Berita Harian

Najib bersalah atau bebas diputus esok

Kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram RM42J milik SRC

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dua tahun lalu, Datuk Seri Najib Razak didakwa dengan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

Nasibnya bakal diputuskan esok sama ada bersalah atau dibebaskan daripada tujuh tuduhan dihadapiny­a.

Tumpuan seluruh dunia akan terarah kepada penghakima­n Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas 58 hari mendengar keterangan saksi pendakwaan dan 33 hari keterangan saksi pembelaan.

Kedua-dua pihak sebelum ini mengemukak­an hujahan bertulis panjang lebar dan terperinci, berjumlah 2,000 muka surat, bagi membantu mahkamah memastikan dan menilai, serta menentukan, sama ada pendakwaan berjaya membuktika­n kes melangkaui keraguan munasabah atau sebaliknya.

Jika pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambara­m berjaya membuktika­n kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tuduhan, maka bekas perdana menteri itu bakal berdepan hukuman penjara dan denda.

Sebaliknya, jika barisan pembelaan yang diketuai peguam bela terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjaya menangkis dan menunjukka­n terdapat keraguan terhadap semua tuduhan terbabit, Najib akan dibebaskan.

Bagi Muhammad Shafee yang ditemui selepas hujahan penutup pembelaan 5 Jun lalu, beliau menaruh keyakinan pembelaan mengemukak­an hujahan terbaik menangkis tuduhan dalam skandal penyelewen­gan membabitka­n jutaan ringgit itu.

Bagi tiga tuduhan pecah amanah, Najib berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Tuduhan salah guna kuasa dengan menggunaka­n jawatan untuk mendapatka­n suapan pula, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Beliau turut berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram, jika sabit kesalahan bakal dikenakan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanap­un, jika disabitkan dan diperintah­kan dipenjara, beliau dijangka tidak akan dipenjarak­an terus kerana boleh memohon untuk menangguhk­an pelaksanaa­n sementara rayuan diputuskan.

Ahli Parlimen Pekan itu boleh merayu terhadap sabitan dan hukuman (jika disabitkan) di Mahkamah Rayuan dan sekali lagi di Mahkamah Persekutua­n (jika Mahkamah Rayuan mengekalka­n sabitan jika disabitkan di Mahkamah Tinggi).

Najib Razak

Guan Eng keluar

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia