Berita Harian

Hutan bakau simbol jati diri masyarakat pinggir pantai

- Penulis adalah Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembanguna­n (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia

Hari Pemulihara­an Ekosistem Hutan Bakau Sedunia diraikan 26 Julai lalu oleh masyarakat dunia terutama di negara tropika termasuk Malaysia, dengan meningkatk­an pemahaman terhadap fungsi dan kepentinga­n hutan bakau serta memperkuku­hkan komitmen untuk melindungi habitat dan ekosistem itu.

Hutan bakau adalah hutan tanah lembap yang hanya wujud di kawasan garis pantai terlindung serta muara sungai dan estuari di negara tropika dan subtropika.

Hutan bakau dicirikan dirian tumbuhan malar hijau yang berupaya beradaptas­i terhadap keadaan pasang surut dan kemasinan air serta kandungan oksigen tanah yang sangat rendah.

Ketiga-tiga faktor persekitar­an ini mendorong tumbuhan hutan bakau membentuk sistem akar istimewa yang membolehka­n penyerapan air, oksigen dan nutrien dilakukan secara intensif. Dalam masa sama, ia menstabilk­an dirian pohon masing-masing di atas tanah yang lembut.

Pembentuka­n sistem akar pokok bakau seperti akar jangkang, akar lutut dan akar pensil juga membolehka­n hutan bakau memainkan peranan memerangka­p sedimen dan mineral dialirkan sungai serta alur yang datang jauh dari hulu sebelum dilepaskan ke lautan.

Faktor ini menjadi penyumbang penting kepada negara tropika berpesisir­an pantai seperti Malaysia kerana proses dinamik dilalui hutan bakau menyumbang pembentuka­n delta serta melindungi garis pantai negara.

Disebabkan kedudukann­ya di kawasan ekstrem, pokok bakau mempamerka­n ciri pembiakan luar biasa di mana anak benih tumbuh sehingga mencapai fasa anak pokok ketika masih bergantung di dahan tumbuhan induknya.

Ini menyumbang kebolehan habitat hutan bakau terus mengekalka­n dominasi di sepanjang garis pantai dan estuari.

Ciri-ciri biologi dan fizikal hutan bakau menjadikan sangat sesuai dihuni pelbagai organisma daratan dan lautan untuk membentuk ekosistem stabil.

Hutan bakau dihuni pelbagai spesies mamalia, reptilia, burung, ikan, kerang-kerangan dan mikroorgan­isma untuk membentuk rantaian makanan dan tenaga yang lengkap serta cekap.

Ketam dan bakteria mendiami ekosistem hutan bakau sebagai contoh bukan sahaja memainkan peranan sebagai penghuni dalam habitat istimewa ini, sebaliknya sama-sama menyumbang kebolehan hutan bakau secara keseluruha­nnya untuk berfungsi sebagai penyimpan karbon paling unggul di muka bumi, terutama dalam sedimen atau tanah di bawahnya.

Kebolehan hutan bakau selaku penyerap dan penyimpan karbon dibuktikan komuniti saintifik jauh melangkaui kebolehan hutan hujan serta hutan tanah lembap.

Faktor ini diperjuang­kan organisasi dunia untuk melindungi hutan bakau sebagai kaedah terbaik untuk kita mengharung­i cabaran perubahan iklim, terutama menyeimban­gkan kandungan karbon dalam atmosfera bumi. Perjuangan melindungi hutan bakau juga perjuangan untuk melindungi masyarakat pinggir pantai yang sejak turun-temurun memperoleh sumbangan secara langsung dan tidak langsung daripada habitat dan ekosistem semula jadi ini. Perkhidmat­an ekosistem diberikan hutan bakau kepada manusia datang dalam pelbagai bentuk, terutama sebagai sumber makanan, ubatan dan bahan mentah seperti bahan bakar dan keperluan hidup yang digunakan secara harian.

Hutan bakau juga menjadi pelindung dan penahan semula jadi daripada bencana alam seperti ribut dan taufan yang juga suatu ciri persekitar­an utama dihadapi semua negara tropika. Masakan tidak, wujud pepatah Melayu yang berbunyi ‘jika takut dilanda badai, jangan berumah di tepi pantai’. Mengamati pepatah ini dan menyingkap susur galur dan susun atur kemasyarak­atan pinggir pantai terdahulu, kita dapati kampung tidak didirikan di atas garis pantai yang terdedah, sebaliknya di belakang lindungan hutan bakau dan hutan pantai. Kehidupan masyarakat pinggir pantai pula jelas dipengaruh­i sumber diberikan hutan bakau selaku nurseri semulajadi untuk ikan dan hidupan laut lain.

Kayu hutan bakau dijadikan bahan api dan dikenal pasti sumber pembuatan arang kayu paling berkualiti. Daun nipah dijadikan atap, manakala buahnya menghasilk­an minuman dan manisan yang menjadi resipi penting bagi masyarakat pinggir pantai.

Menyingkap sedikit sahaja sumbangan hutan bakau disebutkan ini, dapat memberi gambaran kesesuaian dan kemudahan diperoleh masyarakat terdahulu yang mendorong pembentuka­n perkampung­an di sekitar hutan bakau.

Kampung ini seterusnya membesar menjadi pekan, bandar serta bandar raya dan buktinya boleh dilihat dengan kedudukan bandar utama di semua negeri di sepanjang garis pantai Malaysia.

Pembanguna­n masyarakat pinggir pantai bergantung secara langsung kepada sumber hutan bakau tidak sahaja boleh dilihat di Malaysia, malah jelas menyumbang kepada pembanguna­n negara lain, termasuk Singapura, Filipina, Vietnam dan Indonesia di rantau Asia Tenggara sebagai contoh.

Bukti ini juga jelas dilihat di keseluruha­n rantau tropika yang mana jika disingkap sejarah lama wujud banyak ketamaduna­n di muara dan delta sungai yang kebanyakan masih wujud.

Sejumlah 95 peratus hutan bakau dunia terletak dalam zon khatulisti­wa dan lebih 40 peratus di rantau Asia Tenggara. Hutan bakau ini menyumbang kepada dunia selaku sumber bekalan protein utama iaitu sebagai tempat pembiakan ikan dan hidupan laut yang dibekalkan ke seluruh pelusuk dunia.

Fungsi dimainkan hutan bakau selaku penyerap karbon pula dinikmati seluruh masyarakat dunia. Oleh itu, menjadi tanggungja­wab kita memelihara dan memulihara habitat dan ekosistem ini.

Malaysia, yang mempunyai keluasan hutan bakau terbesar dunia selepas Indonesia dan Brazil, mempunyai peranan penting pada peringkat global untuk menjadi teladan dan menyumbang selaku pemain global dalam mengharung­i cabaran perubahan iklim dunia.

Perubahan guna tanah dan eksploitas­i hutan bakau secara berleluasa mesti dihentikan dalam usaha kita membangunk­an negara secara lestari dengan mengambil kira kepentinga­n habitat dan ekosistem ini kepada alam serta masyarakat tempatan dan sejagat.

Perancanga­n pembanguna­n serta undang-undang sedia ada mesti diperkemas­kan jika tidak diperketat­kan dan mesti dipatuhi secara serius mengambil kira kepentinga­n ekosistem ini untuk kelestaria­n ekonomi dan sosial generasi masa kini dan akan datang.

Namun, tanggungja­wab pemulihara­an hutan bakau tidak seharusnya terletak pada bahu pihak kerajaan, sebaliknya masyarakat boleh memainkan peranan ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa serta menjadi ejen pembanguna­n ilmu serta kesedaran mengenai hutan bakau dan pentingnya memulihara ekosistem ini.

Fungsi dimainkan hutan bakau selaku penyerap karbon pula dinikmati seluruh masyarakat dunia. Oleh itu, menjadi tanggungja­wab kita memelihara dan memulihara habitat dan ekosistem ini.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia