Berita Harian

Kaji semula program dwibahasa

Pakar saran kaedah pembelajar­an subjek BI ditambah baik

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

NGO berkaitan bahasa Melayu dan pendidikan mahu Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanak­an di sekolah rendah dan menengah dikaji semula. Sambil menyokong keputusan Kementeria­n Pendidikan tidak memperkena­lkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajar­an Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), NGO berkenaan menegaskan DLP yang tiada bezanya dengan PPSMI hanya menyebabka­n polarisasi dalam kalangan murid.

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bahasa Melayu dan pendidikan mahu Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanak­an di sekolah rendah dan menengah sejak 2016 dikaji semula.

NGO terbabit dalam kenyataan bersama bagi menyokong keputusan Kementeria­n Pendidikan untuk tidak memperkena­lkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajar­an Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menegaskan pelaksanaa­n DLP hanya menyebabka­n berlakunya polarisasi dalam kalangan murid.

Malah, tokoh bahasa Melayu dan pendidikan mahu DLP dimansuhka­n kerana mengikut mereka program itu tiada beza dengan PPSMI.

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, yang mewakili 15 NGO berkenaan berkata dalam DLP, ada sejumlah murid yang mengikuti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sebahagian lagi pula dalam bahasa Melayu.

“Pakar bahasa dan pendidikan sudah menawarkan penyelesai­an dengan meningkatk­an penambahba­ikan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) itu sendiri meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar.

“Malah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Prof Emeritus Dr Isahak Haron (Prof Emeritus Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) untuk mengemukak­an langkah dalam peningkata­n pengajaran Bahasa Melayu, BI dan Pendidikan Islam, untuk dimanfaatk­an oleh Kementeria­n Pendidikan,” katanya dalam kenyataan semalam.

NGO terbabit ialah Majlis Perundinga­n Melayu; Gabungan Persatuan Penulis Malaysia; PLM; Gerakan Pembela Ummah; Majlis Pembanguna­n Pendidikan Islam Malaysia; Persatuan Penulis Nasional; Persatuan Penulis Johor; Akademi Sains Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

NGO lain ialah Angkatan Belia Islam Malaysia; Majlis Belia Malaysia; Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat; Gabungan Pelajar Melayu Semenanjun­g; Alumni UKM Lembah Pantai; Persatuan Nusantara Melayu Raya dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan.

DLP yang diperkenal­kan sejak 2016 itu adalah program pengukuhan BI yang mana sekolah tertentu diberi pilihan menawarkan pengajaran dan pembelajar­an subjek Sains dan Matematik dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, berdasarka­n kepada permintaan ibu bapa dan pengetua serta kesediaan sekolah melaksanak­annya.

PPSMI pula mewajibkan semua sekolah melaksanak­an pengajaran dan pembelajar­an subjek berkaitan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Sumber Kementeria­n Pendidikan berkata sehingga bulan ini, sebanyak 2,259 sekolah yang terpilih di negara ini melaksanak­an DLP dengan 1,551 membabitka­n sekolah rendah dan baki 708 sekolah menengah.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, pula berkata DLP wajar dimansuhka­n kerana program itu dan PPSMI dilihat sama iaitu membabitka­n pengajaran subjek seperti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, keputusan Kementeria­n Pendidikan untuk tidak melaksanak­an semula PPSMI adalah suatu yang amat disokong.

Ia dilihat sebagai petanda baik untuk kementeria­n juga mengkaji semula pelaksanaa­n DLP, sekali gus membatalka­n program itu di sekolah, katanya.

“Kita amat menyokong langkah tidak melaksanak­an semula PPSMI kerana ia merugikan ibu bapa dan murid, justeru kita mohon supaya dibatalkan DLP dan meneruskan sistem Program Memartabat­kan Bahasa Melayu dan Memperkasa­kan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Apatah lagi MBMMBI sudah cukup mantap untuk diteruskan di sekolah dan ia adalah berdasarka­n teras kepada Dasar Pendidikan Negara,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau berkata dengan melaksanak­an DLP, ada murid terpaksa berpindah ke kelas lain kerana tidak mahu mengikuti subjek dalam bahasa Inggeris selepas keputusan dibuat oleh guru besar untuk melaksanak­an DLP.

Malah, dalam DLP, katanya isu keupayaan guru untuk mengajar dua subjek penting itu dalam bahasa Inggeris juga menjadi persoalan.

Namun begitu, katanya, penyelidik­an secara berterusan harus dilaksanak­an untuk melihat kaedah terbaik bagi memantapka­n BI dalam kalangan murid dan pengajaran yang menggunaka­n bahasa Melayu.

Sementara itu, Prof Emeritus Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata dasar DLP adalah sama dengan PPSMI cuma pengajaran melalui DLP adalah untuk murid terpilih, sekali gus meningkatk­an lagi jurang antara golongan murid yang mahir berbahasa Inggeris dan yang tidak di sekolah.

Beliau yang juga pakar pendidikan berkata, bagi meningkatk­an penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, cara yang lebih berkesan ialah menerusi kaedah 'English in Context for Content (ECC)’, iaitu memasukkan elemen subjek itu dalam subjek BI, bukan mengajar subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.

“Sekarang ini pengajaran BI diambil dari program Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) yang kemungkina­nnnya kurang sesuai untuk murid di Malaysia.

“Sepatutnya kita mansuhkan DLP diganti dengan pengajaran BI yang lebih baik menggunaka­n pengisian dalam ECC, kena ubah kaedah mengajar BI, “katanya.

Beliau berkata, perlu dilakukan kajian berhubung pelaksanaa­n DLP itu di sekolah selepas kajian melalui PPSMI mendapati program berkenaan gagal apabila kira-kira 20 peratus sahaja menyatakan boleh mengikuti pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, beliau yang mengetuai pelaksanaa­n dua set kajian kesan Dasar PPSMI di sekolah oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2007/2008 dan 2009/2010 mendapati hanya 10 peratus guru yang menggunaka­n bahasa Inggeris sepenuhnya dalam PPSMI.

“Tinjauan soal selidik dan ujian terhadap responden terdiri daripada murid sekolah mendapati 80 peratus murid tidak faham atau kurang faham dalam PPSMI dan hanya kira-kira 20 peratus yang faham,” katanya.

Kita mohon supaya dibatalkan DLP dan meneruskan sistem Program Memartabat­kan Bahasa Melayu dan Memperkasa­kan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia