Berita Harian

Aksi mula 26 Ogos

MFL putuskan tarikh baharu selepas pertimbang pelbagai faktor

- Oleh Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumka­n saingan Liga Malaysia (Liga M) yang tertangguh sejak Mac lalu akibat pandemik COVID-19 akan disambung semula pada 26 Ogos ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksika­n liga bola sepak negara bermula lebih awal seminggu berbanding perancanga­n asal MFL yang menetapkan ia disambung pada 1 September untuk saingan Liga Super dan 2 September bagi Liga Perdana.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaska­n keputusan itu dicapai menerusi persetujua­n Ahli Lembaga Pengarah selepas menilai beberapa faktor termasuk tempoh persiapan pasukan bertanding dalam memastikan kualiti liga lebih kompetitif.

Katanya, badan pentadbir liga tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga M yang diputuskan adalah yang terbaik buat semua pasukan selepas sesi latihan Fasa 2 dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai lalu.

“Untuk memulakan kembali Liga M yang tertangguh sejak 16 Mac lalu beberapa perkara perlu dipatuhi oleh semua pasukan. Setiap stadium atau venue perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) dan disahkan oleh MFL serta wajib menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi.

“Komisioner perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaa­n stadium atau venue perlawanan sebelum liga dimulakan dan prosedur operasi standard (SOP) pengelolaa­n perlawanan akan diedarkan oleh MFL kepada semua pasukan.

“Bagi memastikan kelancaran Liga M 2020, pihak MFL juga semalam (kelmarin) sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankua­sa Pengadil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membincang­kan persiapan dan SOP pertanding­an,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Selain itu, Ab Ghani memaklumka­n perlawanan tertunda sebelum ini iaitu aksi Liga Super antara PJ City FC dan Terengganu FC serta perlawanan Liga Perdana membabitka­n UKM FC menentang Kelantan akan diadakan pada 22 Ogos.

“Pasukan tuan rumah iaitu PJ City dan UKM hendaklah memastikan pelan kawalan keselamata­n, persediaan stadium atau venue perlawanan, petugas stadium diatur dan disediakan dengan cukup rapi,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Ab Ghani menegaskan semua pasukan tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabat­an dari 15 hingga 28 Julai ini.

Katanya, pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabat­an bermula 2 Ogos sebaik tamat tempoh bertenang dari 29 Julai hingga 1 Ogos.

“Tempoh ini untuk penilaian dan pemantauan COVID-19 bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik selepas 14 hari tempoh latihan kontak fizikal dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembang­an berkenaan, Ketua jurulatih Selangor, B Sathianath­an menganggap semua pasukan mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiap­kan pasukan masing-masing sebelum kembali beraksi dalam saingan Liga M.

Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan yang menyambut baik keputusan MFL itu berkata pasukannya perlu mengatur beberapa aksi persahabat­an untuk memperkema­skan pasukan selepas lama berehat.

Ketua jurulatih PJ City, K Devan berkata walaupun perlu bermula lebih awal, beliau tetap percaya anak buahnya sudah bersedia mengharung­i aksi pertama berdepan TFC selepas liga ditangguhk­an sejak Mac lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia