Berita Harian

Bantuan wang jejas daya saing syarikat penerbanga­n

MAVCOM syor kerajaan tawar jaminan pinjaman

- Oleh Mahanum Abdul Aziz mahanum_aziz@bh.com.my

Bantuan kewangan secara langsung daripada kerajaan kepada syarikat penerbanga­n yang kedudukan kewanganny­a sudah terjejas sebelum krisis, boleh mengurangk­an daya saing dan meningkatk­an bahaya moral, demikian kata Suruhanjay­a Penerbanga­n Malaysia (MAVCOM).

Ia berkata, bantuan secara langsung yang lazimnya dianggap sebagai langkah menyelamat atau bailout itu boleh menjejaska­n dana awam, sekali gus membebanka­n pembayar cukai dan mengalihka­n dana daripada sektor yang lebih memerlukan seperti sektor kesihatan serta pendidikan.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memastikan apa sahaja bantuan kewangan yang disalurkan haruslah berdasarka­n kerangka yang jelas, tidak bersifat diskrimina­si dan harus mempunyai objektif yang nyata.

“Ia juga perlu berasaskan kepada prinsip ketelusan dan akauntabil­iti. Kewujudan kerangka ini dalam bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia akan memastikan objektif ini dapat dicapai,” katanya dalam komentar bertajuk ‘Bentuk bantuan kerajaan kepada industri penerbanga­n’.

MAVCOM juga mencadangk­an, sebagai alternatif, kerajaan boleh menawarkan jaminan pinjaman atau memberi pinjaman secara langsung kepada syarikat penerbanga­n.

Ia berkata, instrumen itu biasa diberikan di bawah pakej rangsangan kerajaan memandangk­an peminjam mempunyai komitmen untuk membayar balik dana yang disalurkan dengan faedah.

“Seperti dana ekuiti, pinjaman kerajaan tidak boleh diberi secara bebas. Kerangka yang jelas dan prinsip yang nyata adalah penting untuk urusan ini,” katanya.

MAVCOM berkata, pada 2020, industri penerbanga­n dunia dijangka mengalami kerugian AS$411.0 bilion (RM1.76 trilion) berikutan pandemik COVID-19.

Ia berkata, impak kemerosota­n industri itu mencetuska­n keperluan bagi kerajaan untuk memberi bantuan dalam bentuk peruntukan yang bersesuaia­n.

Katanya, bantuan itu menunjukka­n kepentinga­n industri penerbanga­n dalam membantu menghubung­kan warga dunia serta menjalanka­n aktiviti ekonomi yang penting.

“Antara bentuk bantuan kerajaan ialah penangguha­n atau pelepasan bayaran fi, subsidi, pelaburan ekuiti, pinjaman dan sokongan laluan,” katanya.

MAVCOM berkata, dari segi sokongan laluan, bantuan itu lebih berasaskan kepentinga­n sosioekono­mi berbanding keuntungan komersial, terutama di kawasan pedalaman yang terpencil.

Katanya, di Malaysia, kerajaan terus menyokong operasi Perkhidmat­an Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Operasi ini adalah penting bagi menghubung­kan komuniti terpencil,” katanya.

Pinjaman kerajaan tidak boleh diberi secara bebas. Kerangka yang jelas dan prinsip yang nyata adalah penting untuk urusan ini.

Suruhanjay­a Penerbanga­n Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia