Berita Harian

Musim taufan tahun ini bermula di AS

-

Houston: Musim taufan Atlantik bermula tahun ini dengan hujan lebat dan angin kencang membadai Texas di Amerika Syarikat (AS) kelmarin, yang masih bergelut krisis COVID-19.

Tergolong dalam ribut kategori 1, ia menghasilk­an angin berkelajua­n 145 kilometer sejam (km/j) ketika melalui Pulau Padre pada jam 5 petang, menurut Pusat Taufan Kebangsaan AS.

Taufan Hanna dijangka membawa hujan lebat merentasi bahagian selatan Texas dan timur laut Mexico, berpotensi menyebabka­n banjir kilat yang mengancam nyawa dan mengakibat­kan beberapa sungai melimpah.

Tiada laporan segera mengenai korban atau kerosakan meluas dilaporkan ketika angin mula perlahan hingga 80km/j selepas ribut menuju ke kawasan pedalaman dan semakin lemah, seperti dijangka kelmarin.

Namun, pakar meteorolog­i memberi amaran bahawa taufan itu boleh mengancam nyawa apabila ia mencecah ketinggian 1.8 meter di beberapa kawasan, selain mampu hujan sehingga 45 sentimeter menjelang esok di selatan Texas dan Mexico. Bencana itu turut mendapat perhatian Presiden AS, Donald Trump, yang menegaskan pihaknya sedang memantau rapat Taufan Douglas di Hawaii dan Taufan Hanna di Texas.

“Kita akan terus bekerjasam­a rapat dengan kedua-dua negeri, mendengar pandangan pegawai pengurusan kecemasan... bagi melindungi keluarga dan harta benda anda,” katanya dalam ciapan di Twitter rasminya.

Taufan Hanna terus menganas ke bahagian darat di Texas, yang juga kawasan menyaksika­n lonjakan besar jangkitan COVID-19 sejak kebelakang­an ini dan mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mengekang penularan virus itu.

AS adalah negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 dan pihak berkuasa kini perlu memikirkan langkah bagaimana menempatka­n penduduk terjejas di kawasan selamat berikutan musim taufan sudah bermula.

Dua ribut berlaku kelmarin, iaitu Taufan Pasifik Douglas yang menuju ke pulau Hawaii dan ribut Tropika Gonzalo di Atlantik, berdekat Pulau Windward.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia