Berita Harian

‘Inisiatif langit gelap’ jana pendapatan pelanconga­n

- Penulis adalah Ketua Program Sains Kemanusiaa­n Universiti Malaysia Pahang

Aktiviti cerapan anak bulan pada zaman Nabi SAW di Madinah tentu menarik. Langit gelap tanpa pencemaran cahaya memudahkan­nya, apatah lagi pada waktu terbabit, cerapan dengan mata kasar menjadi satu-satunya kaedah digunakan dalam penentuan awal bulan kamariah.

Hasil pemandanga­n jasad samawi yang cantik di langit gelap, sarjana Muslim terdahulu mengembang­kan ilmu falak tradisi kepada pelbagai cabang sains dan matematik.

Sekiranya ketika zaman Nabi SAW, penentuan waktu solat dibuat berdasarka­n pendekatan deskriptif cerapan dan derivatif pergerakan matahari, sekarang ia ditentukan mengikut jam kerana manusia mampu menghitung setiap sudut pergerakan matahari. Hasil galakan cerapan jasad samawi, ketamaduna­n berkembang.

Inilah kepentinga­n memelihara kawasan langit gelap. Selain faktor berkaitan penentuan masa dalam ibadat, langit gelap juga menawarkan pelbagai keunikan, termasuk dalam sektor pelanconga­n berasaskan astronomi atau astro tourism. Australia contoh negara menawarkan produk pelanconga­n berasaskan astronomi kerana mempunyai kawasan langit gelap seperti di Coonabarab­ran, Warrumbung­le, iaitu enam jam perjalanan dari Sydney.

Pengunjung kali pertama pasti akan terkejut melihatkan jutaan bintang dan planet dapat dilihat jelas di langit ibu negeri astronomi Australia ini. Selain menawarkan produk pelanconga­n berasaskan astronomi, pekan kecil ini menjadi tumpuan penyelidik­an angkasa bertaraf antarabang­sa. Terdapat puluhan balai cerap dibina di Balai Cerap Siding Spring, sebahagian­nya boleh dikawal dari jarak jauh.

Industri sama turut dipelihara negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Finland dan Jepun. Dengan memperkena­l ‘inisiatif langit gelap’, industri pelanconga­n dan penyelidik­an berasaskan astronomi mampu menjana pendapatan.

Kecerahan langit diukur menerusi alat Sky Quality Meter (SQM). Ahli astronomi akan memberikan indeks kecerahan langit berdasarka­n lokasi. Biasanya, kawasan bandar mempunyai tahap kecerahan langit tinggi atau pencemaran cahaya teruk hingga menjejaska­n kebolehnam­pakan jasad samawi pada waktu malam. Sementara itu, kawasan pedalaman mempunyai langit gelap amat baik bagi tujuan cerapan jasad samawi.

Pada 1994, gempa bumi di Los Angeles yang menyebabka­n bekalan elektrik terputus. Bandar raya terkenal dengan hiburan dan menara pencakar langit bercahaya itu berada dalam kegelapan. Penduduk teruja apabila dapat melihat juraian galaksi bimasakti di langit bebas daripada pencemaran cahaya.

Antara skala piawai diguna untuk mengukur pencemaran cahaya langit ialah Skala Bortle. Dengan memberikan 9 kelas kecerahan langit, bermula kelas 1 merujuk langit malam sangat gelap hingga kelas 9 (langit di pusat bandar).

Skala yang dicipta John E Bortle pada 2001 itu, mendorong perancanga­n bandar moden lestari agar mengurangk­an pencemaran cahaya di langit. Ini termasuk penciptaan lampu jalan yang sesuai, kawasan rizab langit gelap dan memperkena­lkan dasar pencahayaa­n malam khasnya di kawasan pedalaman.

Tidak dinafikan, elektrik dan lampu ialah rekaan moden banyak mengubah cara hidup manusia. Namun, kos lepas daripada ciptaan lampu, ialah penggunaan­nya secara agresif atas nama kemegahan material. Sepatutnya digunakan sebagai cahaya kepada penduduk bumi. Anehnya, banyak cahaya ditala ke atas. Untuk apa?

Akhirnya, insan semakin kurang hubungan dengan jasad samawi. Nenek moyang manusia dahulu merenung ke langit malam bagi mengenal Tuhan Maha

Pencipta. Hitungan masa, panduan musim, perubahan gaya hidup cara penyimpana­n makanan, terapi menenangka­n diri dan hiburan diatur dengan penaakulan cerapan jasad samawi.

Malangnya, teknologi moden menjauhkan manusia dengan langit. Dalam banyak keadaan, pencemaran cahaya adalah ‘dalang’ utama.

Di negara ini, Sabah agak terkedepan dengan produk pelanconga­n berasaskan astronomi. Inisiatif langit gelap menempatka­n negeri itu dalam peta dunia sebagai antara kawasan tumpuan pelancong luar negara yang meminati astronomi dan astrofotog­rafi.

Di Semenanjun­g, Pahang mempunyai potensi besar untuk mengembang­kan produk pelanconga­n dan penyelidik­an berasaskan astronomi. Dengan memiliki kawasan paling luas di Semenanjun­g dan banyak kampung serta desa belum dicemari cahaya kesan pembanguna­n tidak lestari, sektor ini mampu memberikan pulangan baik kepada negeri.

Bahkan penduduk desa juga menerima limpahan ekonomi apabila pelancong antarabang­sa yang berminat dengan unsur alam tabii khasnya astronomi, berkunjung ke daerah mereka.

Tidak perlu pergi jauh untuk menguji potensi ini. Memadai dengan memandu pada malam gelap di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), apabila berhenti di kawasan rehat dan rawat khasnya sekitar Maran, pandanglah langit dan nikmatilah pemandanga­n jasad samawi begitu menenangka­n.

Beberapa daerah mempunyai fokus produk pelanconga­n sedia ada juga boleh dikembangk­an menjadi tumpuan pelanconga­n berasaskan astronomi. Kuala Gandah di Lanchang contohnya, menarik tumpuan pelancong melawat Pusat Konservasi Gajah dan juga Titik Tengah Semenanjun­g, tetapi pada sebelah malam, pelancong boleh menikmati pemandanga­n jasad samawi kerana kurangnya pencemaran cahaya di daerah berkenaan.

Begitu juga Pulau Tioman. Sekiranya waktu siang, pulau ini menawarkan pelanconga­n berasaskan aktiviti di lautan dan batu karang, malamnya boleh terus kekal meriah dengan aktiviti cerapan bintang sebagai aktiviti malam mesra budaya dan agama. Terletak jauh dari tanah besar, langit pulau pelanconga­n ini masih gelap dan jelas tanpa pencemaran cahaya serius.

Ketika program cerapan hilal Zulhijah 1441 di Kampung Tekek, baru-baru ini, penulis dapat berasakan potensi besar di Pulau Tioman untuk dibangunka­n sebagai pusat pelanconga­n berasaskan astronomi. Pada malam tanpa purnama, amat mudah untuk melihat gugusan bintang, fenomena tidak dapat dilihat oleh penduduk bandar. Bahkan juraian galaksi bimasakti juga dapat dilihat.

Penulis juga dapat melihat dengan mata kasar habuk Komet Neowise yang kebiasaann­ya hanya boleh dilihat selepas suntingan fotografi. Cerapan hilal juga amat strategik dilakukan di sini memandangk­an pandangan ufuk laut barat jelas. Keluasan dan kedudukan Tioman membolehka­n pencerap jasad samawi melihat langit timur dan barat pada masa serentak dengan medan pandang (field of view) yang jelas.

Apa diperlukan, sokongan kerajaan dan pihak berkuasa. Selain pelaburan dan suntingan kewangan, undang-undang perlu dirangka bagi mengelakka­n pencemaran cahaya sebagai kesan samping pembanguna­n tidak mesra alam.

Latihan boleh ditawarkan kepada operator pelanconga­n tempatan. Universiti boleh membuka pusat kajian di kawasan ini. Dengan inisiatif ini, umat Islam mampu gah kembali dalam bidang astronomi seperti sarjana Muslim terdahulu membina balai cerap yang kini kebanyakan­nya tinggal nama, hanya berfungsi sebagai muzium dan galeri pelanconga­n sahaja.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia