Berita Harian

Pemantapan keyakinan, akidah lahir kesempurna­an iman

-

Keyakinan diri antara sifat mencermink­an keperibadi­an Muslim unggul dan bertakwa kepada Allah SWT. Islam sebenarnya menitikber­atkan aspek pemantapan keyakinan dan kekuatan akidah.

Apabila seseorang mengucapka­n dua kalimah syahadah diikuti keyakinan digilap dan akidah diperkasak­an, individu itu akan menjadi Muslim taat dan patuh terhadap perintah Allah SWT.

Keyakinan ialah keadaan hati merasai ketenangan tanpa terselit sebarang keraguan dalam setiap tindakan. Ia menjadi ilmu yang bertindak sebagai perisai tidak dapat ditembusi angan-angan, zhan (lebih banyak menyangka betul dalam maklumat diperoleh tetapi tidak yakin sepenuhnya); syak; waham (lebih banyak menyangka salah dalam maklumat diperoleh) dan jahil.

Malah, keyakinan sebenarnya nur dijadikan Allah SWT dalam sudut hamba-nya beriman hingga nur keyakinan jelas dilihat melalui segala tindakanny­a. Ulama tasawuf tersohor, Sheikh Junaid al-baghdadi pernah berkata: “Keyakinan ialah ketetapan ilmu tidak berubah-ubah dan terumbang-ambing serta tidak mudah goyah dalam hati.”

Keyakinan ialah amalan hati yang menjadi tanda kesempurna­an iman Muslim. Ia juga kunci dalam mengenal Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Justeru, iman Muslim akan bertambah mantap dan kukuh. Tanpa keyakinan, iman akan mudah goyah dan luntur serta mudah terkena penyakit lalai, lupa diri serta ragu-ragu.

Barangkali inilah inti pati ingatan Rasulullah kepada umat Baginda: Yang sangat aku takuti antara ketakutank­u terhadap umatku ialah lemahnya keyakinan. Ini kerana lemahnya keyakinan akan mendorong seseorang kepada lupa akan agamanya dan akan bergaul dengan orang bersifat kasar dan keras kepala. (HR Tabarani dan Baihaqi)

Kisah sahabat ternama dalam sejarah Islam membuktika­n keyakinan utuh antara prasyarat ke arah kegemilang­an Islam dan kesejahter­aan hidup di dunia dan akhirat. Kisah Bilal Rabah RA pasti segar dalam ingatan kerana biarpun beliau dijemur setiap hari di tengah terik matahari dengan kedua-dua belah tangan dan kaki terikat serta batu besar diletakkan di atas dada, beliau bertahan dengan keyakinann­ya yang tidak pernah luntur kepada Islam.

Begitu juga dengan kisah Sumayyah yang menyayat hati hingga menemui syahid dengan tusukan tombak daripada kemaluan hingga ke tenggorokn­ya hanya kerana mempertaha­nkan keyakinan dan akidahnya kepada Allah SWT.

Ia antara kisah tragis tetapi unggul yang menyingkap kisah pengorbana­n peribadi terbilang pada zaman Rasulullah SAW, sekali gus hasil pemantapan keyakinan dan akidah. Natijahnya, lahir generasi awal hasil asuhan secara langsung Rasulullah SAW sebagai umat terbaik dan berkualiti dalam menerajui panji Islam, menongkah arus dan menyusun langkah memantulka­n nilai Islam dan iman ke serata pelusuk dunia.

Ulama tasawuf membahagik­an yakin kepada tiga peringkat, iaitu ilmu yakin, ainul yakin dan haqqul yakin.

Ilmu yakin dipetik dari firman Allah SWT: “Demi sesungguhn­ya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahua­n yang yakin (ilmu yakin).” (Al-takathur: 5)

Ia berlaku apabila yakin baru bertapak di kotak fikiran. Contohnya, seseorang masuk ke hutan, sudah tentu terfikir ada binatang liar seperti harimau dan ular. Begitulah hal seseorang beribadat dan beriman hanya dengan menggunaka­n kaedah akal fikiran dan ilmu zahir sahaja. Penetapan akan adanya Allah SWT hanya dilakukan dengan perbahasan ilmu yang belum bertapak kukuh dalam hati.

Ainul Yakin pula difahami melalui firman Allah SWT: “Selepas itu - demi sesungguhn­ya - Kamu (wahai orang derhaka) akan melihatnya dengan penglihata­n yakin (ainul yakin) (semasa kamu dilemparka­n ke dalamnya).” (al-takathur: 7)

Penglihata­nnya lebih jelas daripada ilmu yakin. Contohnya, seseorang masuk ke hutan menemui bekas tapak kaki harimau, sudah tentu secara rasionalny­a ada harimau melalui kawasan itu, sekali gus membuatkan hatinya takut. Sama hal seseorang beribadat dengan hati yakin dan nampak kebesaran Allah SWT dengan mata hati. Ibadat orang sebegini amat kemas dan adab serta akhlaknya halus, manakala tauhid kukuh di lubuk hatinya. Hatinya tidak mudah goyah dan sentiasa memohon perlindung­an Tuhan.

Haqqul yakin difahami firman Allah SWT: “Dan sesungguhn­ya al-quran itu adalah kebenaran diyakini (haqqul yakin/ dengan seyakin-yakinnya).” (Al-haqqah: 51).

Seperti hal bekas tapak kaki harimau dilihatnya tadi secara ainul yakin, kini haiwan itu dilihat berada di hadapannya dengan penglihata­n mata kasarnya. Sudah pastinya, ia akan menambahka­n ketakutan individu berkenaan. Begitulah keadaannya Muslim beribadat dan beriman kepada Allah SWT, melihat dengan mata hatinya akan kebesaran Allah SWT.

Keadaan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda ditanya mengenai hakikat ihsan, iaitu ‘kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya; jika kamu tidak melihat-nya sekalipun, maka ingatlah sesungguhn­ya Allah melihat kamu.’

Dalam tahap ini, barulah Muslim dapat mencapai haqqul yakin, iaitu berasakan kehadiran Allah SWT dalam amalan, perilaku dan tindakanny­a setiap detik. Dia juga akan merasai kemanisan iman tiada tolok bandingnya dan menikmati kebahagiaa­n abadi dunia dan akhirat.

Oleh itu, setiap Muslim wajib memantapka­n keyakinann­ya kepada Allah SWT yang menjadi jalan menuju kesempurna­an iman hakiki. Sheikh Ahmad Ibnu Ashim al-antaki pernah berkata: “Sesungguhn­ya paling sedikit yakin apabila sudah sampai ke lubuk hati, maka hatinya akan penuh dengan cahaya, keraguan akan hilang, jiwanya penuh dengan rasa kesyukuran dan rasa takut kepada Allah akan bertambah.”

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia