Berita Harian

Singapura gantung 10 lesen peniaga rokok

-

Singapura: Pihak berkuasa Singapura menggantun­g lesen sepuluh pemborong tembakau yang menjual rokok kepada pelanggan di bawah usia minimum.

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura, dalam satu kenyataan semalam, berkata semua pemborong berkenaan ditahan oleh pasukan pemantau dan penguat kuasa HSA sendiri.

Pesalah berkenaan dilarang menjual sebarang produk berasaskan tembakau sepanjang tempoh penggantun­gan selama enam bulan itu.

Bermula 1 Januari 2020, usia minimum untuk penggunaan, pemilikan atau pembelian tembakau di Singapura ialah 20 tahun ke atas berbanding 19 tahun sebelum ini dan had umur itu akan dinaikkan lagi kepada 21 tahun bermula 1 Januari 2021.

Menurut HSA, mereka menarik dan menggantun­g lesen tujuh pemborong setakat ini sepanjang 2020.

“Setiap pemborong tembakau berlesen diingatkan supaya bertanggun­gjawab atas sebarang transaksi produk berasaskan tembakau di premis mereka, serta tindakan diambil pekerja mereka.

“Penjual berdepan risiko menyalahi undang-undang jika hanya menilai usia minimum berdasarka­n penampilan fizikal pembeli,” katanya.

Sesiapa yang didapati bersalah menjual produk tembakau kepada pelanggan bawah umur boleh didenda sehingga S$5,000 (RM15,385) bagi kesalahan pertama dan sehingga S$10,000 (RM30,769) untuk kesalahan kedua serta seterusnya.

Selain itu, lesen penjualan tembakau peniaga akan digantung untuk tempoh enam bulan jika membabitka­n kesalahan pertama dan lesen ditarik balik bagi kesalahan seterusnya.

Lesen premis yang menjual tembakau kepada pembeli bawah umur berpakaian seragam sekolah atau pelanggan berusia bawah 12 tahun akan ditarik, walaupun itu adalah kesalahan pertama.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia