Berita Harian

Warga seni mohon dana RM190 juta

Bantu penggiat kreatif berhijrah ke landskap digital, harungi normal baharu

- Oleh Serimah Mohd Sallehuddi­n bhhip@bh.com.my

Warga industri kreatif tidak tercicir dalam pemulihan semula ekonomi negara pasca COVID-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disalurkan melalui Mycreative Ventures.

Permohonan dana berjumlah RM190 juta dalam pelbagai skim dan inisiatif sudah dibuka kepada warga industri seni, budaya, hiburan dan acara.

Peruntukan disalurkan atas keprihatin­an Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memulihkan kembali industri kreatif dalam tempoh enam bulan.

Mycreative Ventures dan Unit Pelaksanaa­n Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) diberi kepercayaa­n memegang amanah bagi memastikan setiap sen peruntukan sampai kepada kumpulan sasaran yang tepat dan secepat mungkin dengan urus tadbir yang baik.

Pengerusi Mycreative Ventures, Mohd Naguib Razak, berkata peruntukan akan dilaksana melalui cara yang paling cepat dan berkesan.

“Sebanyak 10 subsektor kreatif layak memohon meliputi penciptaan kandungan merangkumi filem, kandungan penyiaran, penstriman dan permainan video.

“Sektor lain yang turut layak memohon seperti muzik, fesyen, seni persembaha­n, visual, sastera, tradisiona­l dan kebudayaan. Selain itu, seni kulinari, reka bentuk dan pendidikan kreatif diberikan perhatian,” katanya kepada HIP.

Untuk tempoh enam bulan hingga Disember ini, Mycreative Ventures akan memberi tumpuan membantu urus niaga dan aktiviti kreatif supaya dapat beralih, menguasai peluang digital serta dalam talian dengan lebih berkesan.

Pelan PENJANA bagi industri kreatif merangkumi, Geran Pemasaran dan Promosi Digital bernilai RM50 juta. Geran berkenaan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penerima dengan had nilai pemasaran RM25,000 setiap penerima.

Mohd Naguib berkata, perhatian istimewa akan diberikan kepada individu, syarikat dan kumpulan yang ingin beralih ke arah dunia digital.

“Kami akan memberikan perhatian istimewa kepada acara langsung dan pameran, terutama jika mampu mengubah skop perniagaan kepada platform digital dan dalam talian.

“Peranan secara keseluruha­n Mycreative Ventures membantu perniagaan dan penggiat industri kreatif berhijrah ke landskap digital supaya kekal relevan serta mampu berdaya saing dalam era normal baharu,” katanya.

Turut ditawarkan, Geran Pemulihan Industri Kreatif yang dikhususka­n kepada tiga bidang iaitu Acara dan Pameran Digital yang bertujuan mempercepa­tkan pemulihan acara langsung serta pameran yang menampung banyak peluang pekerjaan dalam ekosistem ekonomi kreatif.

Dengan syarat penerima harus mengguna pakai kaedah digital dan dalam talian menerusi aspek perniagaan untuk menarik penonton.

Geran Filem Cereka Seni atau Festival pula disediakan bagi membantu kesinambun­gan dan pemulihan filem cereka seni atau filem cereka festival tempatan menerusi pembiayaan pembanguna­n serta produksi termasuk filem dokumentar­i.

Bagi Geran Sastera dan Penerbitan Buku bertujuan merangsang kesinambun­gan dan pemulihan penyelidik­an, penulisan, penerbitan dan penjualan karya bertulis tempatan. Ia merangkumi sokongan fiksyen, bukan fiksyen, novel grafik, buku komik, puisi, biografi dan laporan melalui subsidi dan geran.

Selain itu, terdapat Inisiatif Pemulihan Cendana yang memastikan bantuan kritikal disalurkan kepada tiga subsektor iaitu seni persembaha­n dan tradisiona­l, seni visual serta muzik bebas termasuk penyertaan kraf tradisiona­l.

Sementara itu, Skim Padanan Pinjaman Pelaburan diperuntuk­kan untuk drama filem dan televisyen antarabang­sa, program gaya hidup dan dokumentar­i Mycreative Ventures menawarkan rundingan secara pukal untuk pelaburan kandungan dengan penyiar tempatan, serantau, antarabang­sa, platform penstriman dan lain-lain.

Dana Pinjaman Mudah Trek Laju Industri Kreatif pula layak dimohon oleh syarikat, perkongsia­n dan milik tunggal dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun dengan tempoh tanggung (grace period) hingga 12 bulan.

Pinjaman Pemulihan Perniagaan Industri Kreatif disasarkan untuk usahawan dan pengamal kreatif yang lebih berpengala­man dan mempunyai model perniagaan yang stabil dengan pendapatan melebihi RM1 juta yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Jumlah pembiayaan adalah hingga RM500,000.

Pembiayaan-mikro bagi Usahawan Industri Kreatif disasarkan untuk syarikat, perkongsia­n dan milikan tunggal baharu yang terjejas akibat COVID-19. Jumlah pembiayaan adalah hingga RM150,000.

Bagi Pembiayaan Pengantara­an untuk Penerbit Kandungan Industri Kreatif disasarkan kepada penerbit kandungan yang mendapat kontrak penerbitan. Jumlah pembiayaan hingga RM500,000.

Warga industri kreatif yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai peruntukan boleh melayari laman web Mycreative Ventures. Garis panduan lengkap bagi setiap inisiatif dalam bentuk senarai soalan lazim turut disediakan dalam laman web berkenaan.

Mohd Naguib Razak

Peruntukan ini disediakan selepas mendapat maklum balas ketika majlis dialog bersama wakil penggiat seni. Ini membuktika­n sokongan kerajaan terhadap ekonomi kreatif, lebih-lebih lagi dalam keadaan sukar disebabkan penularan COVID-19.

Menteri Kewangan

 ??  ??
 ??  ?? Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia