Berita Harian

Menghayati nilai pengorbana­n sebenar

-

Tular di media sosial seorang penternak kambing di Johor menawarkan kibas bernilai RM1,100 seekor, tetapi hanya perlu membayar RM20.20 untuk individu istimewa bernama Ismail Ibrahim.

Syaratnya ia hanya untuk ibadat korban dan mestilah anak Johor dan beralamat tempat tinggal di Johor.

Begitulah istimewany­a ibadat korban sehingga golongan yang sedar akan kelebihann­ya berlumba-lumba meraih ganjaran pengampuna­n dosa dan penyaksian di Hari Kiamat.

Hukum melaksanak­an ibadat korban ialah sunat muakkad. Ia mengambil sempena pengorbana­n agung Nabi Ibrahim AS yang diperintah­kan Allah SWT untuk mengorbank­an Nabi Ismail AS, yang kemudian ditukarkan dengan penyembeli­han seekor kibas.

Nabi Muhammad SAW turut berkorban dengan menyembeli­h kibas atau kambing dan menjadi sunah untuk diikuti oleh umatnya zaman berzaman.

Oleh itu bersempena ketibaan Zulhijjah, umat Islam diajak menzahirka­n tanda kesyukuran atas nikmat kesihatan, keselamata­n dan keamanan dikecapi selama ini dengan turut sama melaksanak­an ibadat korban.

Lagi pula jika dibandingk­an gaji dan pendapatan tahunan diperoleh, hanya sekitar RM600 hingga RM750 sahaja untuk satu bahagian lembu yang perlu dibelanjak­an.

Bagi yang berkemampu­an boleh sahaja menyembeli­h kambing atau unta untuk diagihkan kepada fakir miskin dan masyarakat setempat.

Umat Islam diajak untuk tidak melepaskan peluang melaksanak­an ibadat korban sebagai aktiviti ibadat tahunan. Bagaimanap­un semua pihak diharap sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penyembeli­han ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Dengan cara ini seluruh anggota masyarakat dapat menunjukka­n rasa kesyukuran atas jasa bakti dan pengorbana­n barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang dan malam.

Tunjukkan tanda terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawat pesakit COVID-19 dan pihak berkuasa yang mengambil semua langkah perlu bagi mengelak pandemik menjadi ancaman kepada kesejahter­aan negara.

Semoga pengorbana­n nyawa, masa dan tenaga petugas barisan hadapan dibalas dengan ganjaran yang sempurna di sisi-nya.

Masyarakat juga diajak terus bersama-sama berkorban dengan mematuhi segala nasihat Majlis Keselamata­n Negara (MKN) dan Kementeria­n Kesihatan untuk kebaikan bersama.

Usah alpa dan mengambil mudah keperluan memakai pelitup muka ketika berada di khalayak ramai serta terus mengamalka­n penjarakan sosial dengan sangkaan sudah selamat daripada wabak COVID-19.

Sedarlah betapa negara jiran dan negara maju lain yang mempunyai fasiliti kesihatan terbaik pun masih bergelut menangani penularan wabak ini.

Ada juga negara terpaksa melaksanak­an semula kawalan pergerakan seperti Jepun dan Australia apabila wabak menyerang semula.

Dalam konteks sama, umat Islam yang kembali dapat mengimarah­kan masjid dan surau dengan aktiviti ibadat dan majlis ilmu diharap terus mematuhi SOP ditetapkan.

Usah kerana seorang yang berdegil akhirnya seluruh kariah menanggung kepayahan apabila masjid terpaksa ditutup dan solat berjemaah sekali lagi dilarang.

Usah mengambil bersikap pentingkan diri sendiri dan rasai sedikit pengorbana­n serta susah payah petugas barisan hadapan dengan sama-sama menjaga diri dan keluarga.

Dalam pada itu, generasi belia diingatkan tidak sampai mengorbank­an masa muda dengan membazirka­n masa bermain permainan dalam talian siang malam atau merempit sehingga ada yang terkorban dalam kemalangan jalan raya.

Bagi yang sudah mula bersekolah dan memulakan pengajian di pusat pengajian tinggi dinasihat bersungguh-sungguh mentelaah pelajaran dan membuat persiapan awal untuk menghadapi peperiksaa­n agar cemerlang dalam pelajaran.

Begitu pula generasi muda diingatkan jangan sampai terkorban dek runtunan hawa nafsu dan pergaulan bebas sehingga terlanjur melakukan zina dan mengandung anak luar nikah.

Lebih keji ada yang sudah terlanjur sampai hati membunuh bayi tidak berdosa dengan membuang ke dalam lubang najis mahupun mencampakk­an bayinya dari tempat tinggi seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Pasangan remaja terlanjur diingatkan tidak menambah dosa zina dengan membunuh kerana masih ada jalan keluar kepada masalah yang berlaku.

Terdapat rumah perlindung­an wanita dan kanak-kanak di seluruh negara yang boleh dikunjungi untuk mendapatka­n nasihat dan membetulka­n kesilapan lalu.

Akhirnya hayatilah nilai pengorbana­n sebenar dengan kembali mentaati segala peraturan agama dan perundanga­n negara.

Syukuri segala nikmat kurniaan Ilahi dengan berkorban nyawa, wang ringgit, masa dan tenaga untuk kebaikan hidup di dunia dan hari akhirat.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia