Berita Harian

Misbun ambil pendekatan selamat

-

Kuala Lumpur: Pengarah Pembanguna­n Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek tidak mahu terburu-buru dalam mengejar cita-cita meletakkan pemain muncul juara acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia, Januari depan.

Legenda itu berkata, beliau tidak mahu tergesa-gesa terhadap program pemain dan bakal mengambil pendekatan selamat dengan memberikan latihan sederhana terlebih dahulu.

“Apa yang penting keselesaan dan kefahaman yang kita nak berikan kerana tempoh empat bulan jangka masa yang panjang, walaupun kita buat latihan menerusi (aplikasi) Zoom dan ada pemain yang mengikuti latihan bersama pasukan negeri mereka.

“Walaupun kita lalui waktu yang sangat sukar pada pandemik ini, tapi keseluruha­nnya, pemain mula berdisipli­n, bersemanga­t ikut apa yang kita buat. Seperti negara lain, kita pun mempunyai cita-cita untuk juarai acara berpasukan campuran Kejohanan Dunia,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Misbun hadir menyaksika­n anak buahnya melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, selepas lebih empat bulan berlatih sendirian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Jadi apa yang kita cuba buat merancang banyak perkara, seperti memutuskan siapa yang bermain acara perseorang­an dan beregu, yang kita kena rancang dengan betul-betul untuk membentuk satu pasukan yang mantap,” katanya.

Malaysia hanya pernah muncul juara kejohanan itu pada 2011, walaupun pernah melahirkan beberapa juara dunia remaja seperti Goh Jin Wei yang meraih gelaran perseorang­an wanita pada 2015 dan 2018, Zulfadli Zulkiffli (perseorang­an lelaki 2011), Nelson Heg Wei Keat-teo Ee Yi (beregu lelaki 2011) dan Ow Yao Han-yew Hong Kheng (beregu lelaki 2010).

Terdahulu, seramai 43 pemain ABM berusia antara 16 hingga 18 tahun dan enam jurulatih telah melapor diri ke akademi itu, manakala kumpulan pemain berusia antara 13 hingga 15 tahun dijangka kembali pada 16 Ogos.

Pemain yang melaporkan diri termasuk Muhammad Fazriq Mohamad Razif, akan dikuaranti­n di bilik masing-masing dan dijangka memulakan latihan esok selepas mendapat keputusan ujian swab bagi COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia