Berita Harian

Lelaki mati dipercayai tertembak diri sendiri

-

Butterwort­h: Seorang lelaki maut dipercayai tertembak kepalanya dengan sepucuk pistol di dalam bilik air rumah teres dua tingkat dekat Taman Seri Maklom, semalam.

Mangsa berusia 30 tahun, ditemui tidak sedarkan diri dan dalam keadaan berlumuran darah oleh bapanya pada jam 5.30 pagi yang kemudian menghubung­i polis melaporkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pemeriksaa­n awal polis mendapati mangsa cedera dengan terdapat lubang di bahagian kepala kiri dipercayai kesan tembakan.

Katanya, polis masih menjalanka­n siasatan berhubung jenis senjata yang digunakan dan bagaimana boleh berada bersama mangsa.

“Kematian mangsa diklasifik­asikan sebagai mati mengejut manakala memiliki senjata api disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaa­n di rumah mangsa, semalam.

Sementara itu, Noorzainy berkata, berdasarka­n soal siasat dengan bapa mangsa, beliau mendapati anaknya tiada di bilik tidur ketika memeriksa bilik pada jam 3.30 pagi tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Bilik mangsa dengan ibu bapanya hanya bersebelah­an dan ketika bapa mangsa bangun semula pada jam 5.30 pagi, dia hairan anaknya tiada lalu membuat pemeriksaa­n ke bilik air di tingkat bawah dan menemui anaknya tidak sedarkan diri dan berlumuran darah,” katanya.

Beliau berkata, maklumat awal diperoleh daripada ibu mangsa juga mendapati mangsa yang sudah berpisah dengan isterinya, turut mempunyai sejarah rawatan psikiatri di India pada 2017.

“Perkara ini dimaklumka­n ibu mangsa ketika temubual yang dijalankan yang mana pakar psikiatri yang merawatnya ketika itu memaklumka­n mangsa mempunyai kecenderun­gan untuk membunuh diri.

“Mangsa pula hanya menerima rawatan sekali saja dan tiada rawatan susulan selepas itu. Semakan polis juga mendapati mangsa mempunyai tiga rekod jenayah narkotik,” katanya.

 ?? (Foto Danial Saad/bh) ?? Anggota polis mengangkat mayat lelaki dipercayai tertembak dirinya di Taman Seri Maklum, Butterwort­h, semalam.
(Foto Danial Saad/bh) Anggota polis mengangkat mayat lelaki dipercayai tertembak dirinya di Taman Seri Maklum, Butterwort­h, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia