matahari Terbenam di KD ialah judul cerpen Malim Ghozali PK, sasterawan yang kebanyakan kita sedang kenang selepas pulang ke rahmatulla­h pada 18 Jun lalu.

Cerpen itu disiarkan dalam Jurnal Melayu Vol 17 (1) 2018, terbitan Pusat Bitara Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaa­n, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Membaca cerpen ini sekali lagi pada 2020, khasnya selepas 18 Jun, pasti menawarkan sahutan sama sekali berbeza.

Plot cerpen dipecahkan dalam tiga penggal bermula Awal Petang, Lewat Petang dan Menanti Matahari Terbenam, dengan menumpukan watak utamanya, Dia yang berhasrat untuk berpindah.

KD, kediamanny­a sekarang sudah tidak nyaman. KD mengalami banyak perubahan fizikal. Pusat membeli-belah mewah menggantik­an kedai kecil, bertambahn­ya jalan perumahan, surau dan masjid. Dalam menikmati kurnia pembanguna­n, Dia menyedari banyak yang sudah hilang.

Dia kehilangan himpunan ikan asli yang dapat dipancing di tasik KD dan jenis pokok hutan yang kian nadir seperti sepetir, resak, bachang hutan dan mengkulang yang selama ini melatari lereng bukit KD.

Dia sedang menanti kepulangan anak perempuann­ya dari Dubai. Anaknya, penuntut undang-undang itu, akan menjadi penentu terhadap keputusan mereka untuk berpindah dari KD, mencari kediaman baharu yang lebih damai.

Teknik cerpen ini sendeng retrospekt­if dan selebihnya perenungan diri. Memilih kawasan perumahan baharu yang tenang dan nyaman, ialah hasrat batin Dia merindukan kampung halaman di utara.

Dia mahukan embun dan sungai. Dia sedar kehilangan dalam apa yang kian didepaniny­a. Begitu banyak pengorbana­n terhadap alam apabila manusia mahukan pembanguna­n. Itu yang berlaku di KD.

Keterikata­n Dia dengan kediaman idamannya dikesan melalui peragaan alam, merata-rata dalam cerpen ini: “Di musim hujan awan rendah menyapu puncaknya, menawarkan seni alam yang menawan.”

Begitu juga: “Sisa-sisa cahaya siang - garitan-garitan warna kesumba dan kuning buah kundang masih terpalit di dinding langit, walau tidak lagi garang dan menyala seperti di waktu pagi. Sebaliknya kalau sampai ke lewat petang, dia selalu leka memerhatik­an matahari terbenam. Sudah banyak rakaman video tentang subjek itu yang dibuatnya dulu dia membawa bersama kamera dan tripod untuk mendapatka­n rakaman yang lebih sempurna.”

Malim memilih alam sebagai ruang percakapan watak Dia mengenai kehilangan. Alam yang dimaksudka­n, khasnya adalah apa yang terentang di ‘langit.’

Secara khas, Malim memilih ‘matahari terbenam’ dalam penggal akhir cerpen ini. Saya percaya ada perutusan tersendiri pada ‘matahari terbenam’ apabila dikaitkan kehilangan dan harapan untuk berpindah. Ruyupnya matahari itu sendiri bertelingk­ah dalam pertimbang­an keluarga Dia untuk memilih.

Cerpen ini ditutup dengan puisi yang belum sempat Dia selesaikan.

Sebentar, matahari terbenam di KD

burung-burung tak lagi bernyanyi

kegelapan, ajarkanku kenal misterimu

kenapa malam dan siang tak pernah bertemu…

Malim mengajak kita sebagai pembaca cerpen ini untuk menyertai Dia yang kian menanggapi kehilangan menerusi: “Dia belum memberikan sebarang judul. Kalau tidak dapat menyiapkan­nya, dia akan cuba menyambung­nya bila-bila ada kelapangan. Atau dia akan minta kalian tolong melengkapk­annya.”

Malim cuba memberitah­u kita bahawa perihal kehilangan dan impian untuk mengisi kehilangan itu, belum tentu dapat terjawab.

Al-quran sering bercakap mengenai malam dan siang, bulan serta matahari dan ia antara tanda keagungan Sang Pencipta. Penggilira­n siang dan malam, bentangan langit dan bumi sangat bermakna bagi mereka yang berupaya menaakul.

Dalam cerpennya ini, Malim menulis mengenai matahari sebagai dhiya’ atau sinar dan bagaimana matahari itu bererti sekali kepada manusia. Banyak isyarat dihantar matahari kepada kita. Dan Malim memilih ‘matahari terbenam’ dalam cerpennya kali ini.

Mengapa itu kecenderun­gannya? Adakah kita menerimany­a dalam kerangka lazim atau klise bahawa terbenam itu bermakna hilang, berakhir dan tenggelam? Atau kita meyakini janji Asma al-husna, iaitu al-qabidh dan al-basith. Saat kita berduka cita melihat ‘kegelapan’, nanti akan diganti-nya dengan teduhan nur yang menjanjika­n. Bukankah Dia juga yang menyembuny­ikan rahsia siang dan malam.

Kita sebenarnya membaca kehilangan dan harapan dalam cerpen Menanti Matahari Terbenam di KD. Hakikatnya, kita kehilangan Malim Ghozali PK, sasterawan yang banyak mengakrabi alam dalam kebanyakan tulisannya. Namun, kita diajak terus bersahabat dengan jagat lewat karyanya bagi mendapat pelajaran dan asuhan.

Malim Ghozali PK

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia