Berita Harian

Rakyat kita di Singapura segera pulang

-

Singapura: Rakyat Malaysia di Singapura bergegas pulang ke tanah air kelmarin, selepas Kerajaan Malaysia mengumumka­n mereka yang baru pulang dari luar negara bermula semalam perlu menjalani kuarantin wajib.

Mereka perlu menjalani kuarantin di pusat disediakan kerajaan dan menanggung segala kos berkaitan.

Bagaimanap­un, mereka yang sempat pulang kelmarin sebelum tarikh akhir itu, boleh menjalani kuarantin di rumah masing-masing, asalkan disahkan negatif COVID-19 sebelum memasuki Malaysia.

Warga Malaysia, Toh Siew Choo, sebelum ini merancang pulang ke rumahnya di Johor Bahru esok, namun seperti ramai rakyat Malaysia lain di Singapura, beliau menukar rancangan sebaik pengumuman itu dibuat.

Beliau yang berusia 50 tahun dan bekerja sebagai pengasuh di Singapura, sudah enam bulan tidak bertemu keluargany­a.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat pulang kerana merindui keluarga dan biasanya akan melawat mereka setiap bulan atau setiap dua bulan.

“Kali ini, saya memutuskan untuk balik awal supaya dapat menghabisk­an lebih banyak masa bersama mereka, berbanding terpaksa menginap di pusat kuarantin,” katanya.

Beberapa warga Malaysia yang ditemui wartawan di luar Pusat Pemeriksaa­n Woodlands kelmarin, berkata mereka mahu mengelak dikuaranti­n di premis ditetapkan kerajaan.

Mereka difahamkan, perlu membayar kira-kira RM150 sehari sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari.

Gambar menunjukka­n barisan panjang di laluan berhampira­n pusat pemeriksaa­n Johor Bahru memenuhi media sosial sejak pagi kelmarin. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia