Berita Harian

Penolong pengarah wanita di Jabatan Imigresen Johor ditahan kes seludup PATI

Wanita disyaki palsukan cap jabatan seludup pendatang

- Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Polis menahan seorang penolong pengarah wanita di Jabatan Imigresen Johor kelmarin berhubung kes sindiket penyeludup­an pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan pada Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata wanita berusia 50 tahun itu ditahan di pejabatnya oleh anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Pegawai kanan Jabatan Imigresen itu ditahan hasil siasatan terhadap tiga pegawai imigresen yang ditahan 24 Jun lalu kerana bersekongk­ol dengan sindiket PATI.

“Ini tangkapan pegawai paling tinggi setakat ini yang terbabit dalam rangkaian sindiket PATI di Johor, sejak operasi besar-besaran mengekang kegiatan itu dilancarka­n,” katanya pada sidang media di IPK Johor di sini, semalam.

Beliau berkata, modus operandi digunakan pegawai wanita terbabit adalah menyediaka­n cop Jabatan Imigresen Malaysia yang disyaki palsu bagi menguruska­n penyeludup­an warga Indonesia yang tamat tempoh Pas Lawatan Sosial (PLS).

Siasatan mendapati suspek terbabit dengan kegiatan itu sejak sebelum PKP dikuatkuas­akan lagi.

Pada 24 Jun lalu, media melaporkan tiga pegawai Jabatan Imigresen dan seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) ditahan susulan operasi berterusan polis Johor terhadap kegiatan sindiket penyeludup­an migran sejak Mac lalu.

Pegawai Jabatan Imigresen berusia antara 30 hingga 48 tahun itu bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor, manakala anggota PPM berusia 41 tahun pula bertugas di Markas Operasi Pasukan Marin di Putrajaya.

Terdahulu pada 18 Jun, media melaporkan, polis Johor menahan 18 penguat kuasa, termasuk seorang pegawai kanan polis, selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludup­an PATI di negeri ini yang dikesan aktif sejak 2017.

Semua suspek membabitka­n pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superinten­dan (ASP) yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, anggota

Keratan akhbar BH semalam.

pangkat rendah bertugas di Bukit Aman (dua) dan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi (sembilan). Polis Johor turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat di sekitar negeri ini susulan operasi khas antara 15 Jun hingga awal pagi 18 Jun lalu.

Kelmarin pula, 51 anggota Geng Otong didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, atas pertuduhan menganggot­ai kumpulan jenayah terancang kerana mendalangi sindiket PATI antara 2015 hingga tahun ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pegawai imigresen wanita itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, dia akan disiasat mengikut, Seksyen 26A Akta Antipemerd­agangan Orang dan Antipenyel­udupan Migran (ATIPSOM 2007).

“Setakat ini, polis Johor menahan 23 penjawat awam serta anggota penguat kuasa termasuk membabitka­n pegawai berikutan terbabit sindiket PATI di Pantai Timur Johor.

“Polis Johor akan terus memperheba­tkan operasi mengesan sesiapa juga yang terbabit sindiket PATI tanpa mengira apa jawatan mereka,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia