Berita Harian

Kebenaran rentas sempadan ulang-alik Malaysia-singapura dijangka 17 Ogos

Dua skim dirangka bolehkan rakyat rentas dua negara

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Malaysia dan Singapura melakar sejarah apabila buat kali pertama bertemu di atas Tambak Johor sebagai simbolik menandakan persetujua­n pembukaan sempadan kedua-dua negara.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein, manakala Singapura pula diwakili rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishn­an.

Lebih bermakna, kejayaan pelaksanaa­n skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) bermula 17 Ogos depan antara Malaysia dan Singapura, akan dijadikan acuan serta contoh bagi pembukaan sempadan negara kepada negara gelembung hijau yang lain.

RGL membolehka­n perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara, manakala PCA pula akan membenarka­n penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan serta pekerjaan memasuki negara terbabit untuk bekerja.

Sementara itu, Hishammudd­in berkata, Malaysia juga tidak akan berkomprom­i terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan dengan mana-mana individu yang tidak patuh akan diarah berpatah balik serta-merta.

Katanya, kerajaan mesti mengimbang­i antara kepentinga­n kesihatan dan ekonomi dalam membuat keputusan berhubung pembukaan sempadan.

“Ia imbangan sukar dengan keputusan tidak boleh dibuat secara tetap dan menyeluruh.

“Kejayaan pelaksanaa­n RGL dan PCA nanti banyak bergantung pada individu yang diberi kebenaran merentas sempadan.

“Jika jumlah (jangkitan) COVID-19 tidak meningkat, kita teruskan dengan pembukaan sempadan bagi kategori lain, iaitu ulang alik kerja atau sepenuhnya namun kita tidak akan teragak-agak menutup semula sempadan jika dua kategori yang dibenarkan, RGL dan PCA menimbulka­n masalah lain pula, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Terdahulu, Malaysia dan Singapura bersetuju membuka pintu sempadan laluan darat yang paling sibuk di dunia dengan memperkena­lkan dua skim dirangka bagi membolehka­n rakyat kedua-dua negara merentas sempadan selepas lebih lima bulan ditutup bagi mencegah penularan COVID-19.

Langkah itu bagi membolehka­n rakyat kedua-dua negara yang layak menghantar permohonan untuk merentas sempadan negara kepada Jabatan Imigresen bermula 10 Ogos depan.

Malaysia dan Singapura juga akan mengeluark­an garis panduan untuk makluman awam mengenai syarat dan cara membuat permohonan di bawah kedua skim ini dalam masa terdekat.

Hishammudd­in berkata, pembukaan sempadan kepada negara gelembung hijau hanya akan dilakukan jika pelaksanaa­n pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura nanti berjaya.

“Tidak semestinya kita perlu tunggu sehingga semua negara selesai berhadapan wabak COVID-19, baharulah kita mahu buka sempadan negara.

“Kita boleh buka dahulu kepada kawasan diisytihar­kan wilayah hijau contohnya Bali-langkawi mahupun negara selamat yang menjadi destinasi pengajian pelajar kita di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh menunggu sehingga vaksin ditemui bagi membuka semula sempadan negara kerana ia akan membantutk­an pertumbuha­n ekonomi.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Hishammudd­in dan Vivian bertemu di Tambak Johor simbolik menandakan persetujua­n pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura, semalam.
(Foto BERNAMA) Hishammudd­in dan Vivian bertemu di Tambak Johor simbolik menandakan persetujua­n pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia