Berita Harian

‘Laksana di lokasi banyak kes’

-

Kuala Lumpur: Pakar kesihatan dan virologi tempatan, sependapat peningkata­n berterusan kes harian jangkitan COVID-19 di negara ini, memerlukan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularann­ya.

Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berada pada tahap maksimum, kerana rakyat kini mulai lalai dan mengabaika­n SOP, terutama penjarakan sosial.

Pakar epidemiolo­gi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata ketika ini wabak COVID-19 di Malaysia secara keseluruha­nnya masih terkawal.

Katanya, walaupun beberapa kawasan mencatatka­n kes yang tinggi sehingga Kuching di Sarawak kini memasuki Zon Merah, kawasan lain yang turut mencatatka­n kes masih belum mencapai tahap berkenaan.

“Jika kes meningkat sehingga tiga angka, saya rasa ada baiknya PKP dikenakan mengikut kawasan mempunyai kes banyak dan tidak meliputi seluruh negara.

“Kebanyakan kawasan tidak mempunyai kes dan tiada keperluan mengenakan PKP bagi kawasan itu,” katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan akan melaksanak­an PKP jika jangkitan harian COVID-19 mencecah tiga angka.

Dr Awang Bulgiba berkata, sama ada ada kes atau tidak di sesuatu kawasan, ia bergantung kepada tahap kepatuhan rakyat kepada SOP dan apa yang menjadi masalah ketika ini, SOP semakin diabaikan.

“Penjarakan sosial semakin tidak diendahkan, selain pemakaian pelitup muka tidak betul seperti di bawah dagu.

“Premis perniagaan yang tidak mewajibkan pelanggan menulis nama dan nombor telefon atau tidak menggunaka­n aplikasi Mysejahter­a juga melanggar SOP.

“Selain itu, kita perlu ingat ada ramai lagi rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air sebelum 24 Julai lalu, yang sepatutnya menjalani kuarantin di rumah, ramai tidak patuh SOP, termasuk tidak menjalani saringan kedua walaupun diingatkan berulang kali,” katanya.

Pakar kesihatan awam, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, pula berpendapa­t PKP perlu dilaksanak­an jika trend kes baharu berterusan menunjukka­n peningkata­n tanpa perlu menunggu mencecah tiga angka.

“Contohnya, jika ada kluster baharu di Gombak dan kontak rapat kes indeks itu adalah di Gombak juga, ini bermakna kawasan Gombak perlu dikenakan PKP secara bersasar,” katanya.

Beliau berpandang­an, kelonggara­n SOP diberikan kerajaan sejak beberapa minggu lalu juga menyumbang peningkata­n kes.

“Undang-undang berkaitan SOP perlu dikemas kini. Sebagai contoh, sebelum ini kerajaan membenarka­n perjumpaan sehingga 250 orang tetapi jika dewan itu kecil, ini akan menjadi masalah.

“Selain itu, kerajaan patut menetapkan syarikat melaksanak­an jadual penggilira­n bagi pekerja. Sebahagian pekerja bekerja dari pejabat dan sebahagian lagi bekerja dari rumah supaya jumlah pekerja di pejabat tidak terlalu ramai,” katanya.

Sementara itu, pakar dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng, berkata Malaysia perlu mencari pendekatan baharu bagi menentukan PKP dilaksanak­an itu ketat atau longgar kerana COVID-19 mungkin menjejaska­n kehidupan rakyat dalam masa beberapa tahun akan datang.

“Ia perlu dibuat berdasarka­n data kesihatan awam yang telus dan tepat, kriteria yang jelas dan stabil serta penjaduala­n yang senang diramal,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia