Berita Harian

11 lagi positif, 8 kes import

Jumlah aktif kebolehjan­gkitan 172 kes, keseluruha­n adalah 9,114

- Oleh Rafidah Mat Ruzki fidahruzki@bh.com.my

Putrajaya: Sebanyak 11 kes positif COVID-19 dikesan sehingga jam 12 tengah hari semalam dengan lapan daripadany­a membabitka­n kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjan­gkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 172 kes, manakala jumlah kes keseluruha­n adalah 9,114.

Katanya, pada masa sama, lapan kes pulih sepenuhnya dicatatkan setakat ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,817 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruha­n kes jangkitan.

Beliau berkata, lapan kes import itu membabitka­n tujuh warga Malaysia.

“Tiga daripada lapan kes import itu berasal dari Singapura dengan dua daripadany­a dikesan di Johor, manakala satu lagi di Kuala Lumpur; tiga kes dari Filipina yang dikesan di Sabah, manakala masing-masing satu kes dari Australia dan Jepun yang dikesan di Kuala Lumpur.

“Daripada tiga kes penularan di dalam negara, dua kes adalah dalam kalangan warganegar­a membabitka­n kes saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Kedah.

“Mereka dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan kedua-dua kes ini tidak berkait rapat antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, satu jangkitan membabitka­n bukan warganegar­a pula dikesan melalui saringan tahanan baharu di lokap Balai Polis Tawau, Sabah.

Beliau berkata, setakat semalam, hanya ada satu kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambaha­n kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini (semalam). Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 125 kes atau 1.37 peratus daripada jumlah keseluruha­n kes,” katanya.

Sementara itu, Kementeria­n Kesihatan (KKM) sedang menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima dari sebuah sekolah di Lembah Pantai yang tular kelmarin.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini pelajar berkenaan sudah menjalani saringan demam denggi dan COVID-19.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih lanjut mengenai perkara itu, selain sudah menerima laporan dari sekolah berkenaan mengenai satu kes bergejala membabitka­n seorang pelajar.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut protokol KKM iaitu sebarang kes dilaporkan perlu disiasat terlebih dulu dan tindakan selanjutny­a termasuk pengesanan kes akan dilakukan jika perlu.

“Hasil siasatan mendapati seorang pelajar Tingkatan Lima dari sekolah itu mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos 2020. Sehari selepas itu, beliau dibawa ke klinik swasta untuk mendapatka­n rawatan, seterusnya dipindahka­n ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut apabila beliau disaring untuk demam denggi dan jangkitan COVID-19.

“Keputusan saringan demam denggi didapati positif, namun pengesahan ujian COVID-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang ketika ujian yang mungkin boleh berlaku memandangk­an beliau dijangkiti demam denggi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sementara menunggu pengesahan ujian makmal, KKM sudah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan.

Sehingga semalam, 34 pelajar dan lapan guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pelajar terbabit dengan 28 individu terbabit sudah disaring dan 14 orang lagi diberi arahan hadir ke klinik kesihatan bagi tujuan persampela­n.

 ??  ?? Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia