Berita Harian

Achey tunai janji Abam

Pendapatan dihasil Bocey, ada bahagian untuk keluarga arwah

- Oleh Fatin Farhana Ariffin fatin.farhana@bh.com.my

Tiada sehari pun pelawak, pelakon dan penyanyi, Achey melupakan sahabatnya, Allahyarha­m Abam yang menghembus­kan nafas terakhir pada 10 Februari lalu.

Pemergian arwah Abam masih membekas di hati Achey dan Fad. Ini terbukti Achey tersentak dan terdiam seketika apabila ditanya mengenai perkembang­an kumpulan Bocey.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah berkata, hingga kini, ingatannya pada arwah masih kuat.

“Apabila bercerita dengan Fad, pasti mengimbau kenangan bersama arwah. Nama arwah sering di bibir kami. Jadi, tak banyak yang saya minta, terus berdoa untuk arwah.

“Setiap kali saya dan Fad berjumpa, perkara pertama yang dilakukan sedekahkan al-fatihah kepada arwah terlebih dahulu, kemudian baru kami berbincang mengenai perjalanan Bocey,” katanya kepada HIP.

Penyanyi lagu Sakit itu berkata, dia melawat kubur arwah selepas mendapat izin.

“Hanya saya seorang dapat masuk, itu sebab saya tak muat naik video.

“Saya sering berulang alik ke Raub, Pahang, jadi saya selalunya singgah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu untuk melawat kubur arwah. Jujurnya, pemergian arwah meninggalk­an kesedihan mendalam buat saya dan Fad.

“Bagaimanap­un, saya tidak hanya mengambil berat mengenai balu dan anak, malah sering menghubung­i ahli keluarga arwah seperti ibu serta adiknya, Ali Puteh,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Nabil X Sugarbomb X Achey di Ruang, Shah Alam, baru-baru ini.

Achey bersama Nabil Ahmad bekerjasam­a dengan Sugarbomb mengeluark­an produk pewangi kereta dan minyak wangi. Selain itu, mereka juga dilantik sebagai duta produk.

Mengulas perkembang­an kumpulan Bocey, Achey dan Fad kini sedang berusaha untuk mewujudkan saluran Youtube dan Facebook.

“Fad sedang membangunk­an saluran Youtube. Dalam masa sama, kami merangka perjalanan dan pengisian dalam saluran berkenaan. Menerusi program yang dirancang, ada bahagian untuk arwah dan disalurkan buat keluargany­a.

“Insya-allah, ada penyokong atau tidak, kami akan meneruskan perjuangan Bocey,” katanya.

Selain itu, Achey tunaikan janji untuk menyempurn­akan kerja arwah yang tergendala secara sukarela dan percuma.

“Ada dua review menerusi laman Instagram yang dilakukan bagi pihak arwah. Ia membabitka­n produk kurus yang kurang sesuai untuk saya, memandangk­an saya sememangny­a kurus. Jadi, saya lakukannya bersama isteri. Alhamdulil­lah, tontonan agak tinggi.

“Satu lagi membabit produk minuman dan saya dapat maklum balas yang baik sehingga peniaga terpaksa menyuruh saya memadamkan entri kerana tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya puas dapat membantu dan memberi impak pada peniaga. Ini adalah bakti saya sebagai seorang sahabat,” katanya.

Achey berkata, dia tidak lupa membantu balu Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali yang kini menanggung cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-juffrey yang berusia setahun sebulan.

“Saya dan isteri berhubung dengan Nurhidayah, setiap minggu. Ada kala saya akan menyertai sesi live yang dilakukan untuk menjadikan perniagaan­nya mendapat perhatian.

“Sekarang, Nurhidayah berniaga cempedak goreng, durian dan buah-buahan. Saya akan bantu apa yang boleh dibantu dari segi promosi,” katanya.

Saya tidak hanya mengambil berat mengenai balu dan anak, malah sering menghubung­i ahli keluarga arwah seperti ibu serta adiknya, Ali Puteh.

Achey

 ??  ?? Kenangan arwah Abam ketika bersama kumpulan Bocey.
Kenangan arwah Abam ketika bersama kumpulan Bocey.
 ??  ?? Nabil dan Achey pada majlis pelancaran Nabil X Sugarbomb X Achey di Shah Alam, baru-baru ini.
Nabil dan Achey pada majlis pelancaran Nabil X Sugarbomb X Achey di Shah Alam, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia