Berita Harian

Sarawak kawal pergerakan

Perjalanan antara daerah dipantau terutama di Kuching

- Oleh Mohd Roji Kawi mdroji@bh.com.my

Kuching: Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan melaksanak­an kawalan pergerakan antara daerah bagi mengekang penularan COVID-19 yang meningkat semula, terutama di bandar raya ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata jumlah penerbanga­n masuk dan keluar dari Sarawak serta tempoh operasi perniagaan juga akan dikurangka­n.

Beliau berkata, JPBN negeri akan mengumumka­n strategi berkenaan dengan lebih terperinci selepas diperhalus­i pada masa terdekat.

“Mesyuarat khas JPBN dipengerus­ikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini mengambil maklum perkembang­an terkini jumlah kes positif COVID-19 di Kuching dan Samarahan.

“Justeru, beberapa tindakan segera harus diambil sebagai langkah mengawal penularan COVID-19 di Sarawak,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Uggah berkata, JPBN Sarawak juga memutuskan semua warga Malaysia yang datang dari Semenanjun­g, Sabah dan Labuan akan dikuaranti­n di hotel.

“Sampel diambil pada hari kedua dan jika keputusan ujian PCR COVID-19 negatif, mereka dibenarkan balik. Arahan berkuat kuasa 1 hingga 14 Ogos ini.

“Bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, arahan adalah sama seperti diumumkan sebelum ini, iaitu wajib menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, dalam usaha mengekang COVID-19 terutama di kawasan panas Kota Sentosa, Kementeria­n Kesihatan akan meningkatk­an pelaksanaa­n penjejakan kontak atau pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan sempadan daerah Kuching dan Samarahan.

Beliau memaklumka­n Sarawak mencatat satu lagi kematian akibat COVID-19 semalam.

“Kes kematian ke-19 itu membabitka­n kes ke-589 di Sarawak dan kematian ke-124 di Malaysia.

“Mangsa adalah wanita warga tempatan berumur 63 tahun beralamat di Samariang Baru, Kuching,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi kes positif dilaporkan di Kuching, semalam menjadikan jumlah keseluruha­n 650 kes di Sarawak.

Douglas Uggah Embas

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia