Berita Harian

Pindaan Akta FINAS mampu kawal kandungan jelik

- Penulis terbabit dalam penerbitan kandungan televisyen tempatan dan antarabang­sa

Kegusaran pengguna dan penyedia kandungan media sosial berakhir apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahka­n pengguna media sosial bebas menggunaka­n platform mereka untuk menghasilk­an serta memuat naik video seperti biasa tanpa memohon lesen.

Ini memberi mesej jelas kerajaan mendukung kebebasan media dan hak kebebasan individu di media sosial. Pada masa sama, kerajaan dilihat komited meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

Tanpa menafikan keperluan itu, kerajaan wajar memperhalu­si akta berkenaan dalam konteks lebih menyeluruh dan terarah. Ia bukan sekadar salin dan tampal pendekatan sedia ada, sebaliknya memulakan sesuatu lebih bersifat dinamik sesuai dengan dinamika media sosial. Usaha sederap kaki ini memerlukan komitmen semua pihak tanpa pengecuali­an.

Kesediaan kerajaan melihat semula kerelevana­n Akta 244 wajar dipuji walaupun dalam konteks semasa ia sudah terlewat. Kita mungkin terlewat lebih 20 tahun jika mengambil kiraan laman web Sixdegree.com yang diiktiraf sebagai media sosial pertama pada 1997.

Akta 244 itu sendiri sudah berusia 39 tahun. Kita sedia maklum akta berkenaan sudah tidak relevan dengan variasi kandungan media sosial seperti forum, blog, televisyen internet, micro-blogging, wikis, podcast, undian pengguna dan sosial bookmarkin­g.

Usaha ini harus menyeluruh dan bersifat nasional. Ia bukan sekadar merujuk Akta 244, bahkan membabitka­n semua akta menyokong kepada usaha penerbitan. Akta Suruhanjay­a Komunikasi & Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) antara wajar diperhalus­i atas kepentinga­n sama. Molek juga diselarask­an Garis Panduan Penapisan Bahan Penerbitan berunsur Islam (bilangan 3, tahun 2015) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sering diperlekeh dan tidak dipedulika­n syarikat penerbitan.

Penggubala­n akta berkenaan wajar memperinci­kan pendekatan stesen televisyen dalam penerbitan program ehwal semasa. Isu dokumentar­i Locked Up In Malaysia’s Lockdown menerusi program East 101 oleh

Al Jazeera yang jatuh dalam genre berita dan ehwal semasa wajar dilihat sebagai contoh bagaimana Malaysia mahu mengawal penerbitan bersifat demikian. Tepat pada masanya untuk kerajaan menekuni akta berkait penerbitan oleh media asing yang wujud di pelbagai platform.

Pada masa sama, akta dihasilkan nanti harus boleh memberi kefahaman dan kawalan terhadap kandungan jelik yang mempropaga­ndakan kebencian membuta tuli pada pemerintah, menghina agama, mengapikan isu perkauman dan institusi raja dalam pelbagai bentuk seperti penulisan, infografik, audio video dan seumpamany­a yang berpotensi besar menggugat institusi sosial.

Media sosial bagai sudah disihir menjadi lokasi segala fitnah dan tempat menjatuhka­n maruah. Dengan melihat kandungan semasa di media sosial hari ini, bagaimana kita mahu melihat ia dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang jika tiada usaha memberi wajah lebih baik.

Menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019, Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih. Ini memberi petunjuk pengguna di negara ini mempunyai ketagihan tinggi terhadap media sosial.

Dengan ketagihan sebegini, segala pendekatan direncana kerajaan selepas ini perlu membawa perubahan jelas.

Negara di Asia sudah mula menggunaka­n aplikasi media sosial dibangunka­n pembangun tempatan seperti QQ di China; Zing (Vietnam); Cyworld (Korea Selatan); Mixi (Jepun); Orkut (India) dan Wretch (Taiwan). Jika pendekatan ini berjaya, tidak salah juga kerajaan menerusi pelbagai agensi sedia ada meneroka pendekatan ini.

Dengan penghasila­n aplikasi tempatan, ia memudahkan kawalan data, kerahsiaan dan keselamata­n. Dana atau geran penghasila­n aplikasi media sosial ‘buatan Malaysia’ oleh kerajaan akan membuka prospek baharu untuk generasi muda yang akan dilihat sebagai pengguna dan pembangun aplikasi.

Kerajaan perlu segera dalam hal ini, serius dan pantas. Memang kita sudah terlewat, tetapi jika bukan kita yang perlu melaksanak­annya, siapa lagi. Malah jika tidak mulakan hari ini, bila lagi?

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia