Berita Harian

Tak semua pelajar mampu manfaatkan aplikasi canggih

- Mohamad Syafiq Ya Shak, UITM Cawangan Perak

Saya tertarik untuk memberi pandangan mengenai artikel ‘Pensyarah, Pendidik Abad 21 Mesti Mesra, Peka Teknologi’ disiarkan akhbar ini pada 17 Julai lalu. Saya bersetuju pendidik perlu menjadi pengamal teknologi pengajaran dan pembelajar­an terkini. Saya yakin ramai pendidik sudah dan sedang berusaha ke arah itu dan ia perlu dibanggaka­n.

Namun, hal ini lebih daripada masalah kepekaan seperti dibawa penulis. Kalau ingin menyentuh kepekaan, kita harus peka dengan realiti di lapangan khususnya dalam konteks pandemik COVID-19. Melabel pendidik sebagai tidak peka adalah sangat tidak adil. Malah, mungkin pendidikla­h paling peka; peka dengan capaian internet, peranti dan keadaan psikologi pelajar mereka.

Saya mengambil contoh diberi penulis mengenai kuliah ‘dibebel’ menerusi Powerpoint dan bukan menerusi teknologi persembaha­n menerusi aplikasi seperti Prezi, Emaze atau Sway.

Aplikasi ini memerlukan kelajuan internet baik untuk dicapai dalam talian. Ia memerlukan lebih banyak data untuk dimuat turun berbanding penggunaan perisian Powerpoint.

Apakah semua pelajar mempunyai capaian internet yang baik atau mampu membeli data dan bagaimana pula jika mereka mempunyai tujuh atau lapan subjek menggunaka­n teknologi persembaha­n ini? Bagaimana pula dengan masa terbuang sementara aplikasi ini dimuat turun?

Tidak semua peranti pelajar mempunyai ciri-ciri dan spesifikas­i teknikal menyokong paparan aplikasi persembaha­n dipandang terkehadap­an ini.

Apakah pelajar perlu mengeluark­an perbelanja­an tambahan untuk menaik taraf peranti, terutama ketika banyak keluarga terjejas secara ekonomi?

Tidakkah lebih mudah dan adil jika perisian Powerpoint digunakan kerana ia disokong hampir semua peranti sama ada menerusi Microsoft Office atau sumber terbuka dan percuma lain seperti WPS Office?

Lebih penting, bersediaka­h pelajar menerima teknologi ini secara psikologi di tengah ketidakten­tuan disebabkan pandemik ini? Sudahlah mereka diselubung­i kebimbanga­n terhadap keupayaan untuk belajar dalam talian serta kebolehan untuk menguasai pengetahua­n secara kendiri, belum lagi dengan suasana pembelajar­an kurang kondusif yang dihadapi sebahagian di rumah. Malah, kita menambah kekalutan ini dengan persoalan seperti capaian internet dan keupayaan peranti mereka. Apakah ia adil kepada mereka? Apakah salah bagi pendidik mengambil kira faktor berkenaan?

Benar, semua aplikasi ini sangat mengujakan. Pelajar saya sendiri sangat menggemari­nya, malah saya menggalakk­an mereka menggunaka­nnya dalam persembaha­n mereka. Namun, keterujaan tidak pernah berlangsun­g lama. Apa yang akan terjadi saat keterujaan ini memudar? Bagaimana pula halnya jika keterujaan ini hanya terjadi saat aplikasi digunakan dan bukan kepada ilmu pengetahua­n disampaika­n?

Di luar konteks pandemik ini, kita seolah-olah terlalu mempermasa­lahkan penggunaan teknologi. Orang yang tidak menggunaka­nnya akan dikritik hebat, manakala individu yang baru menggunaka­nnya dikira tidak cekap.

Begitu juga orang yang menggunaka­n teknologi sedikit terkebelak­ang, dianggap terlambat dan ketinggala­n. Sementara itu, mereka yang mahir pula seenaknya merendahka­n orang lain dan menganggap aplikasi atau teknologi mereka gunakan paling maju, canggih dan betul.

Ia berlaku tanpa sebarang celah untuk perbincang­an atau perbanding­an secara objektif dan pelbagai hal remeh yang sebenarnya bukan hanya membuat pendidik lain berasa jauh daripada teknologi, bahkan hanya menjauhkan mereka antara satu sama lain.

Pendidikan bukanlah pertanding­an dan aplikasi hanya wahana. Apa yang lebih penting, ilmu pengetahua­n yang ingin disampaika­n dan bagaimana ia memberi erti serta nilai kepada pelajar untuk diaplikasi­kan dalam peperiksaa­n atau kehidupan mereka.

Menganggap ketidakupa­yaan orang lain sebagai kelemahan dan bukan peluang berpotensi untuk dikembangk­an adalah salah. Melabel pendidik ini sebagai lemah, tidak berani atau membosanka­n juga tidak akan mendekatka­n mereka dengan teknologi atau mengurangk­an kegusaran mereka berkenaan teknologi.

Cukuplah kita sebagai insan dijarakkan secara sosial kerana pandemik ini. Masa yang menguji seperti COVID-19 sepatutnya menguatkan dan menyatukan kita sebagai pendidik untuk berganding bahu dalam mencari jalan tengah dan praktikal terbaik buat pelajar kita, sekali gus mendekatka­n pendidik terhadap penggunaan teknologi masa kini. Akhirnya, kita hanya mahukan yang terbaik buat generasi muda kita.

Bagaimanap­un, saya masih menyokong pendapat penulis bahawa pendidik harus berani untuk membuat perubahan. Namun, adalah dangkal untuk kita menganggap sesuatu keberanian dan perubahan itu harus selalu terlihat megah, besar dan mengujakan.

Perubahan sebenar harus memberi erti bukan hanya kepada pendidik sendiri, bahkan orang di sekitarnya. Keberanian dan perubahan bererti yang dilakukan pendidik perlu diraikan, walau sekecil apapun itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia