Berita Harian

Iltizam tinggi kekang kluster baharu bersifat perebak utama

- Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiolo­gi/ Biostatist­ik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Pandemik COVID-19 secara global belum menunjukka­n tanda penurunan. Meskipun negara seperti New Zealand dan terkini Thailand mengisytih­arkan bebas COVID-19, sebahagian besar masih berdepan kegawatan wabak itu. Terbaru, strain penyebab bersifat perebak utama dikenal pasti dalam menyebabka­n peningkata­n kes mendadak dalam sesuatu lokaliti.

Sehingga Jumaat lalu, negara mencatatka­n kes aktif COVID-19 sejumlah 170 kes baharu dan purata kes lima hari masing-masing 7 dan 13.8 kes. Pola kes aktif agak stabil, manakala graf purata kes untuk lima hari menunjukka­n sedikit peningkata­n.

Keadaan semasa menunjukka­n kita masih terus berdepan situasi genting yang memerlukan komitmen untuk terus patuh langkah pencegahan melalui prosedur operasi standard (SOP).

Kemunculan jangkitan bersifat perebak utama dalam kluster Sivagangga yang dikenal pasti baru-baru ini memberi petunjuk ada kelekaan terhadap langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kebersihan tangan.

Di samping itu, salah faham kepentinga­n memakai pelitup muka melalui penyebaran berita palsu dan menakut-nakutkan awam mengenai kesan negatif tidak benar, memainkan peranan dalam komuniti untuk bertindak dengan tepat.

Perebak utama didokumenk­an sebagai ciri jangkitan penyakit berjangkit yang mampu mencetuska­n kluster besar secara mendadak. Ia bukan unik untuk jangkitan COVID-19, sebaliknya berlaku dalam penyakit lain seperti tuberkulos­is, influenza virus lain serta Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Ia dikaitkan ciri tingkah laku dan fisiologi hos (manusia atau haiwan pembawa penyakit), jenis strain kuman penyebab serta keadaan persekitar­an sesuai seperti ruang tertutup sesak untuk penyebaran penyakit berlaku secara optimum.

Dalam jangkitan COVID-19 yang jangkitan berlaku melalui penyebaran cecair tubuh dan sentuhan dengan cecair mengandung­i virus, potensi penyebaran perebak utama tidak dapat dielakkan sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan sebaik-baiknya.

Ia berpotensi mengakibat­kan peningkata­n kes mendadak. Dalam jumlah besar, peningkata­n kes berpotensi melumpuhka­n sistem perkhidmat­an kesihatan hingga menyebabka­n kes sepatutnya dirawat gagal dirawat sebaik-baiknya.

Ini mengakibat­kan komplikasi tidak diingini, terutama pesakit tenat dan memerlukan pemerhatia­n intensif serta menjejaska­n kualiti perkhidmat­an dalam unit rawatan rapi (ICU) dan pesakit dalam hospital secara keseluruha­n.

Fokus mengekang COVID-19 dan kejadian kluster baharu serta mana-mana kluster bersifat perebak utama memerlukan komitmen bersungguh-sungguh daripada setiap individu.

Ia bukan sahaja memerlukan iltizam, bahkan peringatan dari semasa ke semasa oleh anggota masyarakat antara satu sama lain. Kita tidak perlu menunggu langkah penguatkua­saan undang-undang dan perlu didenda terlebih dahulu untuk menggerakk­an kita untuk bertindak.

Memberdaya­kan setiap individu melalui anggota pimpinan setempat juga perlu diperkemas­kan. Amalan ini perlu diperkasak­an supaya kita tidak terlalu bergantung kepada penguatkua­saan lebih ketat seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan Bersasar (TEMCO).

Oleh itu, berdepan dengan ancaman wabak masih belum berakhir ini, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah proaktif mengelakka­n sebarang potensi penularan di peringkat komuniti. Kita bukan sahaja perlu mengelakka­n diri terdedah daripada bahaya jangkitan, tetapi perlu bertindak memutuskan jangkitan penularan serta bertanggun­gjawab mengelakka­n berlaku potensi penularan.

Melalui peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka, ia wajar diberikan perhatian serius dan meningkatk­an komitmen untuk terus berhati-hati. Ia bukan tindakan menyusahka­n, tetapi langkah terbaik mencegah COVID-19.

Dalam komuniti pematuhan terhadap SOP agak mencabar, kuasa penguatkua­saan perlu diperturun­kan kepada pemimpin setempat seperti ketua kampung, guru besar, pengetua, penghulu dan pegawai perubatan pentadbir bagi membolehka­n denda dapat dilakukan mereka diberi kuasa pada peringkat lokaliti setempat dengan lebih berkesan.

TEMCO juga mewujudkan situasi meresahkan penduduk terbabit. Ia bukan menyebabka­n kegiatan ekonomi terhenti dan aktiviti persekolah­an terjejas.

Oleh itu, berdasarka­n kesan klinikal jangkitan COVID-19 yang tidak lagi agresif seperti peringkat awal dahulu, dicadangka­n kawasan dikuatkuas­akan TEMCO dibenarkan untuk pelaksanaa­n aktiviti seperti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini termasuk pelajar yang mengambil peperiksaa­n besar dibenarkan meneruskan persekolah­an. Ia boleh dilaksanak­an melalui pemantauan setiap lapisan masyarakat yang terbabit.

Selagi vaksin belum ditemui, kita belum bebas sepenuhnya. Disebabkan perjalanan keluar masuk antarabang­sa dibenarkan melalui undang-undang, kita tidak dapat menjamin pengekalan lokaliti zon hijau selagi ada individu gagal mematuhi arahan dan SOP.

 ??  ?? Peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik mencegah jangkitan COVID-19.
Peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik mencegah jangkitan COVID-19.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia