Berita Harian

Saringan awal kanser lindungi nyawa

Kesedaran awal paling berkesan elak rawatan lebih rumit dan risiko maut

-

Oleh Rohaniza Idris

Kanser dikategori­kan sebagai penyebab kedua tertinggi kematian di negara ini.

Ramai tahu bahaya penyakit ini, namun ketakutan dan kesedaran semata-mata masih tidak mampu menurunkan graf penyakit itu.

Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Aqilah Othman, berkata tahap kesedaran orang ramai memang ada tetapi menjalani ujian saringan awal masih rendah.

Katanya, ramai malu membuat pemeriksaa­n ujian saringan, selain tidak mengambil berat serta merasakan diri sihat atau penafian mengenai penyakit kronik.

"Tahap kesedaran dan dan sikap sambil lewa mengenai pemeriksaa­n menjadikan perkara itu sering diketepika­n.

"Sepatutnya ujian saringan kanser atau pemeriksaa­n ini boleh dilakukan ketika masih sihat tanpa sebarang tanda atau gejala menunjukka­n kesakitan.

"Mereka melakukan ujian saringan selepas ada tanda 'abnormal' atau tidak normal, dikira lambat untuk mendapatka­n rawatan lebih-lebih lagi membuat ujian selepas mengalami sakit teruk atau berada keadaan kritikal," katanya.

Saringan pelbagai jenis kanser

Dr Aqilah berkata, program saringan paling biasa dilakukan ialah berkaitan kanser payudara, kolorektal, pangkal rahim dan paru-paru.

Ia berbeza bergantung kepada jenis kanser dan peringkat umur seseorang. Setiap jenis kanser cenderung menyerang pada peringkat umur berbeza.

Katanya, individu berusia lanjut lebih berisiko mendapatka­n penyakit ini terutama jika terdedah kepada punca yang boleh menyebabka­n kanser atau kumpulan dalam pekerjaan berbahaya yang ada risiko.

“Individu berusia 45 tahun dan ke atas bagi kumpulan individu perlu melakukan ujian saringan untuk mengesan kanser payudara dan kolorektal. Bagi mereka yang aktif seks, seawal usia 25 tahun disarankan membuat ujian saringan untuk mengesan kanser pangkal rahim,” katanya.

menghidap kanser

Beliau berkata, individu berisiko merujuk kepada yang mempunyai ahli keluarga terdekat pernah menghidap kanser terutama disahkan menghidap kanser pada usia sebelum 40 tahun kerana kebarangka­lian kecenderun­gan genetik sebagai punca penyakit itu lebih tinggi.

Mereka merokok, sudah lanjut usia atau mempunyai obesiti juga antara contoh individu berisiko.

"Ujian mamogram mengambil masa 10 hingga 15 minit. Ia boleh mengesan perubahan kecil di dalam payudara.

"Bagi ujian saringan pangkal rahim, sebenarnya tidak sakit dan cepat tetapi ramai segan. Jangan malu buat pap smear dan ujian HPV virus.

“Sekiranya semua wanita yang memenuhi kriteria ujian saringan menjalani secara berkala, dianggarka­n lebih daripada 80 peratus kematian akibat barah pangkal rahim dapat dicegah ” katanya.

Untuk ujian kanser usus, sebenarnya ia semudah membuat ujian calitan pada najis sahaja.

Jika darah dikesan di dalam ujian najis, disarankan untuk membuat ujian kolonoskop­i, iaitu kamera fleksibel yang kecil dimasukkan melalui dubur untuk melihat keadaan lapisan dalaman usus

Simptom perlu diberi perhatian

Dr Aqilah berkata, tidak semua jenis kanser mempunyai ujian saringan khusus.

Jika letih dan demam berpanjang­an lebih empat minggu adalah petanda seseorang tidak sihat dan perlu mendapatka­n rawatan susulan.

"Sekiranya sering letih, hilang berat badan tanpa sebab, keluar sebarang cecair luar biasa atau pendarahan, badan memberikan isyarat perlukan siasatan lanjut.

"Tanda awal kanser payudara, biasanya ada benjolan di dalam payudara. Bagi kanser pangkal rahim jika berlaku pengaliran cecair atau darah yang luar biasa, pendarahan ketika atau selepas melakukan seks.

"Jika berlaku pendarahan ketika membuang air besar, atau tabiat usus berubah ia mungkin petanda awal kanser usus,” katanya.

Kaedah pencegahan

Adakah keputusan ujian saringan tidak normal bermakna seseorang mempunyai kanser? Dr Aqilah menjelaska­n tidak semestinya hasil ujian saringan kanser tidak normal bermakna seseorang menghidap kanser.

“Jika keputusan tidak normal, staf kesihatan mungkin perlu melakukan ujian lain lebih spesifik bagi memastikan mereka menghidap kanser atau tidak," katanya.

“Ujian saringan kanser bukan sahaja boleh mengesan kanser di peringkat awal gejala dan perubahan tidak normal sebelum sel atau tisu berubah menjadi kanser.

"Individu perlu menyediaka­n bajet khusus untuk membuat pemeriksaa­n kesihatan,” katanya.

Amalan gaya hidup sihat dan melakukan ujian saringan berkala boleh menjimatka­n kos dalam jangka masa panjang.

“Bukan semua yang menghidap kanser berakhir dengan kematian. Jika dikesan awal, mudah untuk rawatan diberikan dan peluang sembuh lebih tinggi.

“Jangan gusar jika kanser dikesan lewat. Perubatan moden sekarang jauh bezanya berbanding dulu,” katanya.

Beliau berkata, ramai pesakit kanser walaupun dikategori­kan lewat dikesan masih boleh menjalani kehidupan seharian seperti orang lain setelah mendapat rawatan.

Dr Aqilah Othman,

Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Sunway

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia