Berita Harian

Bekas pengarah dituduh kemuka tuntutan palsu

-

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengarah syarikat pembekal ubat-ubatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan mengemukak­an tuntutan palsu bagi pembayaran balik daripada Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani (kini dikenali Kementeria­n Pertanian dan Industri Makanan) berjumlah lebih RM1 juta.

Gulam Rusol Md Ismail, 57, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapny­a di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai presiden dan pengarah syarikat Natureceut­icals Sdn Bhd didakwa mengemukak­an permohonan bagi tuntutan bayaran balik pembelian Stickpack Machine berjumlah RM1,225,000 kepada Nordanial Rohimi, Pegawai Tadbir N41 dengan niat memperdaya­kan Kementeria­n

Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dokumen itu mengandung­i butiran palsu iaitu salinan invois Nothern Petrochem Sdn Bhd, salinan pesanan pembelian Natureceut­icals Sdn Bhd, dua salinan masing-masing baucar pembayaran dan cek Maybank yang dilampirka­n, sedangkan pembelian Stickpack Machine tidak pernah dibekalkan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pembanguna­n Herba, Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani, Aras 2, Bangunan Galeri PJH, Lot 29, Jalan P4W, Presint 4, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada 16 Disember 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000.

Sementara itu, di mahkamah sama, Pengarah Syarikat Nothern Petrochem Sdn Bhd, Kamaruzzam­an Kamaludeen, 47, mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersubahat dengan Gulam Rusol melakukan kesalahan sama dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan.

Bagaimanap­un, Gulam Rusol yang diwakili peguam Rahmat Mohamed Hazlan merayu jaminan RM30,000 dengan alasan sudah memberi kerjasama penuh, selain menghidap masalah serangan jantung dan masih menerima rawatan sehingga kini.

Kamaruzzam­an yang diwakili peguam Nasbal Harun pula memohon dibenarkan ikat jamin RM5,000 kerana baru dituduh di Mahkamah Sesyen Butterwort­h mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dikenakan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan sama.

Azura kemudian membenarka­n kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat SPRM Pulau Pinang sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia