Berita Harian

Modal pasaran saham kita hampir atasi Singapura

Pasaran lonjak 41 peratus cecah RM1.61 trilion ketika penularan pandemik

-

Permodalan pasaran saham Malaysia hampir mengatasi Singapura, berikutan kenaikan mendadak harga saham pengeluar sarung tangan.

Nilai pasaran saham Malaysia melonjak 41 peratus sejak paras terendah Mac untuk mencecah AS$379 bilion (RM1.61 trilion) apabila pandemik COVID-19 melonjakka­n permintaan sarung tangan perubatan dan saham pengeluarn­ya.

Ini membolehka­n permodalan pasaran hanya kurang AS$4 bilion (RM17 bilion) lagi untuk mengatasi Singapura buat kali pertama dalam tempoh lebih 16 tahun, demikian menurut data dikumpulka­n Bloomberg yang hanya mengambil kira penyenarai­an utama diniagakan secara aktif.

“Ini mencermink­an prestasi relatif dua ekonomi itu dan perubahan terbabit mungkin berterusan buat beberapa ketika,” kata Ketua Penyelidik­an Ekuiti Pengguna Tellimer, Nirgunan Tiruchelva­m, yang memantau pasaran saham serantau selama beberapa dekad.

“Malaysia memiliki industri pembuatan bersepadu seperti pengeluar sarung tangan, manakala ekonomi Singapura berasaskan kewangan dan hartanah,” katanya.

Pandemik mencetuska­n perubahan dalam saham terbesar Asia dengan kaunter teknologi dan firma penjagaan kesihatan berkembang lebih besar daripada kebiasaan.

Ketika pasaran Singapura kehilangan AS$113 bilion (RM481.5 bilion) tahun ini kerana bergelut dengan kemerosota­n perdaganga­n global, permodalan pasaran Malaysia melonjak berikutan peningkata­n besar saham sarung tangan.

Malah, Top Glove Corp kini mengatasi Public Bank Bhd untuk menjadi saham kedua paling bernilai dalam penanda aras saham Malaysia, selepas sahamnya melonjak lebih 450 peratus.

Satu lagi pengeluar sarung tangan, Supermax Corp melonjak lebih daripada 1,100 peratus tahun ini.

Rali dalam sektor itu turut mencetuska­n minat dagangan dalam pasaran saham tempatan, dengan jumlah saham bertukar tangan mencatatka­n rekod tertinggi baharu minggu ini.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disokong permintaan tinggi sarung tangan getah dan pengguna domestik yang lebih besar.

Sementara itu, ekonomi Singapura amat bergantung kepada perdaganga­n dan pelanconga­n, malah menjadi antara negara yang mencatatka­n kes virus paling tinggi di Asia Tenggara.

BLOOMBERG

Malaysia memiliki industri pembuatan bersepadu seperti pengeluar sarung tangan, manakala ekonomi Singapura berasaskan kewangan dan hartanah.

Nirgunan Tiruchelva­m, Ketua Penyelidik­an Ekuiti Pengguna Tellimer

 ??  ?? Top Glove Corp menjadi saham kedua paling bernilai dalam penanda aras saham Malaysia.
Top Glove Corp menjadi saham kedua paling bernilai dalam penanda aras saham Malaysia.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia