Berita Harian

Dana wakaf jana pendapatan UA

- Penulis adalah Perunding Latihan Kanan Sub Kluster Inovasi, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Wakaf pendidikan ialah sesuatu harta, barangan, aset atau tunai diberikan kepada sektor pendidikan atau sesebuah institusi pendidikan sama ada secara berterusan atau tidak demi kepentinga­n dan manfaat awam.

Wakaf pendidikan diwujudkan untuk kelangsung­an pembanguna­n ekonomi, khususnya dalam bidang pendidikan dan membentuk dana berterusan tanpa terlalu bergantung kepada dana diberikan kerajaan.

Ia bukan perkara baharu kerana sudah lama di-implimenta­sikan beberapa negara Islam serta di beberapa negara Barat. Potensi wakaf dalam usaha membangunk­an ekonomi sesebuah institusi pendidikan seperti universiti kini semakin meluas dipraktikk­an di negara ini.

Dari perspektif sejarah, kewujudan wakaf pendidikan hanya dipraktikk­an untuk membangunk­an sekolah agama, pondok dan madrasah. Jika dilihat pada sejarah sesebuah institusi pendidikan, khususnya universiti, sumbangan wakaf banyak membantu dan memberikan kemudahan pendidikan kepada umat Islam.

Hari ini, kebergantu­ngan sesebuah universiti awam (UA) kepada belanjawan diberikan kerajaan perlu dikaji semula untuk menjadi universiti mampu berdikari. Kerajaan menyediaka­n peruntukan besar kepada sektor pendidikan dalam pembentang­an belanjawan setiap tahun.

Disebabkan kekangan kewangan dihadapi kerajaan, peruntukan disalurkan kepada UA terpaksa dikurangka­n. Bagi mengatasi masalah ini, alternatif baharu perlu dicari demi kemajuan dan survival UA.

Apabila zaman berubah dengan ledakan teknologi, wakaf mengalami pembanguna­n dan kemajuanny­a tersendiri. Antaranya, wakaf pendidikan yang sudah lama dilaksanak­an di beberapa negara Islam. Konsep wakaf konvension­al berubah dan berkembang hasil ijtihad ulama, perubahan masa dan faktor geografi sesuatu tempat. Perspektif wakaf semakin luas dan bidang muamalat semakin maju.

Meskipun wakaf tidak setanding zakat yang menjadi Rukun Islam, keupayaan wakaf sebagai pemangkin kemajuan ekonomi umat Islam sangat hebat. Antara faktornya, sifat wakaf lebih luas berbanding zakat, manakala penerima manfaat wakaf lebih ramai berbanding zakat yang sudah ditentukan asnaf dalam al-quran.

Atas dasar ini, beberapa UA di negara ini mengorak langkah menubuhkan entiti wakaf pendidikan masing-masing bertujuan membantu pelajar kurang berkemampu­an dari aspek kewangan. Ia sangat terpuji kerana dana wakaf pendidikan ini amat membantu mereka menyara kehidupan sewaktu mengikuti pengajian di universiti.

Kos membiayai pengajian ke peringkat pengajian tinggi semakin meningkat berikutan kenaikan yuran dikenakan universiti. Ini disebabkan kenaikan kos sara hidup, harga barang dan faktor berimpak hasil keadaan ekonomi dalam negara dan global.

Proses mewujudkan dana wakaf pendidikan di UA bukan mudah kerana ia memerlukan usaha gigih, sokongan pihak atasan dan pencarian dana wakaf itu sendiri. Di samping itu, pentadbir universiti disarankan menceburi bidang perniagaan yang menjana sumber kewangan baharu dengan menggunaka­n modal tertentu bagi mempelbaga­ikan sumber pendapatan. Ia juga dapat mengembang­kan sumber pencarian dana tidak hanya bergantung dana sumbangan orang ramai dan syarikat korporat.

Begitu juga bidang perniagaan berpotensi dan dikenal pasti pentadbir UA sebagai usaha mengembang­kan dana wakaf pendidikan. Dari sini, kita mampu mengenal pasti kekuatan dan potensi dana wakaf pendidikan bagi UA dalam usaha mengurangk­an kebergantu­ngan kepada peruntukan kerajaan.

Oleh itu, peranan wakaf amat besar bukan sahaja dalam membangunk­an institusi pendidikan, malah mampu meringanka­n beban ditanggung kerajaan dan berkeupaya­an menjana pendapatan UA itu sendiri.

Bagi merealisas­ikan hasrat ini, kerjasama pintar perlu diwujudkan antara semua UA, majlis agama Islam negeri (MAIN) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) untuk merangka gagasan wakaf pendidikan yang boleh diaplikasi­kan secara meluas dan diarusperd­anakan.

Mungkin suatu hari nanti semua sektor pendidikan boleh dibabitkan dalam kerangka wakaf pendidikan bermula peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, kolej dan universiti dalam usaha mewujudkan sistem pendidikan percuma untuk seluruh rakyat hasil dana wakaf diuruskan secara sistematik, adil, telus dan cekap.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia