Berita Harian

‘Masa depan pasukan kebangsaan cerah’

-

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menganggap masa depan bola sepak Malaysia cerah selepas melihat dan mengikuti rapat perkembang­an latihan skuad bawah 19 (B19) yang berakhir, semalam.

Wan Ahmad Fayhsal yang turut mengadakan beberapa siri lawatan ke pusat latihan pasukan kendalian Brad Maloney di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, dekat sini, menjelaska­n Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) akan sedaya upaya membantu skuad negara mara ke Piala Dunia remaja.

“Saya mengambil berat hal ehwal kebajikan pemain dan pihak pengurusan. Perlu turun dan lihat sendiri persiapan mereka. Hari ini (kelmarin) perlawanan persahabat­an sesama mereka menampakka­n gerak kerja berpasukan. Masa depan bola sepak kita cerah.

“Insya-allah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan saya akan bantu semampu yang mungkin agar perjuangan kita untuk ke Piala Dunia remaja akan berhasil,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Anak buat Maloney giat menjalani latihan pusat fasa pertama sejak 6 Julai lalu sebagai persiapan mengharung­i Kejuaraan B-19 Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) 2020 yang menawarkan tiket ke Piala Dunia B-20, tahun depan.

Bagi pusingan akhir Kejuaraan AFC nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014, Qatar selain Tajikistan dan Yaman.

Empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan itu secara automatik akan layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.

Namun jika Indonesia menjadi antara pasukan yang ke separuh akhir, maka satu lagi slot tambahan akan diberikan yang mana ia akan direbut oleh empat pasukan yang kalah pada suku akhir menerusi perlawanan playoff.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia