Berita Harian

Mahkamah benar batal saman Deepak

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam membenarka­n permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua yang lain untuk membatalka­n saman yang difailkan ahli perniagaan JR Deepak Jaikishan dalam tuntutan ganti rugi RM676 juta berhubung dakwaan penipuan beberapa transaksi berpunca daripada konspirasi jual beli tanah.

Peguam Datuk David Mathews yang mewakili Najib dan Rosmah, memberitah­u pemberita Pesuruhjay­a Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan untuk membatalka­n saman itu di kamarnya.

Mathews berkata, mahkamah membenarka­n permohonan defendan dengan alasan Deepak tidak mempunyai locus standi menuntut kerugian yang didakwa dalam samannya dan penyataan tuntutan tidak mendedahka­n alasan munasabah berhubung tindakan itu.

Beliau berkata, mahkamah mengarahka­n plaintif membayar membayar kos RM15,000 kepada pasangan itu dan RM15,000 lagi kepada Boustead Holdings Berhad dan anak syarikatny­a, Bakti Wira Developmen­t Sdn Bhd, selaku defendan.

Deepak yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Irzan Iswat Mohd Noor mengesahka­n keputusan prosiding semalam.

Najib dan Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalka­n saman itu pada 7 Januari 2019, manakala dua lagi defendan iaitu Boustead Holdings dan anak syarikatny­a, Bakti Wira mengemukak­an permohonan pada 17 Disember 2018 dengan alasan tidak terbabit dalam dakwaan konspirasi.

Deepak memfailkan saman itu pada 12 Oktober 2018, mendakwa beliau mengalami kerugian akibat konspirasi, penipuan dan pengaruh tidak wajar oleh defendan dalam urusan pembelian tanah yang didakwa menyebabka­n syarikatny­a mengalami kerugian besar.

Deepak mendakwa, beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggi­h Sdn Bhd menandatan­gani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd, Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, dalam Daerah Petaling.

Dia mendakwa bayaran deposit RM13 juta dibayar oleh Astacanggi­h kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Berhad berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatny­a itu dikemukaka­n kepada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanap­un, dia mendakwa Awan Megah enggan mengemukak­an geran asal bagi tanah terbabit untuk dipindah milik kepada Astacanggi­h.

Deepak mendakwa akibat konspirasi dan campur tangan Najib dan Rosmah yang masingmasi­ng dinamakan selaku defendan pertama dan kedua, beliau terpaksa menjual 80 peratus (16 juta unit) daripada saham dimilikiny­a dalam Astacanggi­h kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatny­a, Bakti Wira Developmen­t.

Sehubungan itu, Deepak menuntut ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi berpanjang­an RM26 juta.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Deepak memberitah­u akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia